Qin Yue jatuh terduduk di kerusinya, telinganya berdengung.
Siapa sangka sewaktu menjalankan ekspedisi ke Kerajaan Qi yang kecil, Kumpulan Qing Yun yang kuat itu akan bertembung dengan dewa maut?
Kerajaan yang tidak menonjol itu sebenarnya menyembunyikan syaitan yang mampu menghapuskan seluruh Kumpulan Qing Yun!
Kalaulah dia tahu, Qin Yue pasti sudah melepaskan niat memiliki Jed Roh dan berharap dia tak pernah bertemu dengan Jun Xie!
Namun sudah terlalu lewat untuk menyesal dan tak mungkin dia boleh mengubah keadaan.
"Hua Yao, kamu ada masa kurang dari sejam." Jun Wu Xie berpusing untuk memandang pemuda cantik yang berdiri di sebelahnya. Kematian Qin Yue dan Kumpulan Qing Yun sudah menjadi fakta yang tak boleh diubah, tetapi Jun Wu Xie tidak lupa tentang perjanjiannya bersama-sama Hua Yao dan Qiao Chu.
Hua Yao mengangguk dan dengan satu lambaian tangannya, ular tulang berkepala dua itu merayap pantas untuk menyerang Qin Yue. Tuan Tua yang sedang berhimpit-himpit ketakutan berdekatan Pemerintah mereka itu menjerit dan lari bertempiaran. Wajah Qin Yue sudahpun pucat lesi dan sewaktu dia terpandang ular tulang berkepala dua yang besar itu, Qin Yue yang sudah berputus asa langsung tidak mahu lari.
Dengan kemahiran yang Qin Yue ada, jika dia berusaha bersungguh-sungguh untuk berlawan, dia mampu membuatkan keadaan sedikit sukar untuk Jun Wu Xie dan sekutu-sekutunya.
Tetapi setelah semua yang berlaku, semangat Qin Yue sudah luntur dan sebarang harapan yang dia ada pada mulanya tadi, sudah hancur.
Kekecohan yang menyebabkan keadaan huru-hara di dalam Kumpulan Qing Yun, bantahan Tuan Tua dan kematiannya yang bakal tiba. Semua ini sebahagian daripada rancangan Jun Xie. Anak muda itu memanipulasi dan mengawal segala-galanya. Semua kejadian ini telah menghentam Qin Yue tanpa belas kasihan dan menyingkirkan sebarang semangat juang yang telah mendorong Pemerintah angkuh ini sepanjang hidupnya.
Mudah saja bagi Jun Wu Xie untuk membunuh musuh-musuhnya. Tetapi kalau semua musuhnya itu mati dengan sekali serangan saja, itu bermakna mereka terlepas dengan mudah.
Jadi Jun Wu Xie telah membuatkan Mu Chen dan Hua Yao berpura-pura, menimbulkan kekecohan secara berterusan sehingga ke saat-saat terakhir. Semuanya demi melemahkan semangat pihak lawan. Jun Wu Xie mahu seluruh Kumpulan Qing Yun merasai kekecewaan sehinggalah ke saat kematian mereka.
Ular tulang berkepala dua itu melilitkan ekornya ke seluruh badan Qin Yue. Tulang-tulang yang tajam seperti bilah pisau itu menyiat daging Qin Yue. Kesakitan yang menyeksakan memenuhi minda Qin Yue dan sepasang mata yang merah seperti berlumuran darah merenungnya. Qin Yue seolah-olah berada di dalam mimpi ngeri. Darahnya mengalir dari luka-lukanya dan membasahi bajunya yang mewah itu sehingga berwarna merah terang. Ular tulang berkepala dua itu membawa Qin Yue menghadap Hua Yao. Pemerintah Kumpulan Qing Yun yang sebelum ini sombong dan tidak boleh disentuh itu telah dibawa turun dari tampuk pemerintahannya. Kini keadaannya kelihatan amat menyedihkan. Langsung tak ada tanda-tanda keangkuhan. Mukanya muram dan matanya tidak menunjukkan sebarang emosi.
"Di mana peta yang Ke Cang Ju berikan kepada kamu?" Hua Yao bertanya dengan terus-terang setelah membuang penyamarannya.
Qin Yue yang sudah berserah dan kecewa itu mendengar pertanyaan Hua Yao lalu matanya bersinar seketika, menunjukkan perasaan terkejut. Dia cepat-cepat kembali tenang dan matanya sekali lagi menjadi tidak berperasaan sebelum membalas dengan lemah, "Aku tak tahu apa yang kau cakapkan ni."
Hua Yao berkerut dengan jengkel dan membuat isyarat kecil dengan tangannya. Tulang-tulang yang menjerut badan Qin Yue itu menjadi semakin ketat. Bilah-bilah tulang yang tajam itu menghiris lebih dalam sehingga separuh tertanam di dalam badan Qin Yue!
Qin Yue mengeluarkan satu tangisan menyedihkan. Urat-urat di leher dan mukanya mula timbul. Mukanya merah padam dan peluhnya mengalir tanpa henti. Kepala Qin Yue terdongak sambil dia meraung kesakitan.
Darah merah pekat menitis dan terpercik ke atas lantai, membasahi kawasan sekitar.
"Mana peta tu?" Hua Yao sekali lagi bertanya dengan dingin.
Qin Yue hampir pengsan akibat terlalu sakit dan badannya mula tersentak-sentak. Dia langsung tidak boleh bercakap dan hanya mampu menggelengkan kepalanya dengan lemah.
Kedengaran jeritan-jeritan yang bertambah kuat, nada yang nyaring itu menusuk ke jiwa Tuan Tua lain. Mereka begitu gerun sehinggakan langsung tidak berganjak dari tempat mereka, ketakutan melihat Qin Yue diseksa. Mereka hanya mampu berharap tak akan menerima nasib yang sama selepas ini.
Masa terus bergerak tanpa berhenti. Satu pertiga dari tempoh masa sejam telah berlalu dan nafas Qin Yue semakin lemah. Namun begitu, dia tetap tak mahu mendedahkan sebarang maklumat tentang peta tersebut.