Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 316 - Ketegasan Mu Chen (3)

Chapter 316 - Ketegasan Mu Chen (3)

Semua pengikut Kumpulan Qing Yun tahu kalau mereka dibawa masuk ke Puncak Awan Tersembunyi, itu bermakna nyawa mereka bakal berakhir.

Tetapi pengikut Puncak Menjejak Awan memberikan reaksi yang berbeza. Mereka tahu yang hanya maut menanti mereka di Puncak Awan Tersembunyi. Tetapi demi mengelakkan Qin Yue mendapat alasan untuk mengenakan Mu Chen, mereka memilih untuk mengorbankan diri dan melindungi Mu Chen!

Ini membuatkan orang lain tertanya-tanya betapa tingginya penghormatan pengikut Mu Chen terhadapnya sehinggakan mereka tidak mempedulikan keselamatan diri dan sanggup bergadai nyawa untuknya.

Jun Wu Xie memerhatikan semuanya tanpa berkata apa-apa. Dia berpusing memandang Mu Chen.

Para pengikutnya sanggup mati demi dia. Apa yang akan Mu Chen lakukan?

Mu Chen menarik Rong Heng dan seorang lagi pengikutnya itu lalu menolak mereka ke belakangnya. Dia berkata kepada Hua Yao, "Saya tak akan benarkan kamu ambil walau seorang pun pengikut Puncak Menjejak Awan. Kalau kamu bertegas, langkah mayat saya dulu! Sila pergi dari sini Tuan Tua Ke. Pergilah berjumpa dengan Qin Yue kalau kamu mahu. Buatlah sesuka hati kamu di dalam Kumpulan Qing Yun. Namun, saya, Mu Chen, akan tetap berada di sini untuk menentang kamu. Saya dah nyatakan pendapat saya. Selagi saya masih Tuan Tua Puncak Menjejak Awan, masih lagi Guru pengikut-pengikut ini, tak ada siapa yang boleh memaksa pengikut saya melakukan sesuatu yang bukan kehendak mereka!"

Mu Chen tidak menunggu jawapan Hua Yao dan terus berpusing. Dia menolak para pengikutnya ke belakang. Mu Chen sudah menyatakan pendiriannya dengan jelas dan para pengikutnya ini tidak akan dijadikan mangsa!

"Saya rasa saya akan bertambah sukakan Mu Chen. Dia lebih baik berbanding orang hipokrit yang sombong di puncak-puncak lain." Qiao Chu memerhatikan Mu Chen beredar dengan para pengikutnya. Qiao Chu memberikan isyarat dua ibu jari di dalam hatinya, memuji sikap Mu Chen. 

"Sikap Mu Chen ini pasti akan menyebabkan kematiannya kalau saya ni Ke Cang Ju sebenar." Hua Yao mengubah ekspresi wajahnya yang menggerunkan dan kembali kelihatan tenang.

"Air yang tenang jangan disangka tak ada buaya. Mu Chen menerima saja segala penindasan ke atasnya, tapi kalau ada yang melampaui batas, dia tak akan hanya berdiam diri." Jun Wu Xie gembira melihatkan reaksi Mu Chen tadi. Kalau Mu Chen bertindak seperti Tuan Tua lain dan membenarkan Hua Yao membawa pergi para pengikutnya, Jun Wu Xie langsung tak akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengannya. 

"Benda ni masih perlu disembunyikan dalam Puncak Menjejak Awan?" tanya Qiao Chu yang sedang memegang satu beg kain kecil.

Jun Wu Xie menggelengkan kepalanya.

"Kita perlu duduk berbincang dengan Mu Chen. Berbincang dengan serius," kata Jun Wu Xie.

"Itupun kalau Mu Chen masih mahu berjumpa dengan kita. Melihatkan reaksinya tadi, dia macam hampir-hampir nak bunuh Abang Hua." Qiao Chu tidak merasakan mereka ada peluang untuk duduk berbincang dengan Mu Chen.

"Dia akan berjumpa dengan kita," Jun Wu Xie meyakinkan Qiao Chu.

"Kamu ada rancangan?" Hua Yao berpaling memandang Jun Xie. Dia dapat merasakan kepala budak ini penuh dengan idea yang bijak.

Jun Wu Xie melambai memanggil Hua Yao dan lelaki itu mendekatkan telinganya.

Kata-kata yang perlahan dibisikkan ke telinga Hua Yao.

Mata Hua Yao bersinar-sinar dan dia berkata, "Rasanya rancangan ini akan berhasil."

Seketika kemudian, Hua Yao dan para pengikutnya masih lagi berada di Puncak Menjejak Awan walaupun telah berkali-kali disuruh pergi oleh Mu Chen. Mereka mula merayau-rayau di kawasan sekitar. Pengikut Puncak Menjejak Awan menyangkakan mereka sudah beredar dari situ. Para pengikut ini kemudiannya meneruskan rutin harian mereka tanpa memikirkan hal ini lagi….

Mu Chen duduk di dalam bilik bacaannya dengan muka yang marah. Dia menggenggam tangannya dan menumbuk mejanya dengan kuat! Sambil mengetap gigi, Mu Chen merenung pintu yang dikunci rapat di hadapannya. Matanya membara dengan kebencian yang meluap-luap.

Tiba-tiba Rong Heng meluru masuk sambil kelihatan menggelabah.

"Tuan Tua Mu! Tuan Tua Ke sudah menculik Lin Kecil dan membawa dia kembali ke Puncak Awan Tersembunyi!"

Mu Chen bingkas bangun dan kerusinya terhempas ke atas lantai. Matanya menunjukkan perasaan tidak percaya.

Ke Cang Ju sudah melampau!

"Pastikan semua pengikut lain berada kekal di dalam Puncak Menjejak Awan dan jangan benarkan mereka keluar! Saya akan ke Puncak Awan Tersembunyi!" Mu Chen mengetap giginya. DIa tidak terfikir Ke Cang Ju ini sanggup bertindak keji selepas permintaannya ditolak. Ke Cang Ju langsung tidak mempedulikan Mu Chen dan menculik salah seorang pengikut Puncak Awan Tersembunyi!

Mu Chen tidak dapat menahan dirinya lagi. Penindasan yang dialaminya selama bertahun-tahun, menyalakan api yang marak di dalam hatinya. Selepas memberikan beberapa arahan kepada Rong Heng, dia bergegas pergi ke Puncak Awan Tersembunyi secepat mungkin!

Kalau Ke Cang Ju berani mengapa-apakan pengikutnya, Mu Chen akan memusnahkan seluruh Puncak Awan Tersembunyi!

Related Books

Popular novel hashtag