Jun Wu Xie yang disalah anggap sebagai arnab yang tidak berbahaya, dibawa oleh Qiao Chu jauh ke dalam Puncak Awan Tersembunyi.
Qiao Chu terus berjalan mengikut arah yang tepat. Dia mengikut laluan yang gelap dan malap, mengelakkan para pengikut yang sedang berkawal di dalam puncak gunung tersebut.
Melihat Qiao Chu yang nampak biasa dengan jalan yang dilaluinya, Jun Wu Xie semakin yakin dengan tekaan awalnya tadi.
Pengetahuan Qiao Chu tentang Puncak Awan Tersembunyi tidak kurang hebatnya berbanding Bai Yun Xian!
Jun Wu Xie mengikut Qiao Chu melalui kawasan di dalam Puncak Awan Tersembunyi. Deria bau Jun Wu Xie yang tajam memberitahu dia yang semakin dalam mereka masuk ke Puncak Awan Tersembunyi, semakin kuat bauan herba dan ubat-ubatan yang tersebar di udara. Bau itu bukannya seperti haruman herba yang baru diproses, tetapi merupakan haruman daripada campuran pelbagai jenis herba. Bau itu agak kurang menyenangkan, dan tidak berbau seperti ubat-ubatan yang bersifat menyegarkan atau menyembuhkan.
Akhirnya, Qiao Chu berhenti di hadapan sebuah bangunan yang nampak biasa sahaja. Di luar bangunan itu, ada dua orang pengikut Puncak Awan Tersembunyi yang menjadi pengawal. Malam sudah lewat dan dua orang pengawal itu kelihatan letih. Mereka bersandar pada pintu dengan mata yang separuh tertutup, hampir terlelap.
Seketika kemudian, Qiao Chu meluru sepantas kilat ke arah dua orang pengawal yang sedang mengantuk itu. Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya dan dengan pantas membuatkan kedua-duanya pengsan sebelum mereka sempat menyedari ada sesuatu yang tak kena.
Setelah dua orang pengawal itu diuruskan, Qiao Chu melambai ke arah Jun Wu Xie yang sedang bersembunyi di dalam gelap. Dia kemudiannya terus menolak pintu itu terbuka dan melangkah masuk ke dalam.
Jun Wu Xie mengikut dengan rapat di belakang Qiao Chu. Sebaik melangkah masuk ke bangunan itu, bau darah yang amat kuat telah menyerang mereka dan hampir membuatkan Jun Wu Xie muntah.
Kawasan di dalam bangunan itu malap dan ada sedikit sinaran lampu menerangi perlengkapan di dalamnya. Dindingnya dipenuhi rak berisi herba dan semuanya kelihatan teratur. Namun bau darah yang masuk ke paru-paru mereka membuatkan Jun Wu Xie sedar yang segala-gala yang berada di hadapan mereka ini adalah palsu, digunakan untuk memperdayakan orang lain.
Qiao Chu menuju ke satu sudut di bilik itu lalu mencangkung untuk menarik sebahagian daripada lantai. Satu terowong yang gelap muncul di hadapan, sangat gelap sehingga kelihatan seolah-olah tidak berpenghujung. Bau darah yang kuat dapat dihidu sebaik pintu kolong itu dibuka. Bau itu berterusan meluru keluar, seolah-olah bau itu merupakan benda yang hidup.
"Ikut saya." Qiao Chu berkata dengan perlahan kepada Jun Wu Xie. Dia mengeluarkan satu sumber cahaya kecil iaitu sebiji batu ambar yang bersinar-sinar. Qiao Chu kemudian memijak anak tangga untuk turun ke bawah.
Jun Wu Xie mengekori Qiao Chu di dalam kegelapan yang tidak berkesudahan itu. Keadaan di situ sunyi sepi. Terlalu sunyi sehinggakan dirasakan kurang menyenangkan.
Seketika kemudian, tangga itu membawa mereka ke satu tempat yang kelihatan seperti neraka.
Bilik bawah tanah itu dipenuhi bekas besar yang bersepah di merata-rata tempat. Ada cecair yang sedang menggelegak di dalam setiap bekas. Cecair itu menghasilkan asap berwarna hijau pekat. Lebih mengejutkan, di dalam setiap bekas besar itu terdapat seorang manusia yang masih hidup, sedang berendam di dalam cecair berkenaan!
Mereka semua kelihatan seperti sudah mati….
Orang-orang yang berada di dalam bekas itu bertelanjang dan kulit mereka dipenuhi luka bernanah akibat direndam di dalam cecair beracun itu. Mata mereka telah dikorek keluar, hanya meninggalkan dua lubang yang ternganga. Mulut mereka pula disumbat dan diikat dengan tali hitam. Darah kering berwarna coklat mengotori sekeliling mulut mereka dan mereka duduk sahaja di dalam bekas besar itu tanpa bergerak. Kepala mereka yang terlentok tidak menunjukkan sebarang tanda pergerakan. Tetapi dada mereka yang turun naik menunjukkan menyatakan perkara sebaliknya.
Mereka masih hidup!
Setiap satu daripada berpuluh-puluh bekas itu berisi seorang manusia yang sudah tidak berdaya. Di atas bekas-bekas itu ada beberapa pangkin penyeksaan. Beberapa orang pemuda dirantai pada pangkin penyeksaan itu dalam keadaan tidak berbaju. Badan mereka dipenuhi luka yang sudah bernanah. Nanah-nanah itu mengeluarkan bau yang busuk. Seorang lagi pemuda digantung pada pangkin penyeksaan, sudah dilapah hidup-hidup….