Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 396 - Rakan Sebilik yang Menjengkelkan (4)

Chapter 396 - Rakan Sebilik yang Menjengkelkan (4)

Yin Yan mengangguk tanda faham. Kata-kata Senior Ning itu membuatkan dia meneliti hal ini dari sudut pandangan lain.

"Tapi saya juga dah lihat roh berkontrak budak tu. Cuma kucing hitam kecil saja…. Langsung tak nampak luar biasa."

"Cuma kucing hitam kecil yang biasa?" Wajah Senior Ning yang menawan itu kelihatan seperti mencemuh. Dia memandang Yin Yan dengan sedikit kesal. "Kamu fikir kalau budak langsung tak ada kebolehan dan hanya memiliki kucing hitam biasa saja, dia akan terus diterima masuk ke kampus utama Akademi Zephyr? Yan Kecil, kamu masih mentah lagi."

Kata-kata Senior Ning itu ibarat simbahan air sejuk pada Yin Yan, membuatkan Yin Yan yang jahil ini serta-merta sedar.

Dia hanya melihat pada usia Jun Wu Xie dan kucing hitam kecil yang kelihatan biasa itu sahaja. Tetapi dia terlupa tentang hakikat yang Jun Wu Xie merupakan salah seorang daripada sebahagian kecil pemohon yang berjaya diterima masuk terus ke kampus utama Akademi Zephyr.

Yin Yan sendiri merupakan seorang pemohon yang diterima masuk terus ke kampus utama, jadi pastilah dia tahu betapa sukarnya untuk mendapat pencapaian tersebut.

Setelah menerima peringatan berkenaan, dia tidak lagi terlalu memandang rendah pada Jun Wu Xie.

"Seperti biasa, kata-kata Senior Ning ni ada benarnya. Saya sudah belajar sesuatu yang baru," Yin Yan menerima pendapat ini dengan rendah diri.

Senior Ning ketawa. Bunyi tawanya itu seperti dentingan loceng kecil. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia menundukkan pandangannya pada buku yang dipegangnya. Namun tanpa mengalihkan pandangan, dia berkata lagi, "Hakikat yang Fan Jin sendiri yang pergi meletakkan pelajar baru itu di bawah jagaannya pasti membuatkan kamu rasa sakit hati, bukan? Dia langsung tidak mempedulikan kewujudan kamu sebelum ini dan sekarang begitu ambil berat tentang seorang pelajar baru. Pedih juga hati saya ni melihat perbezaan cara dia melayan kamu berdua."

Kata-kata Senior Ning itu bagaikan pisau yang menoreh hati Yin Yan. Kejadian yang memalukan itu muncul kembali di mindanya. Dia sekali lagi diingatkan tentang penghinaan yang tidak dapat dilupakan. Seketika kemudian, wajah Yin Yan kelihatan marah dan tangannya digenggam menjadi penumbuk. Urat-urat mula timbul di lengannya, satu-satunya tanda yang mendedahkan kemarahannya yang terpendam.

Satu senyuman kecil muncul sekilas di wajah Senior Ning, tetapi terus lenyap seketika kemudian.

"Tapi hal itu pun dah lepas dan saya rasa Fan Jin mesti amat kesal. Kamu bukan lagi pelajar baru yang tak tahu apa-apa. Kamu juga sudah pun diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh. Berbanding dengan para pelajar lain, pencapaian kamu sudah menggunung tinggi. Tak perlu lagi kamu kasihan dengan diri sendiri." Senior Ning memujuk dengan lembut, berpura-pura simpati setelah menaikkan kemarahan dan kebencian Yin Yan.

Yin Yan tidak sedar yang hakikatnya emosinya sedang dimanipulasi oleh kata-kata yang diucapkan oleh gadis muda ini dan Yin Yan berada di bawah kawalannya.

"Ya! Terima kasih Senior Ning kerana mengambil berat tentang saya! Tak akan saya lupakan penghinaan yang saya terima hari itu. Apa yang saya dapat capai sekarang ini hanyalah disebabkan belas ihsan Senior Ning." Yin Yan berkata sambil ketawa dingin. Matanya mengecil mengingatkan kejadian tersebut.

[Betul tu. Dia sudah pun menjadi pelajar fakulti Pemulih Roh dan menyebabkan para pelajar lain begitu iri hati. Dia bukan lagi sampah yang dibenci orang lain!]

[Fan Jin, saya akan buat kamu lihat pelajar yang kamu pilih sendiri itu menjadi sampah disebabkan saya!]

Mata Yin Yan kelihatan semakin kejam. Senior Ning menyedari perubahan ini dan senyumannya yang menggerunkan itu semakin melebar.

"Saya sanggup memberikan peluang kepada kamu, bukannya kerana saya bersimpati. Sebaliknya saya percaya dengan potensi kamu. Memang berbaloi saya membuka jalan untuk kamu. Jangan pula kamu sia-siakan usaha saya." Suara Senior Ning begitu menyentuh hati, menyembunyikan niat di sebalik kata-katanya.

"Jangan risau Senior Ning, impian senior itu impian saya juga. Saya tak akan kecewakan senior." Yin Yan membalas dengan senyuman jahat.

Senior Ning tersenyum berseri-seri dan memandang Yin Yan, "Kalau begitu, pertama sekali kamu cari semua maklumat berkaitan pelajar baru di bawah jagaan Fan Jin itu."