Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 281 - Tamparan Kelima (3)

Chapter 281 - Tamparan Kelima (3)

Jun Wu Xie berdiri dan menjeling dua bilah pisau belati yang berada di atas lantai, berdekatan kakinya. Pandangan matanya yang dingin berubah sewaktu dia berpusing dan berdiri di sisi Qiao Chu. Jun Wu Xie kemudiannya membuka mulut Qiao Chu dan memasukkan sebiji eliksir ke dalamnya.

Seketika kemudian, sekujur tubuh yang terbaring di atas platform kayu itu melompat bangun secara tiba-tiba dan menjerit!

"Jijik!!! Wek!!" Qiao Chu berdiri sambil menarik-narik bajunya yang sudah dicarik-carik itu. Kedua-dua belah tangannya menyapu-nyapu dadanya dengan kuat sehinggakan kulitnya menjadi merah dan pedih.

'Tak guna! Dia baru saja diraba oleh seorang lelaki!'

'Si bodoh tu gatalkah?'

Imej dirinya diraba-raba oleh si gatal tak guna itu sewaktu dia sedar sepenuhnya tetapi tidak dapat bergerak, membuatkan Qiao Chu hampir hilang akal! Dia berjalan penuh tegas sambil menghadap lelaki hina yang telah membuatkan dia meradang itu. Qiao Chu berdiri di sebelah binatang hitam itu, matanya membara dengan kemarahan yang tidak tertahan!

Binatang hitam itu teragak-agak, terkelip-kelip memandang Qiao Chu yang sedang marah, kemudiannya memandang Jun Wu dengan bingung.

Jun Wu Xie mengangguk kecil.

Binatang hitam itu mengangkat kaki hadapan sebelah kanannya.

Pada masa yang sama binatang hitam itu mengangkat kaki hadapannya, pengikut yang berasa lega itu menarik nafas dalam. Tetapi dia kemudiannya mendapati dirinya diangkat oleh Qiao Chu yang sedang meradang!

"Diamlah sikit."Jun Wu Xie memberikan Qiao Chu pandangan penuh amaran.

Qiao Chu menterbalikkan tangannya, lalu menutup mulut pengikut yang baru saja mahu menjerit itu. Dia kemudian menekan lelaki itu ke tanah. Sebelah lagi tangannya dikepal dan menumbuk lelaki itu bertalu-talu untuk melepaskan perasaan meluat dan kecewa yang terbuku di dalam hatinya!

Pengikut itu tidak dapat melepaskan diri daripada tangan yang menutup mulutnya, mahupun melarikan diri daripada Qiao Chu meskipun dia telah meronta-ronta dengan bersungguh-sungguh. Tubuh badan Qiao Chu yang kecil itu menyembunyikan kekuatan yang mengejutkan, setaraf dengan kekuatan Teratai Mabuk. Dia memegang pengikut itu dengan sebelah tangan dan terus menumbuk dengan sebelah lagi tangannya, memusnahkan muka pengikut itu dengan penumbuknya!

Seorang lagi pengikut Puncak Awan Tersembunyi masih lagi ditekan di bawah kaki binatang besar itu dan terpaksa menyaksikan rakannya itu ditumbuk sehingga berlumuran darah. Dia menggigil melihat tulang rakannya itu hampir patah sepenuhnya.

Hanya selepas lelaki itu menghembuskan nafas terakhir barulah Qiao Chu melepaskannya. Dia berdiri, mengelap penumbuknya yang berlumuran darah itu pada pakaiannya yang sudah koyak-rabak. Qiao Chu berkata dengan wajah yang berkerut, "Ini pakaian terbaik saya! Sekarang pakaian ni pun sudah rosak!"

"Oh ya, Xie Kecil. Kamu beri saya makan apa? Saya langsung tidak boleh bergerak!" Qiao Chu membuat keputusan yang dia tidak mahu mengalami keadaan itu lagi. Sewaktu Ke Cang Jun muncul, dia mahu menumbuk lelaki itu, tetapi tubuhnya enggan bergerak. Selepas Jun Wu Xie memberi dia makan eliksir kedua itu barulah dia mendapat kembali pergerakan tangan, kaki dan tubuh badannya.

"Lakonan kita perlu sempurna." Jun Wu Xie berkata dengan perlahan sambil memandang seorang lagi pengikut Puncak Awan Tersembunyi itu yang sedang ditekan di bawah kaki binatang hitam berkenaan.

Pengikut itu menyedari Jun Wu Xie sedang memandangnya dan dia semakin kuat menggigil. Dia merenung Jun Wu Xie dalam ketakutan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, dengan senyap cuba merayu agar nyawanya diselamatkan.

"Bunuh." Jun Wu Xie memberi arahan.

Sebelum sempat lelaki itu berbunyi, binatang hitam itu sudah menggigit lehernya sehingga putus. Riak wajah ketakutan pegun di muka lelaki itu.

Setelah menguruskan dua orang pengikut itu, Jun Wu Xie dan Qiao Chu berjalan masuk lebih dalam ke ruang bawah tanah itu.

Di dalam ruang itu, "pembelajaran" untuk Hua Yao masih lagi berlangsung di bawah "ajaran" Ke Cang Ju. Dia sedang asyik dengan pelajarnya apabila tiba-tiba menyedari pelajarnya itu memberikan reaksi. Pemuda cantik yang sedang diseksa itu akhirnya mengangkat kepala. Matanya bersinar sambil merenung tepat ke hadapan.

"Akhirnya? Dah sampai had kau?" Ke Cang Ju ketawa. Bunyi tawanya yang kejam itu bergema di dalam ruang bawah tanah itu. Selama ini Hua Yao langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi ke atas segala seksaan yang dikenakan ke atasnya, tetapi akhirnya pandangan matanya sudah berubah. Adakah ini bermaksud budak itu sudah tidak dapat bertahan lagi dengan kepintaran Ke Cang Ju?