[Cik, nampaknya keadaan di sini agak teruk.]
Kabus hitam meresap keluar daripada tubuh Jun Wu Xie, membentuk bebola dan kemudiannya menjadi seekor kucing hitam kecil yang lincah. Kucing itu melompat ke atas katil yang empuk itu dan menggoyangkan ekornya dengan garang. Seolah-olah mahu melenyapkan bau busuk yang berlegar di udara.
"Ini hanya bau kematian," kata Jun Wu Xie dengan acuh tak acuh. Bau ini amat dikenalinya, terhasil daripada mayat-mayat yang telah membusuk. Puncak Awan Tersembunyi ini pada dasarnya kelihatan seperti sebuah tempat yang dihormati, namun di sebaliknya ada banyak kematian misteri yang tidak dilihat dan diketahui.
[Raksasa hodoh itu pasti sudah melakukan kejahatan.]
Sewaktu bersembunyi di dalam badan Jun Wu Xie, kucing hitam kecil itu dapat melihat Ke Cang Ju dengan jelas. Lelaki itu memang teramat hodoh.
Jun Wu Xie tidak berkata apa-apa dan duduk di kerusi dengan diam.
Mereka baru sahaja sampai ke Puncak Awan Tersembunyi dan terus dibawa ke ruang tempat tinggal ini oleh pengikut Kumpulan Qing Yun. Tidak ada orang lain yang memberi perhatian kepada mereka dan kumpulan pemuda yang teruja tadi telah berkumpul di halaman sepanjang tengah hari. Mereka tidak berani bergerak atau merayau-rayau tanpa arahan kerana amat menghargai peluang yang telah diberikan ini.
Apabila malam mula menjelang, beberapa orang pengikut Puncak Awan Tersembunyi kembali ke ruang tempat tinggal itu. Orang-orang baru ini sudah lapar dan mereka memandang sahaja para pengikut senior ini berjalan melepasi mereka. Salah seorang daripada pemuda ini mengumpul keberanian untuk mendekati pengikut senior berkenaan untuk meminta makanan, namun dihalau kembali dengan jelingan dingin.
Hanya setelah malam semakin lewat dan para pemuda itu benar-benar kebulur, barulah pengikut yang membawa mereka datang ke ruang tempat tinggal itu tadi, berjalan perlahan-lahan dan menjerit menyuruh semua rekrut baru berkumpul.
Jun Wu Xie dan Qiao Chu melangkah keluar daripada bilik masing-masing dan saling bertukar pandangan. Mereka berdua tidak kelihatan lapar.
"Senior, sudah...sudah terlalu lewat malam ni. Bila boleh kami….makan?" Para pemuda yang sudah kebulur itu memegang perut mereka dan memandang pengikut itu.
Pengikut itu memandang mereka dan membalas dengan kejam, "Kamu nak makan?"
Para pemuda itu mengangguk bersungguh-sungguh.
Pengikut itu mengangkat tangannya dan menuding ke arah luar lalu berkata, " Tengok di luar sana, ada seratus bekas besar. Lima batu ke arah timur ada sebuah mata air gunung. Setiap seorang daripada kamu perlu memenuhkan tiga bekas besar dengan air. Kalau kamu tak boleh lakukannya, jangan mimpi nak dapat makan pada malam ni atau esok pagi."
"Apa?" Para pemuda itu benar-benar terkejut. Mereka telah terlihat bekas-bekas besar itu tadi sewaktu mereka sampai. Bekas-bekas tersebut sama tinggi dengan mereka dan lebih lebar daripada sedepa tangan mereka. Jarak lima batu itu tidaklah terlalu jauh, tetapi perjalanan pergi balik menjadikan jaraknya sepuluh batu. Mereka sudah berlapar sepanjang hari dan tidak dapat walau setitik air sekalipun. Masa sekarang pula sudah lewat malam dan mereka tidak ada tenaga untuk mengangkat air melalui kawasan pergunungan. Bekas itu terlalu besar untuk dipenuhkan, dan mereka perlu penuhkan tiga bekas pula tu. Ini bermakna mereka perlu berulang-alik berpuluh-puluh kali.
Laluan pergunungan yang tidak rata juga menyukarkan lagi keadaan. Namun jika laluan itu rata sekalipun, tidak ada siapa di kalangan mereka yang mampu melakukannya.
"Apa ni? Kamu merungut? Biar saya beritahu kamu ya, air di dalam bekas-bekas itu akan digunakan untuk menyiram batas-batas herba esok. Kalau kamu tak boleh lakukannya, keluar dari sini dengan segera. Puncak Awan Tersembunyi tak perlukan orang tak guna macam kamu!" Pengikut itu mencemuh dan memarahi mereka.
Para pemuda yang tadinya bersantai dengan gembira sepanjang hari dan memikirkan impian mereka sudah menjadi kenyataan, kini berhimpit-himpit ketakutan. Mereka sedar mimpi ngeri mereka sebenarnya baru sahaja bermula.
Impian fantasi yang jatuh ke riba, sebenarnya merupakan mimpi ngeri yang boleh meragut nyawa!
Mereka enggan menyerahkan peluang untuk diterima masuk ke Puncak Awan Tersembunyi dan memaksa diri mereka untuk bertahan. Walaupun tugasan yang diberikan itu mustahil dapat dilaksanakan, mereka mengheret diri untuk bangun dan mula bergerak untuk melakukan apa yang diarahkan.