Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 334 - Tamparan Keenam (6)

Chapter 334 - Tamparan Keenam (6)

Rancangan ini memang teliti! Sukar ditangani!

Qin Yue tak terkata apa-apa dan berasa tidak berdaya. Ketiga-tiga pemuda ini telah membuatkan Pemerintah Kumpulan Qing Yun yang hebat itu tewas sepenuhnya. Perasaan malu menghancurkan maruah Qin Yue sehingga berderai.

Satu langkah penting yang membolehkan mereka menanam benih-benih kemusnahan itu dibenarkan oleh dirinya sendiri.

Sekuat mana sekalipun kemarahan Tuan Tua lain terhadapnya, semua itu tidak lagi penting. Apa yang membuatkan dia kesal dan mahu menarik-narik rambutnya sendiri ialah kebodohannya. Realiti ini amat menyakitkan.

Seumur hidupnya, dia sering bangga merasakan dirinya lebih bijak berbanding kebanyakan orang lain. Satu kesilapan kecil telah memberi kesan ke atas segala-galanya yang dia sayangi. Malah Kumpulan Qing Yun yang amat berharga buatnya ini juga dirampas oleh tiga anak muda ini!

Dalam masa satu jam, semuanya akan musnah dan pengikut-pengikut Rumah Dalaman Kumpulan Qing Yun akan mati. Satu-satunya yang terselamat ialah Mu Chen dan pengikutnya di Puncak Menjejak Awan. Tiga roh berkontrak yang amat kuat sedang mengamuk di dalam dewan utama itu sekarang, menghalang semua laluan untuk melarikan diri.

Akhirnya, apabila hanya Mu Chen seorang saja Tuan Tua yang tinggal di dalam Kumpulan Qing Yun, dia yang akan menguasai kumpulan ini sepenuhnya. Dia juga akan menjadi satu-satunya saksi ke atas apa yang berlaku di Puncak Awan Biru. Kebenaran akan terus terkubur dan Kumpulan Qing Yun tidak akan wujud lagi selepas ini.

Qin Yue sudah pun dapat merasakan cengkaman kematian muncul di dalam Puncak Berawan!

Seorang Tuan Tua tiba-tiba berdiri, wajahnya ketakutan.

"Dengan ini saya memutuskan sepenuhnya segala pertalian saya dengan Kumpulan Qing Yun! Saya tak mahu menjadi Tuan Tua lagi! Selamatkan saya! Saya tak akan kata apa-apa untuk menentang kamu!" Tuan Tua itu merayu meminta belas kasihan sambil melutut.

Apabila nyawa terancam, kuasa dan pangkat tidak bermakna lagi. Akhirnya, semua itu tidak akan berguna.

"Saya pun sama!"

Lebih ramai Tuan Tua yang berdiri untuk menyatakan kesanggupan mereka melepaskan kedudukan sebagai pemimpin demi menyelamatkan nyawa mereka.

Wajah Qin Yue kelihatan marah dan mula menggerenyet.

Dia mengangkat dengan marah lalu menendang Tuan Tua yang mula-mula bersuara tadi. Qin Yue berkata dengan berang, "Kau fikir mereka akan lepaskan kau sebab kau dah putuskan hubungan dengan Kumpulan Qing Yun? Jangan naif sangatlah. Otak kau semua ni tiba-tiba tak berfungsi ke? Mereka tak akan berhenti sampailah kita semua ni mati!"

Tuan Tua lain berpaling memandang Jun Wu Xie dengan mata yang merayu. Namun apa yang mereka dapat lihat hanyalah senyuman berseri-seri di wajah Jun Wu Xie serta keinginan membunuh yang ganas di matanya.

Pada ketika itu, semua harapan mereka musnah. Barisan Tuan Tua ini hanya mampu meraung dan melolong, kesal dengan keadaan yang mereka rasakan sebagai tidak adil ini.

Memang sudah ditetapkan….mereka akan mati pada hari itu.

"Betul tu. Tak ada siapa yang ada harapan untuk pergi dari sini hidup-hidup. Musuh perlu dihapuskan sepenuhnya. Saya rasa kamu semua mesti faham tentang hal ini." Kata-kata Jun Wu Xie hanya mengesahkan lagi yang mereka memang tidak ada harapan. Barisan Tuan Tua ini terus terdiam.

Qin Yue merenung Jun Wu Xie dengan tajam tetapi tak dapat mengingati wajahnya. Kenapa pemuda bertubuh kecil ini beria-ia mahu membunuhnya? Kenapa dia begitu teguh dalam misinya untuk menghapuskan Kumpulan Qing Yun?

"Siapa kau? Apa permusuhan kau dengan Kumpulan Qing Yun? Kenapa kau bersungguh-sungguh nak menghapuskan Kumpulan Qing Yun!?"

Jun Wu Xie membalas dengan perlahan, tetapi kata-katanya membuatkan Qin Yue menggigil, "Kerajaan Qi, Keluarga Jun."

Qin Yue merasakan seperti dia telah dipanah petir. Dia tergamam dan berasa seram sejuk.

"Kau! Kau yang bunuh anak aku!" Kerajaan Qi, Keluarga Jun… Pembunuh Qin Yu Yan!

Jun Wu Xie mengangkat bahu, "Kumpulan Qing Yun tidak memberikan saya sebarang pilihan lain jadi saya perlu bertindak dulu. Salahkan diri kamu sendiri kerana mencari nahas."

Jun Wu Xie tidak ada permusuhan dengan Kumpulan Qing Yun sebelum ini. Kalaulah Kumpulan Qing Yun tidak menjadikan dia terdesak, Jun Wu Xie tidak perlu meninggalkan rumah dan datang ke kawasan pergunungan yang jauh ini demi merancang kemusnahan mereka.

Segala yang dia lakukan hanyalah untuk melindungi keluarganya daripada bahaya.

Kalaulah Kumpulan Qing Yun tidak berada di bawah kuasa Qin Yue, kumpulan ini mungkin tidak akan menjadi kumpulan yang menindas rakyat biasa. Semua kejadian ini juga tak akan bermula.

Malangnya mereka sendiri yang menanam benih kekejaman. Buah beracun yang terhasil akibat perbuatan kejam mereka ini bakal mereka tuai sendiri.