[Tok Guru apa? Tolonglah, dia langsung tidak wujud!] Jun Wu Xie kekal tenang dan eskspresinya menjadi dingin.
"Apa! Kamu kata kamu juga makan biji benih teratai itu? Bagaimana keadaan kamu? Sakitkah?" Jun Xian telah menyaksikan anaknya, seorang Jeneral Perang mengerekot seperti udang akibat sakit yang tidak tertahan. Apatah lagi gadis berusia empat belas tahun ini yang langsung tidak ada tenaga rohani? Jun Xian amat tidak keruan dan bertanya dengan ekspresi penuh kerisauan.
Jun Wu Xie menggelengkan kepalanya. "Saya tak apa-apa, ada rasa tidak selesa sikit, tapi tidaklah seperti Pak Cik. Badannya memberi reaksi yang teruk kerana dia pernah diracun sebelum ini dan racun itu sudah meresap jauh ke dalam rekahan tulangnya selama ini. Biji benih teratai menyucikan tulang sumsum, memberikan Pak Cik tulang baru ibarat dilahirkan semula. Pak Cik mengalami kesakitan sebegitu kerana biji benih teratai memerah keluar semua racun daripada setiap ceruk. Memandangkan racun itu sudah tertanam jauh ke dalam tulangnya, proses pembersihan itu sangat teliti demi mengeluarkan segala kekotoran dan racun. Semua ini sudah disingkirkan keluar melalui liang-liang roma bersama peluh Pak Cik, jadi tidak perlu risau tentang komplikasi di masa akan datang."
Kalau dia tidak berjaya menyelamatkan Jun Qing, dia tidak layak untuk terus hidup.
Selepas Jun Xian mendengar yang semua kekotoran dan racun dalam badan Jun Qing sudah dikeluarkan bersama peluhnya, matanya terbeliak.
"Selepas Pak Cik bangun, memang dapat merasakan ada perubahan. Badan PakCik lebih ringan dan sewaktu Pak Cik duduk tadi, kaki Pak Cik dapat merasakan sesuatu." Jun Qing menyatakan dengan penuh teruja.
Keadaannya sama saja selama beberapa tahun kebelakangan ini, seolah-olah dia langsung tidak mempunyai kaki. Kini, walaupun cuma terdapat sedikit perubahan deria rasa, dia sudah sangat gembira.
"Tok Guru kata selepas semuanya dikeluarkan, dengan tambahan ubat dan mandian ubatan, dalam masa setengah tahun kaki Pak Cik akan pulih seperti dulu." Jun Wu Xie menggunakan 'Tok Guru' untuk memperlihatkan kemahirannya.
Keadaan dalam bilik itu menjadi senyap.
Kedua-dua lelaki itu terlopong memandang Jun Wu Xie, mata mereka terbuka luas.
Selepas bersusah-payah selama lebih sedekad, akhirnya mereka dapat lihat sinar harapan!
"Wu Xie, apa maksud kamu...seperti dulu…? Maksud kamu, Pak Cik kamu boleh berjalan kembali?" Jun Xian tidak dapat menahan perasaan terujanya, dia menahan dirinya daripada melompat kegembiraan kerana tidak mahu menakutkan cucunya.
Jun Wu Xie mengangguk, "Pak Cik akan dapat berjalan seperti orang lain, cuma kerana dia sudah berada di atas kerusi roda selama lebih sedekad, ototnya tidak berkembang. Jadi kalau Pak Cik mahu kembali kepada keadaan sebelum ini, perlukan masa sehingga satu tahun untuk berlatih dan memulihkan bahagian bawah badannya."
"Apa?…Pak Cik boleh kembali kepada keadaan itu dalam masa satu tahun?" Jun Qing berasa seperti sedang bermimpi. Dia tergamam dan sangat gembira sehingga berasa pening dan ekspresi wajahnya terkejut bercampur gembira.
Dia fikirkan dalam kehidupan ini, dia akan menggunakan kerusi roda selama-lamanya. Sebarang harapan untuk dia berjalan kembali hanya mimpi. Mimpi yang sanggup ditukarkan dengan apa saja demi menjadikannya realiti.
Dan Jun Wu Xie kata dia boleh berjalan dan juga mengembalikan dirinya pada keadaannya dulu!
Benarkah dia tidak bermimpi?
Jun Wu Xie memandang dua orang lelaki yang hampir menangis dengan muka mereka yang merah kerana teruja. Dia memandang mereka dengan ekspresi kebingungan. Perlukah rasa teruja seperti ini?
Dia tidak faham, kaki Jun Qing bukan masalahnya. Yang susahnya ialah menyingkirkan racun yang sudah meresap jauh ke dalam tulangnya. Tetapi hal itu kini sudah diselesaikan, mengapa mereka terlalu teruja?