"Aku serahkan pada kau sebagai Pemerintah kumpulan ini untuk buat keputusan apa nak buat dan macam mana nak selesaikan hal ni untuk kita." Hua Yao enggan mengalah, walaupun Qin Yue mula berubah sikap. Dia bukannya Ke Cang Ju dan dia tak kisah kalau membuat Qin Yue marah. Malah, dia juga tak peduli jika Qin Yue mahu membunuhnya. Apa yang penting pada Hua Yao hanyalah dia dapat menimbulkan kekecohan di dalam Kumpulan Qing Yun.
Qin Yue merenung "Ke Cang Ju" dengan marah. Lama dia terdiam sebelum akhirnya berkata, "Baiklah! Aku setuju! Tapi kau perlu berjanji yang kau tak akan sentuh mana-mana pengikut langsung Tuan Tua yang lain. Kau juga perlu berikan aku racun itu secepat mungkin sebab aku tak nak tunggu lama-lama!" Qin Yue yang dibutakan oleh dendam di atas kematian anaknya serta terpaksa tunduk dengan ugutan Ke Cang Ju, tidak ada pilihan selain menurut saja permintaan Ke Cang Ju yang tidak masuk akal itu.
Walaupun Qin Yue sedar yang permintaan Ke Cang Ju itu akan mengakibatkan bantahan dan kemarahan Tuan Tua lain, dia tetap yakin yang Kumpulan Qing Yun ini masih kukuh berada di dalam kawalannya. Kalau Tuan Tua lain tidak puas hati sekalipun, tidak ada perkara yang dahsyat akan berlaku.
Keangkuhan Qin Yue itu tidak lama lagi akan memakan dirinya. Qin Yue menyangkakan walaupun Ke Cang Ju bersikap sombong, lelaki itu tidak akan bertindak melampaui batas. Tanpa dia sedari, Ke Cang Ju yang berada di hadapannya ini sudah digantikan dengan orang lain iaitu Hua Yao. Orang ini dan sekutunya, Jun Wu Xie, sememangnya mahu membuat huru-hara di dalam Kumpulan Qing Yun dan mengakibatkan kumpulan itu terjebak di dalam kekecohan yang tidak pernah mereka alami!
"Jangan risau. Aku yakin kau akan berpuas hati dengan racun tu." Setelah mencapai matlamatnya, Hua Yao tidak banyak bercakap dan hanya menganggukan kepala sambil mendengar Qin Yue terus merepek. Tetapi di dalam hatinya, Hua Yao sedang ketawa.
Qin Yue hebat merancang untuk mengenakan Keluarga Jun dan Maharaja Kerajaan Qi. Tanpa dia sedari, dia berkongsi rancangannya dengan lelaki yang sedang berkomplot untuk memastikan kematian Qin Yue di dalam Kumpulan Qing Yun.
Selepas Qin Yue nampak berpuas hati dengan jawapan yang diperolehnya, dia bangun untuk beredar dari situ.
Sewaktu Qin Yue sudah menghampiri pintu bilik bacaan berkenaan, Hua Yao tiba-tiba berkata, "Jangan lupa simpan peta tu baik-baik."
Langkah Qin Yue menjadi perlahan dan dia kaku seketika. Badannya tegak. Qin Yue terdiam sebelum menjawab dengan perlahan, "Aku tahu. Peta tu selamat."
Ketika itu, Qin Yue membelakangkan Hua Yao. Jadi dia tidak nampak sekilas pandangan gembira yang terpancar di mata Hua Yao setelah mendengar jawapannya.
Qin Yue berlalu dari situ. Hua Yao dan kucing hitam kecil itu sahaja yang ada di dalam bilik tersebut.
Keadaan senyap-sunyi. Hua Yao menongkat dagu dan merenung kucing hitam kecil itu yang diam sahaja selama ini. Dia akhirnya bertanya, "Keluarga kamukah yang bunuh Qin Yu Yan dan Jiang Chen Qing?"
Jun Wu Xie memalingkan kepalanya dan memandang Hua Yao dengan tenang. Hua Yao ini bijak orangnya, jadi tidak sukar untuk dia membuat kesimpulan.
"Saya yang bunuh mereka." Jun Wu Xie menjawab dengan jujur.
Hua Yao terkejut mendengar pengakuan jujur itu dan tiba-tiba ketawa terbahak-bahak.
"Jadi, sebab itulah kamu mahu menghapuskan Kumpulan Qing Yun. Kamu memang dah menjangkakan kejadian hari ini akan berlaku. Kamu fikir kalau Qin Yue yang bertindak dulu, kamu tak cukup kuat untuk membalasnya. Kamu merancang untuk menghapuskan Kumpulan Qing Yun sebelum mereka memulakan langkah?"
"Ya." Jun Wu Xie menjawab ringkas.
Hua Yao merenung kucing hitam kecil itu dengan teliti. Dia seolah-olah dapat melihat roh di dalam tubuh kecil itu melalui sepasang mata kucing itu yang dingin.
"Selepas hal Kumpulan Qing Yun ini selesai, kalau kamu ada masa, apa kata kamu ikut kami balik?" Hua Yao merasakan umur Jun Wu Xie yang masih muda serta mindanya yang tenang dan teliti ini merupakan kombinasi yang hebat.
"Bukankah saya memang dah setuju buat begitu?" Kucing hitam itu mengecilkan matanya dan melompat ke atas meja.
"Qin Yue nampaknya menurut saja permintaan Ke Cang Ju selagi kedudukannya sebagai Pemerintah tak terancam. Kita bebas buat apa saja di puncak-puncak lain, tak ada sekatan. Jangan sia-siakan peluang ini." Selepas meninggalkan kata-kata ini, Jun Wu Xie menggunakan badan kucing hitam itu untuk melompat keluar dengan lincah.
Hua Yao memandang kucing hitam itu melompat di depan matanya dan dia tersenyum. Kalau adanya Jun Wu Xie, Hua Yao mungkin dapat menghasilkan ubat itu.