Salah seorang Tuan Tua di situ tergamam melihatkan apa yang berlaku dan hanya terpaku memandang dengan penuh gerun. Setelah mendengar jeritan Qin Yue, dia kembali sedar dan terus bergerak untuk berlari keluar untuk mendapatkan pertolongan.
Namun begitu, belum sempat dia melangkah ke luar pintu, satu bayang-bayang besar menjelma dan menolaknya masuk kembali ke dalam dengan kuat!
Binatang hitam besar itu berdiri menghalang pintu dengan badannya dan menderam sambil menundukkan kepalanya. Binatang hitam besar itu membuka mulutnya, menyerlahkan taringnya yang tajam! Tuan Tua yang hampir pengsan akibat ditolak tadi memandang ke pintu. Sebaik ternampak binatang besar itu, kakinya menjadi lemah longlai.
Darah terpercik di seluruh dewan utama dan pengikut Puncak Awan Biru mula rebah satu demi satu. Di tengah-tengah serangan dua binatang besar itu, ketiga-tiga pemuda tersebut berdiri sambil memandang tenang timbunan mayat yang semakin banyak.
Jun Wu Xie berdiri dalam kalangan kekecohan itu dan memerhatikan Qin Yue yang kelihatan pucat. Dia memerhatikan lelaki itu dalam diam dan kedinginan di matanya semakin memuncak.
Qin Yue berasa seram sejuk apabila melihat sepasang mata yang dingin itu.
Dia langsung tidak ingat bagaimana dia telah menyinggung perasaan dewa-dewa maut ini. Mereka jelas lagi masih terlalu muda, tetapi roh berkontrak mereka sudah begitu kuat!
Melihat roh-roh berkontrak ini, Qin Yue yang handal itu juga tidak berani melangkah masuk ke medan pertempuran.
Dia sudah melihat kebolehan mereka. Di dalam hatinya, dia tahu yang dia tak dapat menandingi tiga roh berkontrak yang sedang membunuh pengikut-pengikutnya itu!
Ketakutan di dalam hati Qin Yue semakin meningkat dan mencengkam hatinya. Dia merasakan dirinya sudah berada di ambang kematian.
Qin Yue dapat membayangkannya di dalam mindanya. Semua pengikutnya dibunuh dan darah mereka meliputi setiap inci lantai dewan utama itu. Mayat-mayat mereka ditimbun tinggi, mengelilingi satu-satunya kawasan marmar putih bersih yang dapat dilihat di bawah kaki ketiga-tiga pemuda tersebut.
Pertempuran penuh bencana di hadapannya ini langsung tidak memberi kesan ke atas ketiga-tiga pemuda yang berdiri di tengah-tengah dewan.
Qin Yue dan Tuan Tua lain semuanya sedang dalam ketakutan. Selama ini mereka dihormati dan dipandang tinggi oleh semua orang di dunia. Mereka tidak pernah menyangka tiga budak muda ini akan membuatkan mereka merasai ketakutan seperti ini, mulut mereka terasa pahit.
Keangkuhan dan maruah tidak bermakna lagi pada mereka di saat ini. Semuanya sudah hancur berkecai. Sikap angkuh dan bangga diri mereka sudah lenyap dan mereka berdiri sambil menggigil, tidak mampu bergerak walau sedikit pun. Mereka mengharapkan ini hanyalah mimpi ngeri.
"Siapa yang perlu melarikan diri sekarang ni?" Jun Wu Xie tersenyum memandang Tuan Tua yang sedang berhimpit-himpit sesama mereka itu.
Hanya seorang Tuan Tua di dalam dewan itu yang masih duduk dengan tenang. Dia dan Jun Wu Xie bertentang mata lalu dia bangun dan perlahan-lahan berjalan ke arah ketiga-tiga pemuda tersebut.
"Apa yang Mu Chen lakukan tu?" tanya Cai Zhuo sambil bersembunyi di sebalik seorang Tuan tua lain. Dia mengintai-intai Mu Chen yang sedang berjalan menuju Jun Wu Xie.
Mata Qin Yue merenung tajam pada Mu Chen.
"Kamu lebih hebat daripada apa yang saya sangkakan. Saya bangga dapat bekerjasama dengan kamu." Mu Chen melangkah melalui lantai yang berlumuran darah itu dan berdiri di hadapan Jun Wu Xie. Senyuman yang menghiasi wajahnya ialah senyuman ikhlas pertama yang datang dari hatinya sejak lebih satu dekad yang lalu.
"Belum berakhir lagi," kata Jun Wu Xie sambil tersenyum.
Qin Yue terdengar perbualan di antara Mu Chen dan Jun Wu Xie. Telinganya berapi-api mendengarkan pembelotan Tuan Tua tersebut. Wajahnya bertukar menjadi kemerah-merahan.
"Mu Chen! Kau bersubahat dengan mereka!? Kau mahu memusnahkan Kumpulan Qing Yun? Sebagai Tuan Tua Kumpulan Qing Yun, bagaimana kau sanggup buat begitu?" Mu Chen ialah orang terakhir yang dia sangkakan akan mengkhianati Kumpulan Qing Yun.
Ayah Mu Chen merupakan mantan Pemerintah Kumpulan Qing Yun dan Mu Chen telah dibesarkan di Puncak Berawan. Perasaan cintanya terhadap Kumpulan Qing Yun ini melebihi apa yang orang lain di situ rasai.