Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 275 - Penyamaran (1)

Chapter 275 - Penyamaran (1)

Konsep sekutu kepada Jun Wu Xie hanyalah sebagai sesuatu yang memudahkan kerjanya jika ada. Jika tidak ada, Jun Wu Xie tidaklah terlalu risau tentangnya.

Lagipun pada mulanya dia sudah pun merancang untuk melakukan semuanya sendirian.

Tetapi….

Dia nampak seperti…berguraukah?

Hua Yao dan Qiao Chu saling bertukar pandangan dengan pantas, dan terlihat jawapan di di mata satu sama lain.

Hua Yao memandang Jun Wu Xie lalu berkata, "Kita boleh bekerjasama, dan selepas kita berjaya, kami ada sesuatu yang perlukan pertolongan kamu."

"Cakaplah." Jun Wu Xie langsung tidak terkejut. Qiao Chu begitu teruja selama ini. Jun Wu XIe tidak fikir setakat pertemuan mereka yang sekali itu akan membuatkan Qiao Chu bersungguh-sungguh mahu melindunginya.

"Qiao Chu ada menyebut yang kamu berkebolehan menghasilkan eliksir. Kami mahu meminta pertolongan kamu untuk menghasilkan sejenis eliksir. Kami akan sediakan resipinya dan akan bantu kumpulkan herba yang diperlukan. Kamu cuma perlu siapkan eliksir itu sahaja." Hua Yao berhenti seketika sebelum menyambung, "Kami tak minta kejayaan yang pasti, tapi berharap kamu boleh mencuba sebaik mungkin. Kalau kamu berjaya, kami akan sangat berterima kasih. Tapi kalau gagal, kami tak akan sebut tentang hal ini lagi."

Jun Wu Xie mengangguk sedikit. Patutlah Qiao Chu begitu melindunginya. Nampaknya eliksir yang dihasilkannya di Bandar Hantu telah membuatkan Qiao Chu memberi perhatian terhadapnya.

Hua Yao dan Qiao Chu membuat permintaan dengan serius, pastinya ini bukan sesuatu yang mudah atau senang. Tetapi memandangkan Hua Yao sudah berterus terang tentangnya, Jun Wu Xie tidak ada sebab untuk menolak permintaannya.

Lagipun, dari segi perubatan dan kemahiran pembuatan eliksir, Jun Wu Xie amat yakin dengan dirinya sendiri.

Asalkan ada orang di dalam dunia ini yang pernah menghasilkan eliksir itu sebelum ini, Jun Wu Xie tidak percaya hal ini di luar jangkauannya!

"Baiklah, saya berjanji akan lakukannya." Jun Wu Xie bersetuju tanpa sebarang keraguan.

Qiao Chu tersenyum gembira, "Saya dah agak! Saya tahu awak akan setuju!"

"...…" Jun Wu Xie memandang Qiao Chu. Ini cuma perjanjian yang adil di antara dua pihak. Emosi yang berlebih-lebihan hanya akan mengaburkan minda.

Hua Yao sudah biasa dengan personaliti Qiao Chu yang penuh semangat ini, dan tidak mempedulikannya. Dia kemudiannya terus memberitahu Jun Wu Xie secara terperinci mengenai Puncak Awan Tersembunyi.

Setelah berada di Puncak Awan Tersembunyi selama lebih sebulan, pemahaman Hua Yao mengenai tempat itu jauh melebihi Bai Yun Xian.

Ke Cang Ju berada di dalam kawasan biliknya setiap pagi dan tidak pernah keluar. Dia cuma akan memberikan arahan kepada pengikut Puncak Awan Tersembunyi pada waktu tengah hari, itupun sekejap sahaja. Kebanyakan masa, dia bersendirian. Malah pengikut sebenar Puncak Awan Tersembunyi juga tidak banyak berinteraksi dengannya. Selepas matahari terbenam, Ke Cang Ju akan datang ke ruang bawah tanah ini dan mengenakan seksaan ke atas rekrut barunya.

Ke Cang Ju hanya melihat pemuda-pemuda yang dikurung di bilik ini sebagai bahan ujikaj dalam pelbagai eksperimen dan kajiannya yang berkaitan dengan racun dan seksaan. Pelbagai jenis eksperimen dijalankan di sini pada setiap hari.

Selepas matahari terbenam, Puncak Awan Tersembunyi bertukar menjadi neraka yang menggerunkan.

Mereka yang mati akibat eksperimen ini akan dibawa keluar oleh para pengikut Puncak Awan Tersembunyi pada waktu tengah-tengah malam. Mayat mereka ditanam di batas tumbuhan herba, menjadi baja bagi membolehkan tumbuhan herba itu mendapat khasiat.

Selepas diterima masuk ke dalam Puncak Awan Tersembunyi, melainkan mereka menjadi pengikut sebenar di bawah Ke Cang Jun, mereka tidak akan dapat pergi dari tempat itu, walaupun selepas mati.

Sebaik melangkah masuk ke Puncak Awan Tersembunyi, para rekrut baru itu sudah ditakdirkan untuk tidak dapat meninggalkan kawasan ini hidup-hidup.

Jun Wu Xie mendengar kata-kata Hua Yao dengan teliti. Dia menundukkan matanya yang dingin lalu berfikir sejenak. Jun Wu Xie tiba-tiba mendongak dan memandang Hua Yao lalu bertanya, "Kamu boleh kawal tulang-tulang kamu dengan bebas. Bolehkah kamu menukar bentuk tubuh badan dan rupa paras kamu?"

Hua Yao terkejut! Dia juga nampaknya sedar maksud di sebalik pertanyaan Jun Wu Xie, tetapi dia kelihatan tidak begitu pasti sebelum akhirnya mengangguk.