Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 330 - Tamparan Keenam (2)

Chapter 330 - Tamparan Keenam (2)

"Kau siapa!?" Kemarahan Qin Yue bertukar menjadi ketakutan. Ke Cang Ju telah lenyap dan sekarang ada orang lain yang menyamar sebagai dirinya! Bila semua ini bermula? Sejak bila Ke Cang Ju ini sudah ditukarkan dengan pemuda di hadapannya ini?

Tambahan pula, dia langsung tidak menyedari ada apa-apa yang berbeza sebelum ini!

Disebabkan dia tak tahu apa yang sedang berlaku, dia mula hilang kawalan terhadap situasi ini. Ketakutan Qin Yue semakin memuncak.

"Kami di sini untuk mengambil nyawa kamu!" Jun Wu Xie merenung Qin Yue, memerhatikan ekspresi gerun di wajah lelaki itu.

Pemerintah Kumpulan Qing Yun, kumpulan terkuat di dunia ini. Jarang dapat melihat muka lelaki ini herot-berot akibat ketakutan.

Jun Wu Xie yakin ekspresi ketakutan itu akan kekal di muka Qin Yue sehingga saat kematiannya!

"Kau dah melampau! Selama ini kau yang menyamar sebagai Ke Cang Ju? Kau yang bertanggungjawab membunuh pengikut puncak lain!" Qin Yue bercakap sambil mengetap giginya. Sedikit sinar harapan mula bersinar di dalam hatinya!

Kalau Ke Cang Ju selama ini sebenarnya ialah pemuda ini, Qin Yue boleh menolak segala kesalahan ke atasnya dan mengalihkan kemarahan serta kebencian Tuan Tua lain!

"Saya yang mencadangkannya," kata Jun Wu Xie kepada Qin Yue sambil tersenyum.

"Kejam dan ganasnya kau ni! Berani kau menimbulkan kebencian di antara Pemerintah dan Tuan Tua!? Tuan Tua sekalian, kamu dah dengar apa yang dia katakan. Segala kekecohan ini dilakukan oleh penjahat-penjahat ini! Mereka berkomplot untuk memisahkan kuasa Kumpulan Qing Yun dan menjalankan rancangan rahsia mereka!" Qin Yue terdesak menggapai sinar harapan terakhir ini dan cuba meletakkan semua kesalahan ke atas pemuda itu!

Seperti yang dijangka, setelah identiti Hua Yao terbongkar, Tuan Tua lain mula sedar daripada keadaan terkejut. Hal ini berlaku terlalu tiba-tiba dan kejadian yang berlaku itu amat mengejutkan serta sukar dipercayai. Kebencian terhadap Qin Yue mula berpindah kepada musuh yang tidak dikenali itu.

Barisan Tuan Tua itu menyedari hakikat yang dalam keadaan sebegini, mereka perlu bersatu menentang ancaman luar!

"Aku dah agak yang Tuan Tua Ke tak mungkin akan melakukan perbuatan kejam seperti itu! Jadi kaulah penjahatnya! Beritahu kami perkara sebenar, apa yang kau dah lakukan kepada Tuan Tua Ke?" Qin Yue dapat melihat yang kemarahan Tuan Tua lain sudah mula reda dan dia dengan agresif mendorong mereka untuk mengubah haluan kemarahan mereka sepenuhnya.

Tak kira siapa pemuda-pemuda ini, mereka tidak akan dapat meninggalkan Puncak Awan Biru hidup-hidup!

Qin Yue ketawa di dalam hatinya memikirkan ketiga-tiga pemuda ini masih kurang berpengalaman. Kalau mereka tidak mendedahkan diri mereka dan menggunakan identiti Ke Cang Ju untuk menimbulkan kemarahan Tuan Tua lain, Qin Yue pasti sudah terseksa akibat kemarahan barisan Tuan Tua.

Sebaik keadaan menjadi semakin hangat, budak-budak dungu ini mendedahkan diri mereka dan mengejutkan Tuan Tua lain. Sekarang ini kemarahan mereka sudah reda sepenuhnya!

Qin Yue hampir ketawa terbahak-bahak. Syurga juga menyebelahinya!

Jun Wu Xie terlihat keriangan Qin Yue yang cuba disembunyikan. Senyuman Jun Wu Xie menjadi semakin lebar. "Ke Cang Ju? Kamu boleh berjumpa dengan dia tak lama lagi. Di dalam neraka."

Qin Yue kaku. "Kau bunuh dia?" Matanya terbeliak kebingungan.

Qin Yue amat arif tentang kebolehan Ke Cang Ju. Pakar roh biru yang berkemahiran tinggi juga mungkin bukan tandingannya. Ke Cang Ju mungkin tidak memiliki kuasa rihani, tetapi kemahirannya dalam penggunaan racun tidak boleh dipandang ringan!

Setakat tiga orang pemuda ini, tak semudah itu mereka dapat membunuh seorang pengguna racun yang mahir seperti itu.

"Ya," Jun Wu Xie menjawab dengan jujur.

Qin Yue mengecilkan matanya kerana marah lalu berkata, "Kau berani bunuh Tuan Tua Kumpulan Qing Yun dan para pengikut kami! Kau juga berani cuba menimbulkan persengketaan di antara Tuan Tua lain dan aku. Cuba membuatkan hubungan kami renggang! Tak ada seorang pun daripada kamu yang boleh meninggalkan tempat ini dengan selamat hari ini!"

Related Books

Popular novel hashtag