Pada pendapat Jun Wu Xie, Pak Ciknya tidak dapat berjalan bukan kerana racun itu terlalu bertoksik, sebabnya ialah...tabib-tabib di dunia ini sangat teruk!
Tidak pernah terlintas dalam fikiran Jun Wu Xie yang masalah itu bukan berpunca daripada tabib-tabib di dunia ini, sebaliknya dia yang terlalu luar biasa! Kemahirannya di tahap yang tidak dijangkakan, ibarat seorang graduan universiti membuat kerja rumah pelajar sekolah rendah. Begitulah tahap perbezaan kemahiran mereka.
"Ya" Dia menjawab keterujaan .
Mereka hanya diam tetapi dapat dilihat api menyala di mata mereka sambil mereka cuba menghadamkan segala maklumat itu.
Istana Lin sedang mengalami kemerosotan akibat ketiadaan waris, namun jika dalam masa beberapa tahun Jun Qing boleh sembuh dan kembali ke puncak kekuatannya, Istana Lin akan kembali menikmati kegemilangan.
Peluang ini terlalu penting buat mereka ketika ini.
"Wu Xie, ada banyak perkara penting yang berisiko, hal pemulihan Pak Cik kamu mesti dirahsiakan. Tentang Tok Guru kamu…" Jun Xian mula memikirkan hal penting ini.
"Tok Guru saya kata dia tak berminat dengan hal duniawi." Rahsia apa yang boleh didedahkan oleh seseorang yang tidak wujud?
"Baguslah kalau begitu. Kita perlu berterima kasih dengan Tok Guru kamu atas segala pertolongannya! Tolong sampaikan kepadanya yang jika ada apa-apa yang Istana Lin boleh bantu dia, kalau hal itu mampu kami laksanakan, kami akan lakukan apa saja untuk menunaikannya!" Jun Xian mula berceloteh dengan teruja.
"Saya akan sampaikan kepadanya." Jun Wu XIe menjawab perlahan.
"Terima kasih Wu Xie." Jun Qing memandang Wu Xie dengan mata yang mesra dan senyuman yang lembut. Dia amat bersyukur kerana mempunyai sokongan yang kuat daripada keluarganya selama ini dan kini menurut anak saudara kesayangannya, dia boleh menyembuhkan Jun Qing dengan bantuan Tok Gurunya. Jun Qing berasa tidak sabar lagi!
Ucapan "terima kasih" Jun Qing menyebabkan Jun Wu Xie berasa sesuatu dalam hatinya. Dia sedikit terkejut. Sebelum ini, dia sudah menyelamatkan ramai orang dan menerima ucapan 'terima kasih' daripada mereka. Tetapi ucapan "terima kasih" itu tidak berbekas dalam hatinya..
Namun kali ini, ucapan 'terima kasih' Jun Qing membuatkan dia merasakan satu kehangatan dari dalam dirinya dan Jun Wu Xie berasa sedikit gembira. Dia memberikan senyuman lembut yang jarang dapat dilihat.
Nampaknya, memberikan rawatan kepada ahli keluarga sendiri akan menimbulkan perasaan yang berbeza.
Sambil dia asyik dibuai perasaan ini, Jun Wu Xie meneruskan kata-katanya, "Tok Guru ada berikan saya beberapa biji benih teratai dan saya mahu berikan sebiji kepada Datuk juga tetapi memandangkan keadaan Pak Cik yang luar biasa, saya perlu menumpukan perhatian kepada rawatannya buat masa sekarang. Saya perlukan sedikit masa untuk menyediakan keperluan kesihatan tubuh badan Datuk." Dia tidak boleh cuai memandangkan Datuknya sudah agak berumur dan dia perlu lebih berhati-hati. Dia mahu membuat persiapan selengkapnya sebelum memulakan rawatan bagi menyingkirkan segala kemungkinan.
Jun Xian tidak pernah terfikir ada bahagian untuknya dalam peluang berharga ini. Mendengar kata-kata Jun Wu Xie, dia sudah dapat mengagak yang cucunya itu sudah memulakan persiapan rawatannya.
Jun Xian menjadi penuh emosi dan dengan kekoknya dia berpaling dan senyap-senyap mengesat air matanya yang hampir mengalir.
Cucunya kini sudah dewasa. Dia semakin bijak.
Di masa akan datang, siapa yang berani menggelar Jun Wu Xie sebagai sampah? Dia tidak akan benarkan sesiapa menyentuh walau seurat rambut cucunya! Tiada siapa akan selamat jika mereka membuli Jun Wu Xie!
"Datuk serahkan semuanya pada kamu. Datuk akan beritahu Pak Cik Fu dan minta dia beri arahan kepada pekerja di dapur. Kamu lakukan apa yang perlu, tak perlu minta nasihat Datuk." Jun Xian ketawa kecil dan menarik nafas lega.
Dahulu, walaupun dia amat memanjakan dan menyayangi Jun Wu Xie tanpa batasan, dia tahu yang cucunya suka mempermainkan orang lain dan bersikap angkuh, jadi dia telah mengenakan banyak sekatan ke atas Jun Wu Xie untuk mengelak berlakunya masalah. Tetapi kini dia merasakan hatinya akhirnya tenang sambil dia memerhatikan cucu kesayangannya itu.
Bijak, tenang, kemahiran perubatan yang mengagumkan, mengambil berat tentang keluarganya malah disokong oleh Tok Guru yang sangat kuat. Di mana lagi dalam dunia ini boleh ditemui cucu yang hebat seperti ini?