Di dalam Puncak Awan Tersembunyi, Qiao Chu memandang pengikut Puncak Menjejak Awan yang terbaring di atas lantai. Tanpa kerelaan hatinya, Qiao Chu telah memukul pengikut itu sehingga pengsan.
"Saya rasa, sebaik Mu Chen melihat keadaan ini, reaksi pertamanya pasti sekali meluru dan menyerang kita dengan pedang berapi. Dia tak akan nak...duduk berbincang." Qiao Chu memikirkan yang Jun Xie akan memberikan idea yang bernas. Rupa-rupanya cuma penculikan biasa yang kejam!
Tarik saja mana-mana pengikut Puncak Menjejak Awan, pukul sehingga pengsan dan bawa dia pulang. Rancangan jenis apa macam tu?
Mereka mahu bekerjasama dengan Mu Chen, bukannya buat dia lebih bencikan mereka. Betul tak?
"Bertenang. Dengan adanya pengikut dia di tangan kita, dia tak akan bertindak terburu-buru." Jun Wu Xie duduk di satu sudut sambil menghirup teh dengan tenang.
Qiao Chu berasa seperti mahu menangis ketika itu. Dia sudah menjadi penculik! Xie Kecil sebelum ini membuktikan dirinya mempunyai minda yang tajam dan bijak. Adakah dia sekarang ini sudah menjadi penjenayah bersiri….
"Mungkin dia tidak akan terburu-buru dan mengambil tindakan drastik, tapi adakah dia akan bekerjasama dengan kita selepas ni?" Tanpa langsung berbincang tentang hal bekerjasama, mereka telah menculik pengikut Mu Chen. Walaupun sebab di sebaliknya ialah untuk membuatkan Mu Chen datang pada mereka, cara yang mereka gunakan ini mungkin sedikit ganas.
"Mestilah, selagi kita semua berkongsi objektif yang sama," Jun Wu Xie amat yakin dalam hal ini.
Selepas beberapa ketika, bunyi jeritan kedengaran dari halaman luar. Pintu yang dikunci itu ditendang dengan kuat sehingga terbuka. Mu Chen yang kelihatan amat marah merenung "Ke Cang Ju" yang berada dalam bilik tersebut. Matanya menunjukkan niat membunuh. Pandangan matanya dengan cepat beralih ke arah pengikutnya yang terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai, dengan pantas cuba mengesan sebarang kecederaan. Mu Chen mengeluh lega setelah mendapati pengikutnya itu tak apa-apa.
"Ke Cang Ju! Apa yang kamu buat ni? Lepaskan pengikut saya sekarang!" Mu Chen menjerit. Roh berkontraknya sudah diseru, muncul dalam bentuk sebilah pedang tajam yang digenggam kemas di dalam tangannya.
Tetapi Mu Chen tidak menyangka yang "Ke Cang Ju" cuma diam sahaja. Sebaliknya, jawapan yang diterimanya datang daripada anak muda yang Mu Chen pertama sekali pilih untuk masuk ke dalam Puncak Menjejak Awan.
"Tuan Tua Mu, pengikut kamu ada dalam tangan kami. Kalau kamu tak mahu apa-apa terjadi padanya, baik kamu ikut saja cakap kami." Jun Wu Xie mengangkat keningnya dan memandang Mu Chen dengan penuh ancaman.
Qiao Chu hampir tercekik kerana terkejut. Kata-kata Jun Xie sama bunyinya macam seorang penjahat!
Mu Chen merenung Jun Wu Xie dengan marah dan kecewa. Kemarahan dia adalah disebabkan perasaan tidak berdayanya dalam situasi ini dan kekecewaannya ialah disebabkan perubahan drastik yang berlaku pada Jun Xie.
Sewaktu kali pertama dia melihat anak muda bertubuh kecil ini, Mu Chen kagum dengan ketepatan diagnosis dan kaedah rawatan yang dicadangkan oleh Jun Xie. Dia amat mengharapkan anak muda ini dapat menyertai Puncak Menjejak Awan sebagai pengikutnya. Namun begitu, nasibnya malang kerana Jun Xie telah dirampas oleh Ke Cang Ju.
Pada mulanya, dia berasa risau tentang Jun Xie, takut kalau-kalau pemuda kecil molek yang bijak ini akan terseksa di tangan Ke Cang Ju. Tapi tak berapa lama kemudian, Ke Cang Ju membawa Jun Xie dan seorang lagi pengikutnya untuk melawat puncak-puncak lain. Ketika itulah Mu Chen sedar yang kebimbangannya itu tidak berasas. Ke Cang Ju mungkin kejam dan berniat jahat, tetapi pengetahuan anak muda bertubuh kecil ini dalam bidang perubatan, amat jarang ditemui. Mu Chen berasa lega memikirkan yang Ke Cang Ju sekalipun akan teragak-agak untuk memusnahkan seorang genius yang telah menyertai Kumpulan Qing Yun.
Namun begitu, Mu Chen tidak pernah terfikirkan yang bukan sahaja Jun Xie diterima sebagai pengikut Ke Cang Ju, malah turut berjaya mendapatkan kepercayaannya. Kebelakangan ini, Jun Xie sebenarnya semakin menyerupai Ke Cang Ju dari segi sikapnya dan sudah belajar untuk menggunakan ancaman.
Mu Chen berasa amat sedih ketika itu. Anak muda ini sepatutnya cemerlang dalam bidang perubatan, tetapi sebaliknya telah dirosakkan oleh Ke Cang Ju sehingga menjadi seseorang yang menyedihkan. Dia menangisi "perubahan" yang berlaku ke atas Jun Xie.
"Jun Xie, kamu tahu tak orang jenis apa yang kamu ikut ni? Ke Cang Ju ni ibarat syaitan! Berapa ramai di dalam Kumpulan Qing Yun ini yang sudah mati di tangannya? Jangan terus hidup dalam kehinaan seperti ini! Kamu masih muda dan perjalanan hidup kamu masih panjang!" Mu Chen cuba memujuk sambil teringatkan tanggapan baiknya terhadap pemuda itu sewaktu pertama kali mereka bertemu. Dia juga berasa bersalah kerana tak dapat menyelamatkan Jun Xie daripada Ke Cang Ju. Mu Chen tidak dapat menahan dirinya daripada cuba menarik kembali pemuda itu dari jurang yang dalam.