Para pemuda itu sudah gelisah sejak mereka menjejak kaki ke Puncak Awan Tersembunyi. Apabila mereka terlihat di sekeliling mereka terdapat pelbagai jenis herba, mereka menjadi semakin kagum. Mereka mula meninjau-ninjau keadaan sekeliling, mencari herba yang jarang ditemui. Setiap kali melihat herba berkenaan, mereka akan menyebut namanya dengan kuat, cuba membuatkan pengikut Puncak Awan Tersembunyi itu kagum dengan "pengetahuan luas" mereka.
Selain kebudak-budakan dan dungu, Jun Wu Xie tak tahu perkataan apa lagi yang sesuai untuk menggambarkan kambing-kambing korban ini.
Pengikut Puncak Awan Tersembunyi membawa mereka ke ruang tempat tinggal mereka. Bertepatan dengan kedudukannya sebagai puncak kedua terbesar, ruang tempat tinggal di Puncak Awan Tersembunyi amat luas. Terdapat beberapa orang pengikut yang sedang berjalan di halaman yang besar itu sambil menundukkan kepala, langsung tidak menunjukkan minat terhadap kumpulan pengikut junior baru yang telah diterima masuk ke Puncak Awan Tersembunyi.
Pengikut Puncak Awan Tersembunyi dilayan dengan baik. Setiap pengikut mempunyai bilik sendiri. Pengikut Qin Yue sekalipun tidak menerima kelebihan seperti ini di ruang tempat tinggal mereka. Di dalam Kumpulan Qing Yun, selain Tuan Tua dan beberapa orang yang memiliki kelebihan yang dikurniakan oleh Pemerintah mereka sendiri, sebuah bilik biasanya dikongsi oleh dua atau tiga orang pengikut.
Sambil berjalan ke bilik masing-masing, kumpulan pemuda ini ketawa melihatkan kemewahan yang bakal mereka nikmati. Dalam diam mereka masih memikirkan yang nasib mereka sudah berubah.
Bilik Jun Wu Xie terletak bersebelahan dengan bilik Qiao Chu, di bahagian utara ruang tempat tinggal itu. Bilik mereka berdekatan dengan sebuah kolam yang dihiasi gunung tiruan dan tempat itu kelihatan amat elegan.
Sambil duduk di atas kerusi di dalam bilik itu, mata Jun Wu Xie memerhatikan keadaannya. Alas katil itu kelihatan baru, walaupun kualitinya agak teruk, sekurang-kurangnya ia bersih. Dia belum pun duduk lama, wajahnya mula berkerut.
Dia terhidu satu bau yang biasa dihidunya, bau darah. Bau itu tidaklah terlalu kuat, malah hampir tidak dapat dikesan. Kalau tidak kerana deria baunya yang luar biasa sensitif, dia mungkin tidak akan perasan bau itu.
Jun Wu Xie mengikut bau yang dibencinya itu dan sampai ke meja di sebelah katilnya. Cat di satu sudut meja itu masih baru, warnanya lebih terang berbanding bahagian lain. Jun Wu Xie mengambil sebilah pisau belati kecil daripada beg kainnya dan mengikis cat di sudut itu. Cat berwarna jingga itu terkupas sedikit demi sedikit dan kayu yang asal dapat dilihat. Setelah diteliti, kayu berkenaan dikotori warna darah. Kesan darah itu kelihatan masih baru, sewaktu darah menitis ke atas meja itu dan meresap ke dalam kayu lalu menukarkan warnanya menjadi warna merah pekat. Kesan ini sukar dibersihkan.
"Menarik." Jun Wu Xie duduk kembali ke kerusi sambil merenung kesan darah yang disembunyikan secara sambil lewa itu. Matanya bersinar dingin.
Puncak Awan Tersembunyi sama bahaya seperti yang telah didengarinya. Pemilik bilik ini sebelum ini mati tidak lama dahulu. Kalau tidak, pasti bau darah ini sudah lenyap sepenuhnya.
Ke Cang Ju menerima sejumlah besar pengikut pada lima belas hari bulan setiap bulan. Tetapi Jun Wu Xie meneliti secara rahsia tadi dan dia mendapati di dalam ruang tempat tinggal itu terdapat kurang daripada dua ratus orang pengikut semuanya. Kalau mengikut jumlah pengikut yang Ke Cang Ju terima, tiga puluh orang setiap bulan, jumlah pengikut yang ada tidak sepadan, sekalipun digandakan sepuluh kali.
Berdasarkan cara Ke Cang Ju menerima pengikutnya kali ini, dia telah menerima Jun Wu Xie dan Qiao Chu secara terang-terangan, tetapi juga secara rahsia telah menyuruh pengikutnya mengumpulkan tiga puluh orang calon yang telah ditolak selepas penilaian itu dan membawa mereka balik ke Puncak Awan Tersembunyi.
Kalau Ke Cang Ju telah melakukan perkara yang sama selama ini, orang lain tidak akan melihat ada apa-apa yang mencurigakan tentang Puncak Awan Tersembunyi.
Lagipun, seperti yang jelas dapat dilihat oleh orang luar, Puncak Awan Tersembunyi tidak mempunyai ramai pengikut.
Semua kesan kewujudan mereka telah dipadamkan, penipuan ini dilakukan dengan teliti.
Jun Wu Xie bangun dan mengeluarkan satu botol porselin kecil. Dia mengumpulkan cat yang telah dikikis tadi menjadi satu timbunan kecil dan menuang sedikit cecair di dalam botol itu ke atas timbunan itu. Cat kering itu cair perlahan-lahan dan Jun Wu Xie menyapu cat itu menggunakan bahagian bawah botol itu dan mengecat semula sudut yang telah dikikis catnya tadi. Seketika kemudian, bahagian itu kembali kelihatan seperti sebelumnya.