Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 398 - Iri Hati, Cemburu dan Benci (2)

Chapter 398 - Iri Hati, Cemburu dan Benci (2)

Keriuhan di dalam dewan itu mula reda. Seorang lelaki yang memakai pakaian seragam guru Akademi Zephyr berjalan ke hadapan pentas. Dengan wajah yang tegas, dia mula menerangkan tentang tiga fakulti utama di akademi kepada pelajar-pelajar baru tersebut.

Para pelajar ini dipilih dan diasingkan ke fakulti lain mengikut jenis roh berkontrak mereka, kecuali bagi fakulti Pemulih Roh. Kriteria pemilihan fakulti ini agak berlainan. Sewaktu lelaki itu menyebut "fakulti Pemulih Roh" semua pelajar di dalam dewan itu terus memberi perhatian.

Sebelum para pelajar ini datang ke kuliah itu, mereka sudah banyak mendengar cerita dari pelajar senior. Pemilihan pelajar untuk masuk ke Fakulti Pemulih Roh selalunya diadakan pada malam pertama kemasukan mereka ke akademi. Gu Li Sheng sendiri akan memilih pelajar-pelajar tersebut.

Inilah sebab utama mengapa para pelajar yang penuh bersemangat ini sanggup duduk dengan sabar mendengar syarahan panjang mengenai fakulti Roh Binatang dan Roh Senjata sedangkan mereka sudah pun tahu tentang kedua-dua fakulti ini!

Mereka menanti sepanjang malam untuk ini! Hanya demi saat ini!

Gu Li Sheng!

Pengasas fakulti Pemulih Roh serta pengasas bidang Pemulihan Roh. Lelaki yang berada di kedudukan tertinggi dan kelihatan hanya berusia dalam lingkungan dua puluhan.

Tiada siapa yang menyangka pengasas bidang Pemulihan Roh ini hanyalah seorang lelaki yang kelihatan muda.

Namun begitu, tak ada siapa yang akan percaya bahawa Gu Li Sheng ini berusia dua puluhan.

Orang-orang dari seluruh dunia hanya mengetahui identitinya sebagai pengasas Pemulihan Roh dan mereka juga tahu dia berada di Akademi Zephyr.

Tetapi hal berkaitan asal-usulnya, latar belakang, umur serta kuasanya, semuanya diselubungi misteri. Tak ada siapa yang tahu dengan pasti.

Pemulih Roh tidak pernah wujud sebelum Gu Li Sheng menawarkan bantuan untuk memulihkan roh berkontrak pemerintah tertinggi di negaranya. Selepas itu, dia terus menjadi terkenal dan namanya sering disebut-sebut. Akhirnya dia menjadikan bidang Pemulihan Roh sebagai kerjayanya.

Dia bermula di Akademi Zephyr, menubuhkan fakulti yang tidak pernah didengari. Fakulti itu kemudiannya menjadi tempat yang dididam-idamkan oleh setiap pelajar di Akademi Zephyr.

Bagi para pelajar yang berada di fakulti Pemulih Roh pula, sebelum mereka menjadi Pemulih Roh sebenar dan dalam masa sebulan saja menyertai fakulti berkenaan, mereka semua akan menerima jemputan dari pelbagai kuasa dunia.

Gu Li Sheng sangat tidak tegas dengan para pelajarnya. Selain mengajar dan membimbing mereka dalam Pemulihan Roh, dia tidak masuk campur dalam kehidupan mereka atau menyekat sebarang pergerakan mereka. Oleh itu, para pelajar fakulti itu, tidak kiralah jika mereka memilih untuk berkhidmat dengan keluarga sendiri atau menerima jemputan pelbagai kuasa itu, reputasi serta kedudukan sosial mereka sudah pun berkembang sebelum mereka menamatkan pengajian lagi!

Jelas sekali apa manfaatnya kepada kuasa-kuasa besar ini kalau mereka memiliki Pemulih Roh di pihak mereka. Kalau para pelajar ini berjaya menamatkan pengajian dan menjadi Pemulih Roh sebenar, mereka akan mendapat apa yang mereka inginkan dan masa depan mereka juga tidak terbatas.

Semua pemuda di dalam dewan itu ternanti-nati saat yang akhirnya bakal tiba. Walaupun Jun Xie sudah merampas salah satu tempat yang ada, sekurang-kurangnya seorang atau dua orang dalam kalangan mereka berpeluang untuk masuk ke fakulti Pemulih Roh. Sama ada mereka akhirnya akan menjadi Pemulih Roh atau tidak, itu bergantung pada kebolehan mereka sendiri!

Lelaki di hadapan pentas itu menyudahkan pembacaan jadual dengan suara yang mendatar sebelum dia tiba-tiba mengangkat kepala dan memandang kerumunan pemuda di hadapannya ini. Mereka semua merenungnya dengan mata yang membara.

Setiap tahun, pada ketika ini, lelaki itu tahu apa yang anak-anak muda ini fikirkan.

Tapi...

Kali ini dia akan mengecewakan mereka.

Lelaki itu diam seketika sebelum mengeluh panjang lalu berkata, "Saya tahu kamu semua tak sabar-sabar menantikan kehadiran Tuan Guru Gu. Tapi saya minta maaf, dia tak akan datang hari ini."