Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 390 - Kemasukan (6)

Chapter 390 - Kemasukan (6)

"Saya akan menyembuhkan dia," kata Jun Wu Xie dengan penuh keazaman. Sewaktu mereka masih di Akademi Phoenix, dia mungkin tidak dapat mencari jalan untuk melakukannya dan hanya dapat bergantung pada air Mata Air Syurga. Tapi kini dia sendiri telah menyaksikan teknik Gu Li Sheng sebagai Pemulih Roh dan dia bertekad untuk mempelajarinya.

Kucing hitam kecil itu hanya meleset-lesetkan badannya ke tangan Jun Wu Xie.

…..

Pendaftaran masuk ke Akademi Zephyr yang berlangsung selama tiga hari itu akhirnya tamat. Sebahagian besar daripada para pemohon ditempatkan di kampus cawangan. Hanya beberapa puluh sahaja yang dapat masuk ke kampus utama.

Jun Wu Xie memasuki pintu kampus utama bersama-sama puluhan pelajar lain. Namun sejak dari saat mereka mula melangkah masuk, dia sudah pun disisihkan dan sering ditolak serta berada di bahagian belakang kumpulan tersebut.

Kejadian di mana Jun Wu Xie telah menerima layanan utama Gu Li Sheng, telah tersebar di kalangan para pemuda ini. Semua yang diterima masuk ke kampus utama memang berbakat besar dan menganggap diri mereka mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Sewaktu mereka sampai di Akademi Zephyr, mereka sudah menyasarkan untuk dapat masuk ke fakulti Pemulih Roh. Tetapi mereka mendapati seorang budak tak guna yang kelihatan biasa saja, telah merampas tempat tersebut dari mereka. Hati mereka berasa pahit.

Pemuda yang mengetuai pelajar baru masuk ke Akademi Zephyr itu kelihatan berusia lapan belas hingga sembilan belas tahun. Dia memakai lencana jed yang diukir menjadi bentuk tiga bintang. Pemuda ini tidak bercakap walau sepatah. Walaupun salah seorang daripada pelajar baru ada menghampirinya untuk berbual-bual, pemuda yang lebih tua itu hanya memberikan renungan dingin dan tidak bersuara.

Akademi Zephyr sememangnya menepati reputasinya sebagai salah satu daripada tiga akademi terbaik di dunia ini. Setiap inci rekabentuk bangunan di dalam kawasannya kelihatan mewah. Langsung tidak menyakitkan mata, tetapi kelihatan klasik dan agung. Sewaktu berjalan melalui dewan-dewan di situ, mata para pelajar baru ini semuanya terbeliak, terpegun dengan bangunan yang tersergam indah. Mereka menoleh-noleh melihat keadaan sekeliling, kagum dengan apa yang mereka lihat.

Akhirnya mereka dibawa ke sebuah dewan besar di mana pemuda yang mengetuai mereka itu berhenti dan berpusing untuk menghadap mereka. Dia terus berkata dengan wajah yang tidak menunjukkan perasaan, "Pelajar baru akan menerima mentor dari kalangan pelajar senior."

Sebaik pemuda ini menghabiskan ayatnya, berpuluh-puluh orang anak-anak muda yang cantik dan tampan keluar dari bahagian belakang dewan itu. Mereka berusia dalam lingkungan lapan belas hingga sembilan belas tahun. Lencana jed yang mereka pakai di dada mereka juga turut diukir dalam menjadi bentuk tiga bintang.

Ini ialah tradisi lama di Akademi Zephyr, di mana pelajar yang baru diterima masuk akan mendapat mentor dari kalangan senior mereka supaya mereka dapat menyesuaikan diri pada waktu permulaan. Sudah tentulah kelebihan ini hanya diberikan kepada pelajar yang lulus ujian sewaktu pendaftaran dan terus diterima masuk ke kampus utama. Pelajar yang datang dari kampus cawangan perlu menjaga diri sendiri.

Memahami yang mereka akan bergantung kepada pelajar senior tersebut selepas ini, para pelajar baru ini mengangkat kepala mereka dan memandang dengan penuh keinginan terhadap para pelajar senior di hadapan mereka.

"Ini pelajar-pelajar baru tahun ni? Saya tak nampak ada apa-apa yang istimewa pun pada mereka." Salah seorang pelajar senior itu berkata sambil menguap. Nampaknya dia langsung tidak berminat untuk menjadi mentor kepada pelajar-pelajar baru.

Menjadi mentor kepada pelajar baru itu kedengaran hebat. Namun hakikatnya, ini ialah tugas yang paling dielak oleh semua pelajar senior.

Bagi anak-anak muda yang baru masuk ke Akademi Zephyr, mereka memang tak tahu apa-apa dan tidak sedar tentang segala peraturan yang ada. Pelajar-pelajar senior bukan saja perlu menerangkan peraturan berkenaan satu per satu, mereka juga perlu mengorbankan masa latihan mereka untuk memberikan panduan kepada pelajar junior yang diberikan kepada mereka. Bagi mereka, tugas yang tak penting ini membosankan dan membazir masa. Tambahan pula, setelah mendapat tugasan ini, mereka terpaksa menjadi mentor selama sekurang-kurangnya dua tahun. Selepas itu barulah mereka boleh menyingkirkan beban ini.

Melainkan pelajar-pelajar senior ini memang dipilih khas, tak ada siapa yang sanggup menerima tugasan ini.

Faktor-faktor inilah yang membuatkan para pelajar senior di Akademi Zephyr tidak dapat berbuat baik dengan para pelajar baru dan sebaliknya memandang mereka dengan jengkel.

Walau bagaimanapun, para pelajar senior ini tidak mempunyai pilihan dalam hal ini. Mereka cepat-cepat memilih sesiapa saja yang kelihatan paling kurang menyusahkan dalam kalangan pelajar-pelajar junior ini.

Kriteria pemilihan mereka mudah saja, hanya bergantung pada usia. Semakin tua pelajar junior itu, semakin mereka boleh diharap untuk berdikari. Semakin muda pelajar junior tersebut, pastilah semakin menyusahkan.