Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 308 - Hapuskan (3)

Chapter 308 - Hapuskan (3)

"Kalau setakat nak bunuh beberapa orang saja, aku boleh lakukannya. Tapi sebagai balasan, aku mahu kau bersetuju dengan satu syarat." Hua Yao bertanya sambil merenung Qin Yue.

"Apa dia?" Qin Yue bertanya sambil berkerut. Dia sudah nekad untuk membalas dendam di atas kematian Qin Yu Yan dan dia akan bersetuju dengan apa saja syarat yang Ke Cang Ju mahukan.

Hua Yao menjadi lebih yakin sedikit, lalu dia tersenyum, "Mungkin aku katakan ia syarat, tapi sebenarnya hal ini penting untuk aku membalas dendam bagi pihak anak kau. Setahu aku, tak ramai yang mampu membunuh Jiang Chen Qing, dan kalau tak salah, ramai pakar pertempuran yang handal mengiringi delegasi Jiang Chen Qing dan Cik Sulung. Semuanya mati dibunuh. Aku syak Kerajaan Qi juga ada pakar yang handal. Pasti kau sedar yang kesan racun menjadi lemah apabila digunakan ke atas orang yang berkemahiran tinggi. Semakin hebat kemahiran mereka, semakin lemah kesan racun itu. Kalau kau mahu membalas dendam di atas kematian anak perempuan kau, aku perlukan bantuan kau."

Qin Yue merenung Hua Yao dan berkata dengan kurang sabar, "Apa yang kau perlukan? Beritahu sajalah!"

Hua Yao ketawa kecil dan berkata, "Mudah saja sebenarnya. Rekrut baru di sini terlalu lemah dan aku dah tak minat nak gunakan mereka sebagai bahan eksperimen dalam kajian aku. Hasil kajian ke atas mereka tak cukup. Para pengikut dalam dua belas puncak semuanya berkemahiran dan mereka sentiasa memupuk dan memperbaiki keadaan badan mereka. Kuasa rohani mereka mungkin tidak setara dengan pakar handalan, tapi keadaan badan mereka lebih baik berbanding orang lain. Kalau aku boleh gunakan mereka untuk bereksperimen dengan racun-racun aku, hasilnya lebih tepat dan akan menyebabkan seksaan lebih dahsyat ke atas pembunuh anak kau, bukan?"

Kata-kata Hua Yao membuatkan Qin Yue teragak-agak dengan agak lama. Sewaktu dia berpaling menghadap wajah yang hodoh itu, dia memikirkan kata-kata lelaki itu.

"Kau nak gunakan pengikut Kumpulan Qing Yun untuk menguji racun-racun kau?" Suara Qin Yue bertukar dingin.

Hua Yao terus mendesak, "Kenapa tidak? Kumpulan Qing Yun ada ramai pengikut. Kalau aku pilih beberapa orang dari setiap puncak, tidaklah terkesan sangat pun. Jangan risau, aku tak akan ambil pengikut dari puncak kau."

"Ke Cang Ju! Kau dah melampau kali ni!" Qin Yue bangun dengan marah. Ke Cang Ju tahu tak apa yang dimintanya ini? Menggunakan pengikut yang secara rasmi diterima masuk ke Kumpulan Qing Yun untuk bereksperimen dengan racun, malah mensasarkan pengikut-pengikut Tuan Tua yang lain? Itu ibarat tamparan ke atas barisan Tuan Tua Kumpulan Qing Yun!

Semua pengikut Rumah Dalaman Kumpulan Qing Yun tahu keadaan sebenar di dalam Puncak Awan Tersembunyi. Kalau mereka dibawa pergi begitu saja, apa pula pandangan pengikut yang lain tentang Tuan Guru mereka?

Hua Yao ketawa dingin, "Kuasa aku dalam Kumpulan Qing Yun ini tak setanding dengan kau. Aku perlukan kebenaran untuk menjalankan permintaan kau, dan aku perlukan kuasa kau. Kuasa yang datangnya dari kedudukan Pemerintah Kumpulan Qing Yun yang kau pegang. Kalau kau tak begitu inginkan kuasa itu, kedudukan sebagai Pemerintah Kumpulan Qing Yun mungkin sudah jadi milik Mu Chen dari Puncak Menjejak Awan." Hua Yao meniru suara nyaring Ke Cang Ju dengan begitu sempurna sekali.

Sindiran Hua Yao itu membuatkan Qin Yue pucat dan dia menggenggam tangannya dengan kuat. Dengan penuh daya usaha, Qin Yue menahan keinginan membuak-buak untuk menumbuk mulut Ke Cang Ju mengeluarkan kata-kata ugutan terhadapnya tadi.

Sudah banyak kali dia berkeinginan untuk membunuh Ke Cang Ju, tetapi dia menahan dirinya di atas dua sebab. Pertamanya, Ke Cang Ju memegang bukti rancangan Qin Yue yang meracuni Tuan Gurunya sendiri dan sebab yang kedua, Ke Cang Ju amat mahir dalam penggunaan racun. Walaupun dia tidak mempunyai sebarang kuasa rohani, pelbagai jenis racun yang Ke Cang Ju sembuyikan di dalam badannya mungkin akan menyebabkan mereka berdua mati bersama-sama.

Dua sebab itu mengikat tangan Qin Yue dan memaksa dia tunduk kepada Ke Cang Ju.

Qin Yue menarik nafas panjang sebelum duduk semula di kerusinya.

"Aku tahu kau mesti sedar yang kalau aku setuju dengan permintaan kau, aku tak akan mampu menjawab pada Tuan Tua lain…" Disebabkan ugutan Ke Cang Ju, Qin Yue tidak ada pilihan selain menurut saja permintaannya.

Related Books

Popular novel hashtag