Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 367 - Kebangkitan Sayap Timur (2)

Chapter 367 - Kebangkitan Sayap Timur (2)

Kening Yan Bu Gui berkerut. Dia tak mahu melibatkan Jun Wu Xie dalam hal sebegini.

Tetapi Jun Wu Xie terus bersetuju, "Jom."

Kumpulan Qing Yun sekalipun mampu dia musnahkan. Mana mungkin guru besar akademi usang ni dapat dibandingkan dengan Kumpulan Qing Yun?

"Baguslah! Aku tunggu kau berdua di bilik bacaan guru besar." He Qiu Sheng cepat-cepat beredar setelah berkata begitu.

Selepas He Qiu Sheng berlalu pergi, mata Yan Bu Gui terus menjadi lembut. Dia memandang Jun Wu Xie dengan tidak berdaya.

"Jun Xie, kamu tak perlu….."

"Saya akan pergi," kata Jun Wu Xie dengan ringkas dan kasar. Dia tak biasa lagi tunduk kepada seorang Tuan Guru dan hanya belajar daripada pemerhatiannya ke atas Qiao Chu dan rakan seguru yang lain. Sikit saja yang dia tahu buat masa ini.

Yan Bu Gui mengeluh panjang. Dia tahu Jun Wu Xie ini tidak banyak bercakap. Namun jelas sekali yang anak muridnya yang baru ini berpegang teguh pada kata-katanya. Apa saja yang dia katakan akan menjadi kebenaran yang tidak dapat disangkal mahupun diubah dengan mudah.

Jun Wu Xie menyerahkan kucing hitam kecil itu kepada Rong Ruo sekali lagi. Kemudian dia dan Yan Bu Gui berlalu pergi untuk berjumpa dengan guru besar.

Sepanjang jalan ke sana, mereka melepasi beberapa orang murid-murid Akademi Phoenix. Sebaik anak-anak muda tersebut terlihat Jun Wu Xie bersama-sama dengan Yan Bu Gui, mereka mula menuding jari dan berbisik sesama sendiri secara terang-terangan. Mereka langsung tidak mempedulikan atau menghormati kedudukan Yan Bu Gui sebagai seorang Tuan Guru di akademi tersebut.

Yan Bu Gui sudah terbiasa dengan sikap biadab mereka dan tidak pernah terkesan dengan apa yang berlaku. Tetapi kali ini dia memandang sekilas ke arah Jun Wu Xie. Dia kasihan dengan Jun Wu Xie yang terpaksa berhadapan dengan bisikan-bisikan itu.

Namun begitu, Jun Wu Xie nampaknya langsung tidak terkesan. Yan Bu Gui menyedari yang anak muridnya ini tetap akan berdiri teguh dan tidak akan tunduk, walaupun langit jatuh menimpa mereka.

Dia begitu risau kerana menyangkakan Jun Wu Xie tidak pernah merasai keadaan seperti ini, di mana orang-orang di sekelilingnya memandangnya penuh hina.

Tetapi hakikatnya, Yan Bu Gui sudah tersalah anggap!

Sebelum Jun Wu Xie memulakan usahanya untuk menukar tampuk pemerintahan Kerajaan Qi, reputasinya sudah pun buruk. Pada ketika itu, orang-orang di Kerajaan Qi memandangnya berkali ganda lebih hina daripada ini. Tetapi….

Jun Wu Xie tidak pernah mempedulikan mereka. Matanya langsung tidak memandang orang-orang itu walau sesaat.

Akademi Phoenix yang asal mempunyai kampus yang luas tetapi kawasannya sudah banyak mengecil selepas pembinaan semula. Disebabkan kekurangan dana, bangunan-bangunan akademi ini tidak dibersihkan atau diuruskan dengan baik selama bertahun-tahun. Keadaan luarannya yang usang itu sudah jelas kelihatan, menyerlahkan lagi situasi kewangan akademi itu yang memalukan.

Bilik bacaan guru besar itu kecil sahaja dan cat di pintunya juga sudah mula terkopek. Lalang tumbuh di celah-celah tangga menuju ke pintu dan seluruh tempat itu kelihatan suram.

Sewaktu menolak pintu itu terbuka, mereka terlihat seorang lelaki tua yang kelihatan santai sedang duduk di meja di dalam bilik itu. Wajahnya sudah berusia dan berkedut-kedut. Matanya mengecil sewaktu He Qiu Sheng yang berada di sisinya tak henti-henti mengkritik Yan Bu Gui dan anak murid barunya, Jun Wu Xie, dengan suara yang nyaring..

Sewaktu melihat Yan Bu Gui dan Jun Wu Xie masuk, rungutan He Qiu Sheng semakin bertambah dan nada suaranya juga menjadi semakin tinggi.

Yan Bu Gui jelas kelihatan menggelabah. Namun Jun Wu Xie tenang sahaja, seolah-olah rungutan itu tak ada kena-mengena dengannya.

"Guru Besar, tengok tu. Dua orang ini sengaja melanggar peraturan Tuan! Saya dah buat kira-kira tadi dan beberapa hari kebelakangan ini, kerugian Sayap Timur sudah meningkat sebanyak lebih sepuluh tahil! Kalau kita terus biarkan saja mereka, mungkin seluruh Akademi Phoenix ini akan musnah disebabkan mereka." He Qiu Sheng terus-terusan mendesak.

Sebaik hal duit disebut, wajah guru besar yang kelihatan bosan itu terus menjadi bersemangat. Dia merenung Yan Bu Gui dan Jun Wu Xie.

"Bu Gui, bila kamu nak bayar hutang kamu ni? Kami tak boleh biarkan kamu berlengah-lengah membayar sampai bila-bila. Kamu benarkan anak murid kamu ni mencederakan anak murid Sayap Selatan. Sebaik berita ini sampai ke telinga keluarganya, mereka akan memburu kamu! Kalau mereka buat keputusan untuk mengeluarkan anak mereka dari akademi ini, kita akan kehilangan satu lagi sumber pendapatan!" Guru besar yang sudah tua itu membebel pada Yan Bu Gui, wajahnya menunjukkan perasaan benci.