Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 366 - Kebangkitan Sayap Timur (1)

Chapter 366 - Kebangkitan Sayap Timur (1)

Kemarahan He Qiu Sheng jelas kelihatan di wajahnya. Matanya membara sewaktu merenung Yan Bu Gui dan anak-anak muridnya.

"Yan Bu Gui! Kau masih berhutang yuran anak-anak murid kau ni dengan pihak akademi dan kau membiarkan saja mereka mengganas!? Kau boleh lagi duduk minum wain di sini dengan senang-lenang?"

Yan Bu Gui yang dimarah dengan teruk itu menggenggam balang wain di tangannya dan tersenyum lemah. Wain? Manalah dia nak cari wang untuk beli wain? Balang wain ini dipenuhi air saja. Bau wain ini hanyalah bau yang sudah meresap jauh ke dalam balang wain tersebut.

Tetapi Yan Bu Gui tidak mahu memberikan apa-apa alasan.

"Qiu Sheng rupanya. Ada apa kamu datang ke Sayap Timur hari ini? Tak mahu masuk duduk dulu?" tanya Yan Bu Gui sambil tersenyum.

Yan Bu Gui kelihatan amat merendah diri. Namun Qiao Chu anak-anak murid yang lain tahu sebab sebenar kenapa guru mereka ini mengorbankan maruahnya. Mereka berasa amat perit.

Kalau tak kerana empat anak murid ini membebankan dia dan membataskan tindakannya. Kuasa rohani Yan Bu Gui yang kuat itu mampu membuatkan dia menjalani kehidupan yang mewah di mana saja di Alam Bawahan.

"Nampaknya kau ni tak ambil serius hal ini ya. Dengar sini Yan Bu Gui! Kalau kau tak beri aku jawapan yang memuaskan tentang hal ini, biarpun guru besar melepaskan kau, hubungan kita tak akan pulih. Kau fikir aku sanggup menjejak kaki ke kediaman buruk kau ni? Kalau tak kerana guru besar memanggil kau untuk bertemu dengannya, aku pun tak mahu mengotorkan kasut aku untuk datang ke sini!" Perangai He Qiu Sheng ini serupa dengan perangai ketua anak muridnya. Di mata mereka, Sayap Timur hanya mempunyai sekumpulan penghuni bertaraf pengemis yang tak mahu beredar dan mempergunakan Akademi Phoenix tanpa bayaran. Mereka dianggap lemah serta tidak berguna, bermuka tebal dan sering memeras guru besar.

Yan Bu Gui tergamam. Mungkin dia pernah menyelesaikan situasi lain. Tetapi kini, berdepan dengan tuduhan anak muridnya mencederakan anak murid He Qiu Sheng, situasi menjadi agak rumit. Seingat dia, kebanyakan anak-anak murid He Qiu Sheng langsung tidak mempunyai bakat. Namun mereka membentuk kumpulan yang dianggap bertaraf "emas" dalam kalangan anak-anak murid Akademi Phoenix yang lain. Dianggarkan hampir separuh daripada dana Akademi Phoenix datangnya daripada keluarga anak-anak murid Sayap Selatan.

"Kalau kamu tak suka berada di sini, berambuslah." Tiba-tiba kedengaran satu suara dingin memecahkan rungutan He Qiu Sheng.

Mata He Qiu Sheng mengecil dan dia berpusing ke arah punca suara dingin tersebut.

Apa yang dilihatnya hanyalah seorang pemuda tubuh kecil molek yang sedang merenungnya dengan dingin.

"Kau ingat kau siapa!? Berani kau cakap macam tu dengan aku?" He Qiu Sheng menggigil kemarahan. Tak pernah dia terbayang ada anak murid Sayap Timur yang berani memalukan dia seperti itu.

Jun Wu Xie mengangkat dagunya dan terus merenung dingin He Qiu Sheng dengan dingin.

"Saya anak murid Sayap Timur, Jun Xie."

"Patutlah! Kau ni pengemis kecil yang mereka baru kutip? Kau dah lama duduk percuma di Akademi Phoenix dan kita belum lagi selesaikan tentang hal bayaran kau. Lagi satu, berani kau pukul anak murid aku!" Sewaktu He Qiu Sheng terdengar nama itu, dia tahu inilah budak dari Sayap Timur yang membelasah anak muridnya begitu teruk sehingga terlantar di atas katil. Kemarahannya meledak dan dia melangkah penuh ancaman terhadap Jun Xie. Tangannya diangkat. Dia berniat mahu mengajar budak kecil yang biadab ini.

Namun, sebelum tangan itu dapat digerakkan, Yan Bu Gui menggenggam pergelangan tangan He Qiu Sheng dengan kuat.

"He Qiu Sheng, anak murid aku bukannya orang yang kau boleh sentuh sesuka hati." Mata Yan Bu Gui tiba-tiba kelihatan tegas. Kata-kata Jun Wu Xie sebelum ini begitu terkesan di hatinya sehingga dia tidak dapat berhenti memikirkannya. Kata-kata itu membawa perubahan di dalam hatinya.

Sewaktu hanya dia yang menjadi sasaran, Yan Bu Gui mampu bersabar. Dia mampu menerimanya, walaupun dia dihina. Tetapi dia tak akan benarkan sesiapa sekalipun menyentuh anak muridnya!

Inilah kali pertama He Qiu Sheng melihat mata Yan Bu Gui tegas sebegitu. Satu renungan saja sudah cukup untuk membuatkan He Qiu Sheng menjadi pucat.

Selama ini, lelaki pemabuk ini tidak pernah membalas sebarang penghinaan dan provokasi He Qiu Sheng. Namun hari ini, mata yang tegas itu membuatkan He Qiu Sheng takut. Dia cepat-cepat berhenti menakut-nakutkan budak bertubuh kecil dan kelihatan lemah itu.

"Kau! Baguslah tu! Hebat betul, Yan Bu Gui! Kau melindungi budak biadab ni sampai macam ni sekali. Mari bawa dia sekali berjumpa dengan guru besar. Biar guru besar lihat sendiri sampah jenis apa yang kau simpan dalam sarang pengemis kau ni!" Seolah-olah dirinya itu mangsa ketidakadilan, He Qiu Sheng semakin meradang. Dia menarik kembali tangannya dan meneruskan kecaman sambil menjerit.