Jun Wu Xie berkata sambil tersenyum, "Jangan bimbang, tak semua orang dalam Kumpulan Qing Yun ni yang akan mati. Kami juga belum mahu pergi lagi."
Qin Yue merenung Jun Wu Xie, tak percaya yang anak muda bertubuh kecil molek ini berani bersikap biadab dengannya!
Anak muda itu mengatakan yang tak semua orang di dalam Kumpulan Qing Yun itu akan dibunuh dan mereka bertiga pula tak berniat mahu melarikan diri!
Adakah maksud anak muda ini dia mahu memusnahkan Kumpulan Qing Yun!?
"Kau ni dah melampau sangat! Hapuskan Kumpulan Qing Yun? Kau fikir kau mampu buat begitu?" Qin Yue ketawa dingin.
Semua Tuan Tua berdiri setelah mendengar kata-kata Jun Wu Xie yang bersifat provokatif itu. Tak kira betapa huru-haranya keadaan di antara pemimpin-pemimpin Kumpulan Qing Yun, apabila berhadapan dengan ancaman luar, mereka akan berganding bahu untuk menjatuhkan musuh.
"Budak biadab. Kau akan makan balik kata-kata kau ni. Kau hanya bertiga dan nak hapuskan seluruh Kumpulan Qing Yun? Jangan berguraulah!" Cai Zhuo mencemuh sambil memandang tiga orang anak muda di hadapan mereka. Selepas terkejut dengan pendedahan tadi, dia sudah dapat menenangkan dirinya.
Di mata para Tuan Tua ini, mereka mengakui yang anak-anak muda ini berkebolehan juga kerana mampu membunuh Ke Cang Ju. Tetapi mereka berani mempermainkan pemimpin-pemimpin Kumpulan Qing Yun yang hebat ini. Barisan Tuan Tua yang angkuh dan egoistik itu tidak dapat menerima kenyataan yang mereka telah dipergunakan dalam rancangan pemuda-pemuda ini.
"Sama ada gurauan ini untuk saya atau kamu, kita tengok saja nanti," kata Jun Wu Xie dengan lembut.
"Oh! Memang aku nak tengok sangat. Tunjukkan aku apa yang kau ada untuk membuktikan kata-kata angkuh kau tu!" Kebimbangan Qing Yue sudah lenyap pada ketika itu dan dia menjadi marah. Kalau tak kerana tiga orang pemuda ini, dia tak akan diseksa akibat diragui dan tak dipercayai sehingga hampir menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin. Kekecohan juga tak akan berlaku di dalam Kumpulan Qing Yun dan barisan Tuan Tua ini tak akan bersatu menentangnya!
Qin Yue menjerit dengan kuat dan ramai pengikutnya yang sedang berkawal di luar, meluru masuk ke dalam dewan. Lebih seratus orang pengikut mengelilingi Jun Wu Xie, Qiao Chu dan Hua Yao, menghalang jalan untuk mereka melarikan diri.
"Tak kira betapa hebatnya kau rasa kebolehan kau tu, jangan fikir untuk terlepas dari sini hidup-hidup!" Mata Qin Yue bersinar kejam.
Jun Wu Xie memandang pengikut Puncak Awan Biru yang mengelilingi mereka dan senyumannya semakin melebar.
"Melarikan diri? Tak perlu pun."
"Pengikut sekalian, dengar arahan aku! Tangkap mereka bertiga sekarang!" Qin Yue melaung.
Pada ketika itu, semua pengikut Puncak Awan Biru menerkam ketiga-tiga orang pemuda tersebut!
Pada masa yang sama, dua bayangan kabur meluru keluar dalam kalangan kerumunan orang ramai itu!
Seekor ular tulang berkepala dua menjalar sepantas kilat. Ular tulang berkepala dua itu tak ada daging pada badannya, hanya tulang yang putih berkilauan. Sepasang mata yang merah pada kedua-dua kepalanya merenung tajam pada pengikut-pengikut Puncak Awan Biru. Setiap kepalanya sebesar seorang lelaki dewasa! Ular tulang berkepala dua itu melibas ekornya ke arah kerumunan pengikut itu dan ekornya yang bergerigi dan setajam bilah-bilah pisau itu menghiris apa sahaja yang berada di laluannya! Darah mengalir dan daging tersiat!
Di sebelah lagi dewan itu pula, seekor beruang yang besar meraung dengan kuat sehingga membingitkan telinga. Bulunya yang separuh hitam dan separuh putih itu menampakkan penampilan yang menggerunkan. Beruang ini setinggi dua meter dan satu hayunan tangannya mampu mencincang kerumunan pengikut-pengikut iut!
Kemunculan tiba-tiba dua roh berkontrak yang besar ini membuatkan pengikut-pengikut Puncak Awan Biru yang mengelilingi tiga orang berkenaan meraung ketakutan. Ramai yang terlalu menggelabah dan dengan kelam-kabut cuba menyeru roh berkontrak mereka sendiri. Sayangnya, roh berkontrak mereka itu amat menyedihkan daripada segi saiz atau kuasa serangan, langsung tidak menjadi ancaman kepada dua binatang besar di hadapan mereka ini!
Mata Qin Yue terbeliak dan dia tidak mampu untuk mengalihkan pandangan daripada dua roh berkontrak berbentuk binatang ini yang mula mengamuk di seluruh dewan. Sudah banyak perkara yang Qin Yue saksikan dalam dunia ini, tetapi dia tidak pernah lihat lagi sesuatu yang menyerupai kedua-dua roh berkontrak itu! Malah kedua-dua roh berkontrak itu mampu mengalahkan roh berkontrak milik pelbagai pakar-pakar handalan di situ!
"Cepat! Bawa pakar handalan jemputan ke mari! Qin Yue mula berpeluh-peluh. Siapa sangka tiga orang pemuda yang tidak dikenali ini mempunyai roh berkontrak yang cukup menggerunkan dan berkuasa hebat? Kalau dibiarkan saja, habis semua pengikut Kumpulan Qing Yun akan mereka bunuh!