"Ya." Yin Yan mengangguk.
Senior Ning akhirnya puas hati dan mengisyaratkan Yin Yan untuk pergi. Yin Yan langsung tidak berani membantah dan dengan patuhnya meninggalkan perpustakaan fakulti Roh Binatang.
Di bilik asramanya, Jun Wu Xie tidak sedar masalah yang bakal melanda dirinya. Ini semua disebabkan niat baik Gu Li Sheng yang telah membuat aturan istimewa untuk Jun Wu Xie.
Melihatkan Yin Yan masih belum pulang lagi, Jun Wu Xie bersalin pakaian, mengenakan pakaian seragam Akademi Zephyr. Nampaknya, walaupun yuran Akademi Zephyr ini begitu tinggi, setiap perincian terjaga rapi. Malah pakaian seragam Para pelajar juga diperbuat dari fabrik terbaik. Tapi memang sepatutnya pihak akademi berbuat begitu.
Pada hari pertama, pelajar baru hanya mendaftar masuk. Mereka akan dihantar ke fakulti masing-masing pada keesokan harinya. Malam pertama di akademi, para pelajar semuanya perlu menghadiri kuliah berkaitan Akademi Zephyr.
Sebelum makan malam, berpuluh-puluh orang pelajar baru berkumpul dalam kumpulan-kumpulan kecil, seramai tiga hingga lima orang setiap kumpulan. Mereka berjalan menuju dewan kuliah. Semua pelajar ini sudah memakai pakaian seragam Akademi Zephyr. Mereka semuanya tersenyum dan berasa riang.
Jun Wu Xie berjalan masuk ke dalam dewan kuliah itu seorang diri. Semua pelajar lain sudah pun duduk di dalam dewan besar itu dan kehadiran Jun Wu Xie menyebabkan berlakunya sedikit perdebatan dalam kalangan mereka.
Setiap pelajar yang diterima masuk ke Akademi Zephyr bersama-sama dengan Jun Wu Xie berasa amat benci pada pelajar yang sangat bertuah ini. Mereka semua tahu yang fakulti Pemulih Roh hanya menerima tiga orang pelajar setiap tahun dan Jun Xie sudah pun mengambil salah satu tempat itu sebelum mereka mendaftar masuk secara rasmi pun. Itu hanya bermaksud yang persaingan untuk merebut tempat yang amat disanjung tinggi ini akan menjadi semakin sengit.
"Saya tak tahulah apa yang istimewa sangat tentang budak tu. Selain kuasa rohaninya, dia lemah daripada segala segi berbanding dengan kita. Kenapa dia bertuah sangat?" Seorang pelajar baru merungut kepada rakan-rakannya sambil menjeling Jun Wu Xie yang bersendirian di satu sudut. .
Jun Wu Xie ialah yang paling muda dalam kalangan mereka di situ. Pelajar kedua termuda di antara mereka sudah pun berusia lima belas tahun setengah. Kuasa rohani mereka semuanya masih tersekat di tahap merah. Mereka dapat masuk terus ke kampus utama disebabkan roh berkontrak mereka yang agak kuat.
Hakikatnya, pada mulanya kuasa rohani tidaklah begitu penting. Orang ramai biasanya bergantung pada kekuatan roh berkontrak mereka. Roh berkontrak yang mempunyai kekuatan tinggi akan kelihatan lebih menonjol di peringkat awal, berbanding roh berkontrak yang lebih lemah walaupun berada di tahap yang sama. Pada peringkat ini, kekuatan rohani pemilik roh berkontrak berkenaan tidak penting.
Ketika mencapai tahap hijau barulah kuasa rohani akan menunjukkan kesan yang lebih besar. Bagi mereka yang berada di bawah tahap hijau, mereka masih lagi tidak mampu menandingi lawan yang mempunyai roh berkontrak yang kuat.
Contohnya, jika kuasa rohani seseorang itu berada di tahap merah dan memiliki roh berkontrak gred tiga, dia mampu mengalahkan pihak lawan yang berada di tahap jingga tetapi mempunyai roh berkontrak yang lebih lemah.
Sebab itulah walaupun pencapaian Jun Wu Xie berada di tahap jingga pada usia empat belas tahun itu amat mengejutkan, bagi pemuda-pemuda ini yang juga dapat masuk terus ke kampus utama, mereka mempunyai roh berkontrak yang lebih kuat. Pelajar paling lemah dalam kalangan mereka sekalipun mempunyai roh berkontrak gred tiga. Mereka tak perlu takut pada seseorang hanya kerana dia sudah mencapai kuasa rohani tahap jingga.
"Tuah itu tak akan selama-lamanya ada padanya. Kamu fikir kamu pasti akan menjadi Pemulih Roh sebaik dimasukkan ke fakulti itu? Bagi setiap pelajar yang diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh itu setiap tahun, hanya seorang saja yang akan kekal di situ. Kalau tengok dia ni, saya tak rasa dia akan bertahan lama di dalam fakulti itu." Kumpulan pemuda itu ketawa sambil merenung susuk tubuh kecil yang masih berdiam diri di satu sudut.
Perasaan cemburu sudah memakan diri mereka, membuatkan mereka begitu inginkan kejatuhan Jun Xie.
Umum mengetahui yang sebaik seseorang itu ditendang keluar dari fakulti Pemulih Roh, mereka tak akan dibenarkan untuk terus berada di Akademi Zephyr dan akan disingkirkan sepenuhnya.
Renungan benci datang dari pelbagai arah. Namun Jun Wu Xie duduk sahaja di satu sudut dewan itu, langsung tidak terkesan. Dia duduk diam sambil mengusap-usap kucing hitam kecil dalam pelukannya.