Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 282 - Tamparan Kelima (4)

Chapter 282 - Tamparan Kelima (4)

"Kalau kau merayu pada aku, mungkin aku akan pertimbangkan untuk mengurangkan seksaan kau. Lagipun, aku memang suka pelajar macam kau ni." Ke Cang Ju mencemuh sambil ketawa. Dia amat suka melihat para pemuda ibarat bunga yang baru mekar ini bergelut untuk hidup dan akhirnya tunduk pada seksaannya, menjadi layu dan akhirnya mati.

Kesakitan dan ketakutan yang menyelubungi mereka, terutamanya apabila badan mereka yang masih muda itu dikoyak-koyak dan disiat-siat, membuatkan perasaan terujanya memuncak dan dia berasa puas hati.

Dalam kalangan "pengikut" yang direkrutnya, tidak dapat disangkal lagi yang Hua Yao mempunyai penampilan yang paling menawan. Sewaktu dia mula-mula terpandang pemuda cantik yang menggetarkan hatinya ini, jiwanya meronta-ronta mahu memusnahkan wajah yang cantik itu. Dia mahu menggunakan racun untuk membuatkan tulang di sebalik raut wajah yang tampan itu menjadi reput, mahu menghancurkan kecantikan yang dieperagakan tanpa malu itu menjadi lumpur. Kecantikan yang memedihkan mata dan mengigit-gigit jiwanya.

"Lambat sangat." Pemuda cantik itu tiba-tiba berkata dengan perlahan. Darah mengalir keluar dari sisi mulutnya.

Ke Cang Ju berhenti seketika, tidak memahami maksud di sebalik kata-kata Hua Yao itu.

"Saya ingat Abang sedang menikmati apa yang raksasa hodoh ini sudah sediakan khas untuk Abang." Satu suara yang ceria tiba-tiba kedengaran di belakang Ke Cang Ju!

Ke Cang Ju terus berpaling. Dia memandang dua orang pemuda yang berdiri berdekatan dengannya itu dengan hairan!

Bukankah kedua-dua budak ini tadi tidak sedarkan diri dan salam keadaan hampir mati?

"Gelinya! Dalam jarak dekat macam ni, muka kau nampak sangat buruk dan menjijikkan!" Qiao Chu menutup mulutnya dan berpura-pura takut, mengejek Ke Cang Ju yang sedang terkejut itu.

"Buruk? Siapa yang kau panggil buruk? Budak dungu!" Wajah Ke Cang Ju menjadi herot-berot kerana marah.

Seumur hidupnya, Ke Cang Ju benci sesiapa yang bercakap tentang rupa parasnya. Sebab itulah dia membenci semua lelaki berwajah tampan yang ditemuinya. Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada kemarahannya!

Budak muda tak guna ni berani mengatakan dia buruk?

Ke Cang Ju tak sabar mahu merobek-robek budak itu menjadi cebisan-cebisan kecil!

Ke Cang Ju terus bertindak kerana tidak dapat menahan marahnya. Tiga pancaran yang gelap dan dingin meluru ke arah Qiao Chu!

Pada masa yang sama Ke Cang Ju memulakan langkahnya, pancaran berwarna perak bersinar dan menghentikan ketiga-tiga kilauan gelap itu di udara!

Ting! Ting! Ting!

Tiga bunyi dentingan kedengaran berturut-turut!

Saat pancaran berwarna perak itu bertembung dengan kilauan gelap, tiga batang jarum hitam dan tiga batang jarum perak jatuh berselerak di atas lantai, bersinar-sinar di bawah cahaya api obor yang meliuk-liuk.

Mata Ke Cang Ju terbeliak kerana terkejut. Dia berasa tidak percaya sewaktu memandang pemuda di hadapannya itu yang kelihatan biasa sahaja.

Jarum beracunnya tidak pernah gagal sebelum ini, walaupun sewaktu dia menggunakan jarum-jarum itu ke atas seorang pemilik roh tahap indigo dan mengalahkannya. Tetapi pemuda ini berjaya menghentikan ketiga-tiga jarum beracunnya selepas dia memulakan langkah! Apa yang lebih mengejutkan ialah jarum perak yang menghentikan jarum gelap beracunnya itu lebih ringan dan bersaiz lebih kecil!

Dia telah bertindak dengan diam dan tidak menahan dirinya. Bagaimana pemuda itu dapat mengesan dan bertindak sepantas kilat untuk menghentikan jarum gelapnya?

Dia mengecilkan mata untuk memerhatikan pemuda itu dengan lebih teliti. Ke Cang Ju terperanjat apabila mendapati pemuda itu ialah pemuda yang telah dirampasnya daripada Mu Chen!

Ke Cang Ju benci pemuda yang berwajah tampan. Semakin elok rupa paras mereka, semakin tinggi tahap kebenciananya. Sebab itulah setiap bulan sewaktu dia memilih calon-calon yang gagal diterima masuk ke Kumpulan Qing Yun, dia sering memilih mereka yang agak tampan. Dia biasanya tidak memberi perhatian terhadap pemuda seperti Jun Wu Xie yang bertubuh kecil dan mempunyai rupa paras yang elok juga, cuma tidak terlalu menonjol. Dia sengaja merampas Jun Wu Xie daripada Mu Chen kerana dia bencikan umur Mu Chen yang muda dan wajahnya yang tampan. Tetapi dia tidak dapat bertindak lebih lanjut menentang Mu Chen memandangkan mereka berdua berpangkat Tuan Tua di dalam Kumpulan Qing Yun.

Berbanding dengan Jun Wu Xie, pemuda yang kurus tinggi di sebelahnya itu lebih menarik perhatian Ke Cang Ju. Dia lebih bencikan pemuda itu disebabkan ketampanan rupa parasnya.