Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 297 - Roh Jingga (1)

Chapter 297 - Roh Jingga (1)

Pada hari kedua Jun Wu Xie berada di Puncak Awan Tersembunyi, dia dan Qiao Chu memakai pakaian seragam pengikut Puncak Awan Tersembunyi. Bagi mengelakkan timbulnya sebarang syak, mereka berdua kembali ke ruang tempat tinggal para pengikut.

Sewaktu mereka muncul di halaman dengan memakai pakaian seragam baru yang hanya boleh digunakan oleh pengikut Puncak Awan Tersembunyi, mata para pemuda lain yang telah diseksa selama dua hari, hampir terjojol keluar!

Dua orang budak tak guna itu sejak hari pertama lagi telah bersikap malas dan mengelak daripada melakukan kerja. Sewaktu para pemuda lain mengheret badan mereka yang keletihan dan pergi mengangkat air, mereka berdua tiba-tiba hilang. Pada pagi hari kedua pula, ketika pemuda yang lain dipaksa menyiram batas-batas herba dalam keadaan badan mereka yang amat lesu, perangai mereka berdua menjadi semakin teruk!

Mereka berdua membuat keputusan untuk menutup mata dan pengsan!

Kemudian mereka telah dihantar ke Tuan Tua Ke untuk menikmati rawatan Tuan Tua tersebut.

Mereka kembali keesokan harinya.

Malangnya!

Mereka berani kembali dengan memakai pakaian seragam yang dikhaskan untuk pengikut rasmi. Wajah mereka pula kemerah-merahan tanda sihat!

"Apa hal pula ni? Mana kau berdua dapat pakaian tu?" Para pemuda lain hampir bongkok akibat keletihan, lalu memandang Jun Wu Xie dan Qiao Chu yang kelihatan cukup rehat itu dengan marah. Mata mereka semua merenung tajam pada pakaian seragam itu!

Tak adil! Orang yang bekerja keras, ditindas! Orang yang malas, diberi ganjaran! Ini sudah melampau!

Pemuda-pemuda itu menjadi cemburu dan iri hati. Mereka mengetap gigi dengan kemarahan yang dipendam. Beberapa orang daripada mereka yang berfikiran sempit, berlari mendapatkan pengikut senior untuk mengadu tentang nasib mereka!

"Senior! Dua orang yang tak guna itu sebenarnya licik dan malas…." Mereka meluahkan kesedihan dan menuduh Jun Wu Xie dan Qiao Chu sebagai pemalas dan suka mengelak daripada bekerja.

Pengikut Puncak Awan Tersembunyi yang ditahan oleh pemuda-pemuda itu, mengerutkan muka mendengar rungutan yang tak henti-henti itu lalu berkata dengan tidak sabar, "Tutup mulut kau sekarang juga! Tuan Tua Ke bersimpati dengan kau semua kerana mempunyai badan yang lemah, lalu mengurangkan bebanan kerja kau. Masa yang kau ada patutnya digunakan untuk membina kekuatan badan, bukannya untuk membebel! Dengar sini, hanya mereka yang memakai pakaian seragam ini yang dianggap sebagai pengikut sebenar Puncak Awan Tersembunyi. Jun Xie dan Qiao Chu sudah diterima dan Tuan Tua Ke sendiri telah meluluskan mereka. Tak ada siapa yang boleh menyoal tentang hal itu! Kalau ada yang menyoal tentang kuasa Tuan Tua Ke dalam apa saja cara, dia boleh keluar dari Puncak Awan Tersembunyi!"

Selepas meluahkan kata-kata itu, pengikut senior berkenaan menolak pemuda yang merungut itu. Muka pengikut senior itu kelihatan marah.

Kambing-kambing korban ini berani bergaduh kerana hal pilih kasih? Kalau Tuan Tua Ke tidak berbelas kasihan dengan mereka dan menghentikan sebahagian besar seksaan harian mereka, tak ada seorang pun yang mampu keluar dari sini hidup-hidup.

Baru semalam Ke Cang Ju memanggil ketua pengikutnya dan memberitahu dia bahawa buat sementara waktu, Puncak Awan Tersembunyi tidak perlu meningkatkan jumlah kambing korban mereka. Dia sedang sibuk dengan satu kajian buat masa sekarang dan tidak ada masa untuk menguruskan pemuda-pemuda itu. Jadi dia telah memberi arahan kepada para pengikutnya supaya mengurangkan seksaan ke atas para pemuda yang baru dibawa masuk ke situ.

Atas arahan Ke Cang Ju, pengikut Puncak Awan Tersembunyi telah menahan diri mereka dan berhenti menghiburkan hati dengan menyeksa kambing-kambing korban ini.

Pemuda-pemuda dungu ini semuanya tidak tahu yang mereka telah diselamatkan dan masih berani merungut-rungut.

Pemuda yang baru sahaja dimarahi pengikut senior itu terdiam dan pegun tidak bergerak. Dia memerhatikan pengikut senior yang berlalu pergi itu dan tunduk memandang pakaiannya sendiri. Hatinya yang dapat merasakan betapa tidak adilnya keadaan itu, menjadi perit.

"Apalah yang dua budak tak guna tu buat sampai mereka dapat mengambil hati Tuan Tua Ke? Semuanya sukar dipercayai!" Para pemuda lain yang terdengar perbualan itu berasa terkilan dengan ketidakadilan yang berlaku. Di mata mereka, Qiao Chu dan Jun Wu Xie ibarat sampah. Selain berpura-pura baik dan mengundang simpati, apa lagi yang mereka mampu buat? Sampah seperti ini tak mungkin diterima menjadi pengikut Puncak Awan Tersembunyi sebelum mereka yang lain!