Tak lama kemudian, para pelajar senior itu sudah hampir selesai memilih pelajar junior yang mereka perlu bimbing. Akhirnya yang tinggal hanyalah Jun Wu Xie, pelajar paling muda.
Salah seorang pelajar senior itu terlambat untuk memilih pelajar-pelajar baru yang lebih tua. Sekarang dia meneliti susuk tubuh Jun Wu Xie yang kurus dan kecil itu dari atas ke bawah dengan pandangan hina. Dia seolah-olah tak sanggup mahu memilih Jun Wu Xie.
"Kamu dah berusia empat belas tahun?" Pelajar senior itu berdiri di hadapan Jun Wu Xie dengan wajah yang jengkel.
Jun Wu Xie mengangguk sedikit, tidak sedar dengan kebencian pelajar senior itu.
"Roh berkontrak kamu dalam kategori mana?" Pelajar senior itu kemudiannya bertanya.
"Kategori binatang."
"Issshhh." Dia memaki perlahan dan berpusing menghadap pemuda yang telah mengetuai para pelajar baru tadi, lalu berkata, "Roh berkontrak saya dari kategori senjata. Jadi, saya tak boleh menjadi mentor budak ni."
Pemuda yang mengetuai pelajar baru tadi berkerut dengan perasaan tak senang hati. Biasanya, pelajar baru akan dipasangkan dengan mentor senior yang berkongsi kategori roh berkontrak yang sama. Ini kerana teknik latihan berbeza mengikut kategori roh berkontrak. Kalaupun para pelajar senior itu menerima pelajar junior tersebut, sebagai mentor, mereka tak akan dapat memberikan sebarang panduan berkaitan latihan kuasa rohani.
Para pelajar baru yang lain, yang semuanya sudah mendapat pasangan pelajar senior mereka, tersenyum ceria melihat masalah Jun Wu Xie yang disisihkan.
Perasaan cemburu dan iri hati mereka itu dengan pantas bertukar menjadi cemuhan.
Kalau budak kecil ini mendapat perhatian Gu Li Sheng sekalipun, apa gunaya? Akhirnya dia dipandang rendah oleh semua pelajar senior.
Para pelajar baru mula ketawa sinis dengan perlahan.
Jun Wu Xie langsung tidak terkesan walaupun dia berdepan dengan ejekan pelajar baru serta cemuhan pelajar senior. Dia hanya memerhatikan semuanya dengan pandangan dingin, tak ada sebarang riak terlihat di matanya.
"Kategori binatang? Kebetulan pula sama kategori dengan saya." Tiba-tiba kedengaran suara yang ceria di dalam dewan besar itu. Seorang pemuda yang tinggi, mengagumkan dan tampan melangkah masuk sambil disinari cahaya mentari pagi. Senyuman ibarat angin musim bunga menghiasi wajahnya dan membuatkan dia kelihatan seperti orang yang mudah disukai.
"Senior Fan! Senior buat apa di sini?" Pelajar senior yang masih cuba mencari alasan untuk menolak Jun Wu Xie tiba-tiba menjadi kaku apabila melihat susuk tubuh yang tinggi itu masuk ke dalam dewan.
Fan Jin ketawa kecil dan dengan mesra menepuk-nepuk bahu pelajar senior berkenaan. Dia lalu berkata, "Saya dengan kamu semua berada di sini untuk mengalu-alukan para pelajar baru masuk ke Akademi Zephyr. Saya ingat nak datang lihat mereka juga."
Selepas berkata demikian, pandangan mata Fan Jin tertumpu pada Jun Wu Xie yang sedang berdiri keseorangan di tepi. Di hadapan pelajar-pelajar lain, dia memerhatikan Jun Wu Xie dari atas ke bawah. Kemudian dia bertanya dengan senyuman yang manis, "Sudah ada senior yang mengambil kamu?"
Jun Wu Xie memandang Fan Jin dengan dingin, tetapi tidak menjawab.
Kucing hitam kecil di dalam badan Jun Wu Xie itu meradang dan mahu menerkam Fan Jin….
[Apa maksud kamu "mengambil"!?]
[Cik bukan milik siapa-siapa!]
Pelajar senior yang terakhir terbatuk-batuk sebelum berkata, "Senior Fan, saya memang nak terima budak ni, tapi….roh berkontrak kami berlainan kategori. Kalau saya terima dia sekalipun, saya hanya akan membantutkan kemajuan latihannya." Kesombongan dan pandangan hinanya tadi terus lenyap dengan kehadiran Fan Jin dan dia berkelakuan seolah-olah mengambil berat tentang kebajikan Jun Wu Xie.
Fan Jin ketawa dan melambai tangannya dengan bersahaja lalu berkata, "Kamu tak perlu risau tentang hal ini. Memandangkan roh berkontrak kamu berlainan kategori, biar saya yang jaga budak ni. Lagipun, dah lama saya tak menjadi mentor pelajar junior."
Fan Jin bercakap sambil memandang Jun Wu Xie. Sepanjang tempoh itu, senyuman mesra tetap terukir di bibirnya.
"Apa? Senior Fan….. Senior…..akan menjadi mentor dia?" Pelajar senior berkenaan bertanya dengan mata yang terbeliak akibat terperanjat. Dia bimbang jika tersalah dengar kata-kata Fan Jin tadi.
"Ya! Saya rasa saya suka budak kecil ini dan boleh menjadi mentornya." Fan Jin berkata sambil ketawa.