"Atas sebab apa mereka dipilih dan diterima?" Pemuda-pemuda lain marah dan geram, berharap mereka boleh bertanya kepada Tuan Tua Ke. Kedua-dua mereka ini lebih lemah dalam segala segi, berbanding mereka yang lain. Macam mana mereka boleh mendapat pengiktirafan Tuan Tua?
Kemarahan para pemuda itu menguasai mereka, tetapi mereka tidak berani untuk berhadapan dengan Ke Cang Ju. Mereka mengambil keputusan untuk melepaskan kemarahan ke atas Qiao Chu dan Jun Wu Xie.
Tetapi mereka telah menyaksikan kekejaman serta kekuatan Qiao Chu sebelum ini. Jadi dengan "bijaknya", mereka memilih untuk bersemuka dengan Jun Xie yang kurus dan bertubuh kecil.
Jun Wu Xie kembali ke biliknya dan baru sahaja mahu meneliti rancangannya berkaitan misi yang perlu dijalankan apabila kedengaran ketukan tergesa-gesa di pintu biliknya. Ini menyebabkan pemikiran Jun Wu Xie terganggu.
Dia bangun untuk membuka pintu. Baru sahaja pintu itu terbuka sedikit, beberapa orang pemuda merempuh masuk dengan muka penuh ancaman.
"Tutup pintu cepat!" Salah seorang daripada mereka berkata dengan tergesa-gesa.
Jun Wu Xie, yang sudah ditolak ke tepi, berdiri sambil berkerut memandang kumpulan pemuda yang agresif itu. Matanya menjadi dingin sewaktu mereka menutup pintu biliknya.
Kira-kira enam atau tujuh orang pemuda berdiri di dalam bilik yang tiba-tiba sesak itu.
Jun Wu Xie tetap berdiri di tepi bilik, matanya semakin dingin melihatkan gangguan ini.
"Budak, di mana kau dapatkan baju tu?" Salah seorang daripada mereka memerhatikan Jun Wu Xie dengan mata yang kejam. Mereka tahu benar dari mana Jun Wu Xie mendapatkan pakaian seragam itu, tetapi niat mereka ialah untuk mencari pasal. Mereka berpura-pura tidak tahu supaya dapat menggunakan keadaan ini sebagai alasan untuk "mengajar" budak tak guna ini tentang adab.
Apa yang membuatkan Tuan Tua dari dua puncak berbeza bergaduh merebutkan budak ini? Atas kebolehan apakah dia diterima sebagai pengikut rasmi dalam masa tak sampai dua hari mereka di sini sedangkan mereka semua masuk ke Puncak Awan Tersembunyi bersama-sama?
Memikirkan hal ini, pemuda-pemuda lain menjadi begitu marah!
Jun Wu Xie memandang kumpulan pemuda itu dan tetap tidak berkata apa-apa.
"Apa? Kau masih lagi berani nak berlagak? Kau berani mencuri baju senior! Ini kesalahan besar! Kalau kau tanggalkan pakaian itu dan berikan pada kami serta meminta maaf, kami akan paksa diri kami untuk melupakan hal ini dan melepaskan kamu. Kalau tidak, kami akan rampas baju itu dan heret kau berjumpa dengan senior, biar mereka yang hukum kau!" Pemuda-pemuda itu melihat Jun Wu Xie yang masih memilih untuk berdiam diri. Mereka sangkakan sasaran mereka ini terlalu terkejut sehingga tidak dapat memberikan reaksi. Ini menambahkan lagi niat mereka untuk membalas dendam.
Mereka cuma mahu meluahkan perasaan cemburu serta benci, dan langsung tidak peduli tentang akibat perbuatan mereka.
Jun Xie hanyalah pengikut yang baru diterima. Kalau mereka membelasah dia cukup-cukup dan mengugutnya supaya dia menutup mulutnya, dia tidak akan berani untuk mengadu tentang mereka kepada Tuan Tua Ke!
Mata Jun Wu Xie semakin menggerunkan. Pandangan matanya mula menjadi dingin.
"Kau memang cari nahas! Rakan-rakan! Tanggalkan pakaian pencuri tak tahu malu ini! Aku mahu lihat bagaimana sampah seperti dia ni dapat terus berpura-pura!"
Pada ketika itu, beberapa orang pemuda bertubuh sasa yang yakin dengan kekuatan mereka, menerkam Jun Wu Xie yang bertubuh kurus.
Mata Jun Wu Xie yang dingin mula membara dan kuasa rohani yang tersembunyi, meletus keluar dari tubuhnya!
Kuasa rohaninya terpancar keluar dalam ledakan cahaya jingga. Satu bebola jingga terbentuk dan bercahaya di tapak tangannya. Dia berpusing dan mengelak tangan salah seorang pemuda yang menerkamnya. Tapak tangannya yang mempunyai bebola cahaya jingga itu memukul rahang pemuda itu lalu membuatkan dia tercampak jauh!, Jun Wu Xie tiba-tiba mencangkung dan menendang keluar kakinya, menjatuhkan semua pemuda yang sedang menyerangnya itu dengan satu gerakan pantas. Dia mengeluarkan kuasa rohaninya ke tapak tangannya dan sinaran cahaya jingga itu tiba-tiba menjadi semakin besar! Dia menolak tangannya ke luar dan kuasa rohani jingga itu sepantas kilat menuju ke arah para pemuda yang bergelimpangan di atas lantai!
Satu siri laungan yang menyayat hati bergema di seluruh bilik itu!
Pancaran warna jingga itu ditembak ke tubuh badan para pemuda itu, membuatkan mereka diselubungi kesakitan!
Mereka terus sedar yang warna jingga terpancar di dalam sinaran kuasa rohani itu lalu semuanya merenung dengan perasaan tidak percaya!
Apa yang sedang mereka lihat ni?
Budak ini sebenarnya mempunyai roh tahap jingga!