Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 274 - Abang Hua (3)

Chapter 274 - Abang Hua (3)

Hua Yao memandang Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut. Dia tidak menyangka seorang budak muda mampu menilai dengan teliti perbuatan Ke Cang Ju yang penuh penipuan dan berniat jahat itu, hanya selepas meluangkan masa separuh hari di Puncak Awan Tersembunyi. Nampaknya Jun Wu Xie memang luar biasa.

"Tepat tekaan kamu. Memang itulah cara Ke Cang Ju melaksanakannya. Selang beberapa hari, dia akan membawa masuk beberapa orang rekrut dan bunuh mereka semua secara perlahan-lahan. Di dalam Puncak Awan Tersembunyi ini, hanya pengikut yang memakai pakaian seragam Kumpulan Qing Yun sahaja yang benar-benar selamat kerana mereka juga sama kejam dan tahu apa yang berlaku di sini." Hua Yao mengesahkan tekaan Jun Wu Xie dengan kagum.

"Kamu datang ke sini bulan lepas?" Jun Wu Xie memandang luka-luka pada badan Hua Yao. Berbanding dengan orang lain di dalam ruang bawah tanah ini, kecederaannya kurang serius dan sekurang-kurangnya dia masih dalam keadaan sedar.

Hua Yao mengangguk, "Daripada kumpulan rekrut sebelum ini, saya yang terakhir dibawa masuk ke dalam ruang ini. Sebelum masuk ke sini, saya hantar roh berkontrak saya yang mempunyai segala maklumat ini kepada Qiao Chu."

Jun Wu Xie meneliti keadaan Hua Yao dan menyedari darah di lukanya sudah membeku. Keadaan badannya kelihatan teruk, tetapi dia nampak tenang. Kalau tidak kerana dia dilihat tergantung di dinding dan ditusuk beberapa kayu pancang sebentar tadi, tidak ada orang yang dapat menjangkakan kekejaman yang telah dilakukan ke atasnya.

Bagi orang biasa, jika tulang pinggul mereka dicangkuk dan kayu pancang ditusuk masuk ke badan mereka, kalau tidak mati sekalipun pasti sudah nyawa-nyawa ikan. Tetapi keadaan Hua Yao nampaknya masih baik.

Menyedari Jun Wu Xie memerhatikan Hua Yao, Qiao Chu melangkah ke hadapan dan memegang bahu Hua Yao, "Jangan pandang Abang Hua sebelah mata hanya disebabkan keadaannya sekarang. Kecederaan sebegini ringan saja baginya."

Jun Wu Xie mengangkat keningnya. Memikirkan cara Hua Yao melepaskan diri daripada belenggu yang memenjarakan dia di dinding itu, pemuda cantik ini pastinya seorang yang luar biasa.

"Saya boleh mengawal tulang saya dengan bebas." Bagi melenyapkan keraguan Jun Wu Xie, Hua Yao mengangkat tangannya. Jari-jarinya yang runcing bertukar menjadi lembut di depan mata Jun Wu Xie, seolah-olah tulang-tulang di dalamnya sudah lenyap. Tangannya terkulai layu.

Mata Jun Wu Xie bersinar kerana terperanjat. Di dalam kehidupannya sebelum ini, dia pernah bertemu dengan ahli peliuk badan yang mampu mengubah kedudukan tulang mereka dalam beberapa cara. Tetapi kebolehan mereka tidak boleh dibandingkan dengan kebolehan Hua Yao. Kawalan Hua Yao terhadap tulang-tulangnya bukan sahaja membolehkan badannya diliukkan, tetapi dia juga nampaknya mampu membuatkan tulangnya membesar dan lenyap sesuka hatinya.

"Apa objektif sebenar kamu di sini?" Jun Wu Xie menahan perasaan terkejutnya. Berdasarkan tindakan Qiao Chu dan Hua Yao, dia pasti mereka bukanlah sekutu Kumpulan Qing Yun.

Asalkan mereka tidak berbaik-baik dengan musuhnya, dia akan memanfaatkan mereka.

"Kami di sini untuk mengambil beberapa benda. Kamu pula?" Hua Yao memulihkan keadaan tangannya. Dia tidak menyembunyikan tujuannya ke situ. Sama seperti Jun Wu Xie, dia yakin mereka semua tidak ada hubungan baik dengan Kumpulan Qing Yun.

Mereka berdua mempunyai objektif masing-masing dan boleh membentuk perikatan sementara. Lagipun, mereka memerlukan pertolongan Jun Wu Xie dalam menguruskan sesuatu dan orang yang bijak tahu bila perlunya untuk menunjukkan keikhlasan.

Jun Wu Xie, Hua Yao dan Qiao Chu semuanya merupakan orang-orang yang bijak.

"Saya di sini untuk menghapuskan seluruh Kumpulan Qing Yun." Jun Wu Xie bercakap dengan bersahaja, tetapi setiap butiran kata-katanya membuatkan para pendengarnya tergamam.

Mata Qiao Chu terbeliak kehairanan, memandang Jun Wu Xie dengan perasaan tidak percaya. Malah wajah Hua Yao juga sekilas menunjukkan perasaan terkejut.

"Kamu….. Kamu bergurau, bukan?" Qiao Chu mengorek telinganya bersungguh-sungguh, memikirkan mungkin dia tersalah dengar kata-kata Jun Wu Xie.

Menghapuskan seluruh Kumpulan Qing Yun? Dia ni seriuskah?

"Saya rasa objektif kita tidak bercanggahan. Kerjasama, atau berjuang secara individu?" Jun Wu Xie tidak berminat untuk menjelaskan dengan panjang. Pengetahuan Hua Yao tentang Puncak Awan Tersembunyi amat berguna kepada Jun Wu Xie. Jika mereka bersetuju untuk bekerjasama, masa yang dia perlukan untuk menghapuskan Kumpulan Qing Yun akan menjadi lebih pendek. Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, dia juga tidak akan memaksa.