Sambil mengheret badan mereka yang letih, para pemuda itu keluar dan mengambil baldi. Mereka memulakan perjalanan untuk mengambil air daripada mata air gunung.
Dua orang yang kelihatan malas, berada di belakang kumpulan itu sambil memerhatikan sahaja orang lain memaksa tubuh badan mereka yang malang dan terhuyung-hayang pergi mengambil air.
"Lapar?" tanya Qiao Chu selepas semua orang sudah pergi dan mereka berdua sahaja yang berada di luar ruang tempat tinggal itu.
Jun Wu Xie menggelengkan kepala. Seleranya memang tidak besar dan dia tidaklah begitu berminat dengan makanan. Dia cuma memastikan untuk mendapatkan khasiat dan karbohidrat yang cukup setiap hari, tidak lebih daripada itu. Eliksir yang dibawanya membekalkan zat yang cukup dan Jun Wu Xie tidak berasa lapar.
"Nah, ambil ni. Kamu tak perlu makannya hari ini, simpan untuk lain kali. Penyeksaan ini akan berterusan beberapa lama lagi." Qiao Chu mengeluarkan satu peket berisi daging kering daripada begnya dan menyerahkan peket itu ke tangan Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya dan memandang Qiao Chu. Selama ini Qiao Chu berceloteh tanpa henti, tetapi tindakannya ini kadangkala memberikan petunjuk yang berlawanan dengan personaliti dungu yang ditunjukkan. Matlamat asal Qiao Chu ialah untuk dimasukkan ke dalam Puncak Awan Tersembunyi dan tindak-tanduknya menunjukkan dia amat arif tentang keadaan di sini. Daging kering biasanya kecil dan tidak kelihatan begitu ketara, sesuai dijadikan bekalan. Selain orang yang banyak mengembara, jarang orang mahu membawa daging kering bersama-sama mereka. Qiao Chu nampaknya sudah bersedia untuk menghadapi keadaan yang tidak dijangka.
Qiao Chu sudah memberi petunjuk sejak awal lagi yang dia akan melindungi Jun Wu Xie sewaktu berada di Puncak Awan Tersembunyi. Jadi nampaknya dia tahu tentang keadaan di sini. Daging kering ini juga disediakan lebih awal untuk menghadapi seksaan malam ini yang sudah dijangkakan.
Apakah objektif Qiao Chu yang berkaitan dengan Kumpulan Qing Yun?
Qiao Chu menyedari yang Jun Wu Xie tidak menerima daging kering itu dan dia menyumbatnya kembali ke dalam begnya. "Kalau kamu lapar, beritahu saya. Saya ada banyak lagi. Tak payahlah kita angkut air, mustahil tugasan ini dapat diselesaikan. Apa kata kamu tunggu saja di sini? Kalau kamu balik sekarang, kamu pasti dileteri oleh pengikut senior."
Jelas sekali yang Qiao Chu juga tidak akan menjadi buruh di Puncak Awan Tersembunyi.
"Kamu nak ke mana?" Jun Wu Xie bertanya dengan tiba-tiba.
Qiao Chu teragak-agak dan memikirkan apa yang Jun Wu Xie boleh lakukan jika dia ditinggalkan sendirian.
"Kamu mahu saya tunggu di luar ni, kamu pula?" Jun Wu Xie menyatakan tentang Qiao Chu yang tidak menyebut mengenai dirinya.
Qiao Chu menampar dahinya dengan kecewa dan berkata, "Saya ni tak pandai menipu, bukan? Abang Hua selalu marahkan saya sebab ini." Dia memandang keadaan sekeliling bagi memastikan tidak ada orang di situ sebelum berkata dengan suara perlahan, "Puncak Awan Tersembunyi ini sangat berbahaya jadi jangan merayau jauh. Setelah saya selesai bercakap dengan orang itu, saya akan kembali dapatkan kamu di sini."
Di mata Qiao Chu, badan Jun Wu Xie yang kecil molek dan kurus itu akan menghadapi bahaya di dalam Puncak Awan Tersembunyi. Qiao Chu merasakan jika dia tak ada untuk mengawasi Jun Wu Xie, pemuda lain akan menjadikan menjadikan Jun WU Xie sebagai sasaran dan membawa dia bersama mereka.
"Saya nak ikut kamu," kata Jun Wu Xie kepada Qiao Chu.
Qiao Chu terkejut.
"Kamu nak ikut?"
Jun Wu Xie mengangguk.
Qiao Chu lebih arif tentang Puncak Awan Tersembunyi berbanding Jun Wu Xie. Tidak kiralah siapa Qiao Chu, dia jelas tidak sukakan Kumpulan Qing Yun. Kalau objektif mereka tidak bercanggah, Jun Wu Xie sanggup untuk lebih mengenali tentang tempat itu melalui Qiao Chu.
Qiao Chu kelihatan risau. Dia memandang Jun Wu Xie dan diam beberapa ketika sebelum berkata, "Baiklah, tapi kamu mesti berjanji. Tak kira apa yang kamu nampak, kamu tak boleh membuat sebarang bunyi."
Mungkin lebih baik dia bawa Jun Xie bersamanya. Meninggalkan Jun Xie berseorangan di jerumun singa ini membuatkan Qiao Chu tidak senang hati.
Jelaslah yang Qiao Chu mempunyai persepsi yang salah terhadap Jun Wu Xie. Dia menganggap Jun Wu Xie seperti budak muda yang tidak berupaya mempertahankan dirinya sendiri. Dia sudah terlupa dengan kemahiran Jun Wu Xie dalam pengendalian racun. Sesuatu yang Qiao Chu telah saksikan dengan matanya sendiri baru-baru ini.