Apa yang dilihat di depan matanya ini membuatkan fikiran Jun Wu Xie berkecamuk. Pada ketika itu, dia seolah-olah dibawa kembali ke penjara yang menjadi mimpi ngerinya. Ketika itu, si syaitan itu memaksa menyaksikan pelbagai eksperimen yang kejam ke atas tubuh manusia.
Qiao Chu menyedari wajah Jun Wu Xie yang tiba-tiba menjadi pucat dan memandangnya dengan perasaan bersalah.
"Saya tak mahu kamu lihat semua ni…" Tentulah dia sudah tahu tentang tempat menjijikkan yang menjadi rahsia di Puncak Awan Tersembunyi.
"Saya tak apa-apa." Jun Wu Xie menenangkan dirinya dan melambaikan tangannya. Dia telah membakar neraka dunia itu dan si syaitan itu juga sudah musnah dijilat api.
Tidak ada apa yang perlu dia takutkan lagi!
Qiao Chu tidak tahu bagaimana mahu memujuk Jun Wu XIe dan hanya mampu menggaru-garu kepalanya dengan kecewa. Dia membawa mereka berdua lebih dalam lagi ke ruang bawah tanah itu.
Lebih jauh mereka pergi, suasana sekeliling menjadi lebih menggerunkan. Neraka yang berada jauh di dalam Puncak Awan Tersembunyi ini umpama mimpi ngeri!
Akhirnya Qiao Chu berhenti dan berdiri di hadapan satu dinding. Seorang pemuda yang tinggi berada di dinding itu. Ada dua cangkuk yang ditusuk ke tulang pinggulnya dan sembilan kayu pancang ditikam ke seluruh tubuhnya. Kedua-dua belah tangannya dirantai yang tergantung dari siling. Darah merah segar dari luka-lukanya mengalir ke badannya sebelum akhirnya menitis dari jari-jari kakinya. Satu takungan darah terbentuk di atas lantai di bawahnya.
Kepalanya tertunduk dan pemuda itu diam sahaja, seolah-olah sudah mati.
"Kamu sampai juga akhirnya?" Tiba-tiba kedengaran satu suara yang lembut tetapi dingin. Pemuda yang tergantung di dinding itu seakan-akan sudah hidup semula sewaktu dia mengangkat kepalanya.
Raut wajahnya agak feminin dan dia kelihatan cukup cantik sehingga tak ada orang yang mahu memusnahkan kecantikan itu. Matanya sedikit kuyu. Ada tahi lalat kecil di bawah sebelah matanya yang membuatkan pemuda itu kelihatan menawan.
"Ab….. Abang Hua….." Qiao Chu merenung pemuda itu yang berada di dalam keadaan menggerunkan namun masih kelihatan cantik.
Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan memandang susuk tubuh di dinding itu. Dia memerhatikan luka-luka yang dialami oleh pemuda itu dan terkejut kerana ada orang yang masih mampu kekal sedar dalam keadaan itu. Pemuda ini mempunyai semangat yang kuat.
Pemuda yang cantik itu berkerut sewaktu terpandang Jun Wu Xie yang berdiri di belakang Qiao Chu.
"Siapa tu?"
Qiao Chu menelan air liurnya lalu berkata, "Inilah budak yang saya ceritakan dulu. Genius yang saya temui di Bandar Hantu."
Genius? Jun Wu Xie mengangkat keningnya sewaktu mendengar perkataan itu.
Pemuda yang dipanggil Abang Hua itu mengecilkan matanya, kemudian satu perkara yang memeranjatkan berlaku di hadapan mata Jun Wu Xie!
Pemuda yang dibelenggu cangkuk dan kayu pancang itu tiba-tiba mula bergerak. Tangannya yang dirantai itu terlepas dan terkulai di sisinya, seolah-olah seperti tidak tulangnya sudah disedut keluar. Sambil melepaskan dirinya daripada belenggu, sebelah kakinya memijak dinding dan menolak dirinya bebas daripada cangkuk di tulang pinggulnya. Susuk tubuhnya yang tinggi dan kurus itu melengkung di udara sebelum mendarat di hadapan Jun Wu Xie dan Qiao Chu. Kakinya yang tidak berkasut itu memijak takungan darahnya sendiri.
Abang Hua yang sedang berdiri di atas lantai itu telah mengembalikan keadaan tangannya seperti sediakala. Jari-jarinya menarik keluar kayu pancang yang ditikam ke badannya, satu demi satu.
Ada cebisan daging yang terlekat pada kayu pancang yang dikeluarkan daripada tubuhnya, namun dia langsung tidak tersentak dan tetap merenung Jun Wu Xie.
Tindakan dia melepaskan diri daripada keadaan terpenjara itu sungguh mudah dan lemah lembut sehinggakan sesiapa saja yang menyaksikannya akan terpegun.
"Kenapa kamu bawa dia ke sini?" Abang Hua berpusing dan matanya yang dingin itu merenung Qiao Chu. Renungan marah pemuda cantik itu tidak kelihatan seperti dia mengancam Qiao Chu, sebaliknya kelihatan lembut dan menawan.