Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 295 - Penggantian (4)

Chapter 295 - Penggantian (4)

Jun Wu Xie mengangguk sedikit dan berasa lega kerana mendapat sekutu yang bijak.

"Qin Yue sangat mempercayai Ke Cang Ju dan memberikan dia autonomi serta kuasa. Ke Cang Ju begitu sukakan racun, sehingga ke tahap obsesi. Saya rasa kalau dia minta dibenarkan memilih calon yang sesuai dari puncak lain untuk membantunya, Qin Yue tak akan menolak," kata Jun Wu Xie dengan perlahan.

Mata Hua Yao menjadi cerah. "Saya pasti kini, kamu memang benar-benar mahu menghapuskan seluruh Kumpulan Qing Yun."

Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya. Qiao Chu memandang Jun Wu Xie dengan bingung, kemudian terpinga-pinga pula memandang Hua Yao. Dia menggaru-garu kepalanya….langsung tidak faham dengan perbualan itu!

"Sekajap, sekejap, sekejap!"kata Qiao Chu secara tiba-tiba. "Boleh tak kamu berdua jelaskan lebih lanjut dan kasihankan orang yang tak berapa bijak ni?" Ya, dia perlu mengaku yang dia tidak begitu hebat berfikir seperti Xie Kecil atau Abang Hua. Dia sudah pun bingung sewaktu di pertengahan perbualan itu. Dua orang lagi pula terus bercakap dan membiarkan dia keliru.

"Kamu akhirnya mengaku yang kamu ni kurang bijak?" tanya Hua Yao dengan nakal.

"Abang fikir semua orang macam Abang dan Xie Kecil? Bercakap sambil berkias dan mengharapkan semua orang memahami kamu berdua," balas Qiao Chu.

Hua Yao mengeluh dan mula menjelaskan dengan sabar. "Tujuan Jun Wu Xie ialah untuk mewujudkan perpecahan dalam kalangan Kumpulan Qing Yun. Qin Yue menyebelahi Ke Cang Ju dan membiarkan dia berbuat sesuka hatinya di dalam Kumpulan Qing Yun. Kita sendiri nampak hakikat ini apabila Ke Cang Ju boleh terlepas begitu sahaja sewaktu dia merampas pengikut yang disukai dan dipilih oleh Mu Chen. Walaupun Ke Cang Ju itu sombong, dia tidak bodoh. Dia mungkin telah menindas Puncak Menjejak Awan secara terang-terangan, tetapi dia tidak menyentuh puncak yang lain. Sebab itulah Tuan Tua lain memilih untuk menutup mata terhadap perbuatan kejam Ke Cang Ju. Apa akan jadi kalau Ke Cang Ju tiba-tiba membuat keputusan untuk tidak lagi berselindung dan menyalahgunakan kuasa yang Qin Yue berikan untuk menindas Tuan Tua lain? Rasanya Tuan Tua lain tidak akan menerima perkara ini begitu sahaja."

Qiao Chu mulai faham. "Jadi apa yang Xie Kecil maksudkan ialah Tuan Tua lain pasti tahu sebab apa Ke Cang Ju memerlukan pengikut mereka. Kalau dia secara terang-terangan merampas pengikut dari puncak lain dengan tujuan menguji racun, pasti Tuan Tua lain akan marah. Betul tak?" Akhirnya dia faham apa yang sedang berlaku.

Jun Wu Xie mengangguk dan menyambung lagi untuk membuatkan Qiao Chu lebih faham. "Pengikut sendiri dirampas secara paksa dan Tuan Tua mereka langsung tidak mampu untuk melindungi mereka. Ini ibarat memberikan tamparan ke muka Tuan Tua lain. Tak kira betapa sabar dan baik hatinya mereka, tidak ada seorang di antara mereka yang mampu menerima penghinaan ini. Kalau Qin Yue tetap menyebelahi Puncak Awan Tersembunyi, puncak-puncak lain akan berasa tertindas lalu mengambil tindakan. Pada ketika itu, keadaan Kumpulan Qing Yun tidak akan harmoni seperti sebelumnya."

Jun Wu Xie menundukkan kepala, menyembunyikan kedinginan pada matanya.

Mencetuskan konflik di antara barisan Tuan Tua dan Qin Yue hanyalah sebagai pembuka langkah. Apa yang dia mahukan, jauh melangkaui konflik dalaman Kumpulan Qing Yun.

"Macam mana kamu tahu Qin Yue akan benarkan Ke Cang Ju berbuat sesuka hatinya? Dia tidak bodoh, bukan? Dia sepatutnya dapat lihat yang tindakan Ke Cang Ju akan mengakibatkan perasaan tidak puas hati daripada Tuan Tua puncak lain." Qiao Chu cuba memberi pendapat.

"Dia akan benarkan," kata Jun Wu Xie dengan perlahan. Orang lain mungkin tidak tahu tentang hal-hal dalaman Kumpulan Qing Yun, tetapi Bai Yun Xian ialah anak murid Qin Yue. Dia tahu banyak maklumat tentang Ke Cang Ju yang tak ramai orang tahu.

"Kalau Qin Yue tak buat begitu, Ke Cang Ju akan mencemarkan namanya."

"Apa maksudnya tu?" tanya Qiao Chu dengan perasaan ingin tahu. Malah Hua Yao juga memandang Jun Wu Xie dengan penuh tanda tanya.

"Sebab mengapa Qin Yue dapat menjadi Pemerintah Kumpulan Qing Yun ialah kerana racun Ke Cang Ju. Kalau Ke Cang Ju tidak membantu dia meracuni Pemerintah terdahulu, Kumpulan Qing Yun pasti sudah jatuh ke tangan Mu Chen." Jun Wu Xie mengecilkan matanya yang terpancar dingin seketika.

Pemerintah salah satu kumpulan yang amat dihormati di seluruh dunia ini telah membunuh gurunya sendiri dan merampas kedudukan Pemerintah. Bagi orang seperti Qin Yue sekalipun, tuduhan jenayah seperti ini akan memusnahkan dia.