Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 273 - Abang Hua (2)

Chapter 273 - Abang Hua (2)

Qiao Chu berdeham dengan gementar dan berkata, "Abang Hua perlu lebih percayakan saya. Kebetulan saya terjumpa Jun Xie di Puncak Berawan Kumpulan Qing Yun ini. Kami berdua adalah calon yang memohon untuk menjadi pengikut Kumpulan Qing Yun. Abang tahu bukan, keadaan di Puncak Awan Tersembunyi waktu lewat malam begini amat berbahaya. Kalau saya tinggalkan dia berseorangan, pasti dia akan ditimpa bencana."

Kerutan di wajah pemuda cantik itu berkurangan. Dia berpusing menghadap Jun Wu Xie lalu berkata, "Nama saya Hua Yao. Si Qiao Chu yang dungu ini ada memberitahu kami tentang kamu sebelum ini, dan kami tidak sangka akan bertemu kamu di sini. Ini bukanlah tempat dan masa yang sesuai untuk pertemuan pertama kita. Kalau tidak, banyak lagi yang saya mahu katakan kepada kamu."

Suara Hua Yao amat menyenangkan dan nadanya tidak terlalu pantas, tidak juga terlalu perlahan. Suaranya mampu menambat hati, tetapi wajahnya yang sangat cantik itu kelihatan terlalu dingin.

"Kalau betul kamu ini sama seperti apa yang Qiao Chu beritahu kami, saya fikir kedatangan kamu ke kawasan Kumpulan Qing Yun ini mempunyai motif tersembunyi dan bukan hanya kerana mahu menjadi pengikut mereka. Ingat ya, Puncak Awan Tersembunyi ini bukanlah tempat yang selamat, tidak kira apa jua motif kamu. Jauhkan diri daripada Ke Cang Ju. Jangan ikut cadangan sebarang pengikut senior untuk bertemu mereka sendirian dan jangan ambil ubat serta eliksir yang tidak diketahui sumbernya… Kalau boleh, jangan makan atau minum apa-apa sekalipun yang mereka berikan." Kening yang sudah kelihatan tenang tadi, kembali berkerut.

Sewaktu Qiao Chu menyebut tentang pertemuannya dengan budak di Bandar Hantu itu, mereka berharap dapat mencarinya lagi. Mereka mahu lihat jika dia boleh membantu mereka menghasilkan eliksir yang mereka perlukan.

Mereka sudah berjaya menemui orang yang dicari, tetapi pastinya ini bukan tempat dan masa yang sesuai untuk mereka berbincang tentang niat mereka.

Mereka ada satu lagi tugasan yang perlu dijalankan dan tidak dapat membawa Jun Wu Xie pulang bersama-sama mereka. Apa yang mereka mampu lakukan hanyalah cuba sehabis baik untuk tidak mendedahkan Jun Wu Xie kepada sebarang bahaya, sebelum menyelesaikan misi mereka.

"Orang-orang di luar sana, iaitu pengikut Puncak Awan Tersembunyi yang baru dibawa masuk, nama mereka tidak direkodkan di dalam senarai pengikut. Kalau mereka mati sekalipun, tak ada siapa yang tahu mereka ada kaitan dengan Puncak Awan Tersembunyi. Semua pengikut yang dibawa masuk secara rahsia oleh Ke Cang Ju akhirnya akan mati di dalam ruang bawah tanah ini. Mereka menjadi bahan eksperimennya dalam kajiannya mengenai racun. Seingat saya, dia akan menyeksa kumpulan pengikut baru pada malam pertama mereka masuk ke Puncak Awan Tersembuyi," sambung Hua Yao lagi.

"Abang Hua patut lihat mereka! Raksasa hodoh itu membuatkan semua orang berlapar dan kemudian menyuruh mereka pergi mengangkut air." Qiao Chu mengangguk-angguk. Ternyata keadaan bersiap-sedianya itu pasti disebabkan oleh maklumat yang diberikan oleh Hua Yao.

Bibir Hua Yao membentuk senyuman dingin yang kejam.

"Melakukan aktiviti berat dengan perut kosong akan membuatkan badan benar-benar letih dan tidak hairanlah kalau ada di antara mereka yang akan jatuh sakit. Kalau Ke Cang Ju benar-benar mahu membunuh sekumpulan rekrut itu, dia tidak akan melakukannya pada masa yang sama. Dia akan menggunakan cara yang tidak menarik perhatian dan mengurangkan bilangan mereka sedikit demi sedikit bagi mempergunakan mereka sepenuhnya. Puncak Awan Tersembunyi ini hanyalah kandang untuk kambing-kambing korban ini. Ke Cang Ju hanya perlu menggunakan satu atau dua alasan. Untuk memastikan rekrut yang lain tidak sedar tentang perbuatannya yang mencurigakan, dia akan mengambil rekrut yang sudah jatuh sakit untuk 'disembuhkan'. Betul tak?" Jun Wu Xie bertanya dengan bersahaja. Matanya dikecilkan sewaktu dia berkongsi analisisnya ini.

Demi tidak membuatkan kambing-kambing korban ini berjaga-jaga, Ke Cang Ju menggunakan tindakan kejam untuk meletihkan mereka. Sesiapa yang tercedera atau memerlukan rawatan lain akan dibawa ke Tuan Tua tersebut, dan perbuatan ini tidak akan kelihatan mencurigakan.

Rekrut yang lain akan terlalu letih untuk ambil peduli sama ada rekrut yang dibawa pergi itu akan hidup atau mati.

Satu kumpulan rekrut baru dan naif yang dibawa masuk ke dalam Puncak Awan Tersembunyi hanya akan mati seorang demi seorang. Sebaik ada di antara mereka yang menyedari ada sesuatu yang tak kena, semuanya sudah terlambat.