Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 267 - Puncak Awan Tersembunyi (3)

Chapter 267 - Puncak Awan Tersembunyi (3)

Pemuda-pemuda ini begitu iri hati apabila dua orang Tuan Tua itu bertengkar merebut Jun Wu Xie sewaktu penilaian pemilihan tadi. Mereka telah putus harapan sewaktu tidak terpilih dan baru sahaja mahu meninggalkan puncak gunung itu apabila bertemu dengan seorang pengikut Puncak Awan Tersembunyi. Dia memilih beberapa orang daripada mereka kemudian memberitahu bahawa Ke Cang Ju telah memilih mereka untuk menyertai Puncak Awan Tersembunyi dan mulai saat itu, mereka akan menjadi pengikut Puncak Awan Tersembunyi.

Kejadian yang tidak disangka!

Mereka tidak lagi bersedih dan gembira mendengarkan berita itu. Kini setelah bertemu dengan Jun Wu Xie lagi, orang yang menyebabkan mereka cemburu dan iri hati, mereka tidak dapat menahan diri daripada mencemuhnya.

Hebat sangatkah kalau dua orang Tuan Tua memilih dia? Dia diterima masuk ke Puncak Awan Tersembunyi, sama seperti mereka. Selama ini mereka tertanya-tanya kebolehan apa yang Jun Wu Xie miliki, tapi nampaknya dia sama sahaja seperti mereka.

Remaja memang suka memberontak dan mereka ini tidak menyukai Jun Wu Xie dan Qiao Chu kerana dipilih sewaktu penilaian itu. Kini berhadapan dengan kedua-duanya, segala-galanya tentang mereka berdua menyakitkan hati kumpulan pemuda yang lebih besar ini.

Jun Wu Xie tidak mempedulikan cemuhan dan ejekan itu. Rong Heng hanya mengeluh dan berkata kepada Jun Wu Xie, "Saya cuma boleh iringi kamu sehingga ke sini. Dari sini nanti, ada pengikut Puncak Awan Tersembunyi yang akan membawa kamu. Jaga diri."

Jun Wu Xie mengangguk ke arah Rong Heng dan berjalan bersama-sama Qiao Chu untuk menyertai kumpulan yang masih memandang mereka berdua dengan pandangan yang tajam. Tetapi Jun Wu Xie dan Qiao Chu langsung tidak terkesan sewaktu mereka melangkah ke dalam kalangan kumpulan itu.

"Kau mesti rasa kau ni hebat sangat! Kau fikir kau lebih bagus daripada kami?" Seorang pemuda yang tua sedikit dalam kalangan mereka berasa sakit hati dengan sikap dingin dan suka menyendiri Jun Wu Xie itu. Dia cuba merempuh Jun Wu Xie dengan badannya yang lebih berat.

Malangnya, dia tidak berjaya menyentuh walau sedikitpun badan Jun Wu Xie sebelum Qiao Chu masuk campur secara tiba-tiba. Qiao Chu menggenggam bahu pemuda itu, menterbalikkan genggaman satu lagi tangannya untuk memegang lengan pemuda itu kemudian mengangkat kakinya dan memijak dengan kuat!

Satu bunyi yang kuat kedengaran dan lengan pemuda itu patah dalam sekelip mata.

Pemuda itu meraung dengan nyaring.

Wajah Qiao Chu yang biasanya kelihatan malas itu menjadi kejam, dan dia mengecilkan matanya dengan penuh bahaya. Pada ketika itu, dia sangat berbeza daripada Qiao Chu yang biasanya bersikap tenang dan santai.

"Jauhkan diri atau aku akan bertindak lebih teruk."

Pemuda yang patah tangannya itu meraung berterusan. Pemuda-pemuda lain menjadi pucat dan berpeluh-peluh melihat serangan ganas Qiao Chu, Pengikut Kumpulan Qing Yun yang berada di situ hanya memandang sekilas kepada Qiao Chu dan tidak berkata apa-apa.

Ekspresi wajah Qiao Chu berubah sekelip mata sewaktu dia kembali berdiri di sebelah Jun Wu Xie. Wajahnya yang kelihatan kejam sebelum ini terus lenyap tanpa kesan. Dia kemudiannya berkata sambil ketawa, "Penumbuk saya ini cukup kuat untuk mengalahkan sesiapa yang berani membuli kamu di Puncak Awan Tersembunyi."

Jun Wu Xie memerhatikan perubahan sikap Qiao Chu itu dengan penuh minat, tetapi dia tidak merasakan ada apa-apa yang tak kena dengan keadaan itu.

Dia tidak merasakan serangan Qiao Chu itu kejam. Kalau bukan kerana mereka berada di Puncak Berawan Kumpulan Qing Yun, dia pasti sudah memberitahu Qiao Chu untuk menghapuskan kejahatan dan tidak membiarkan mereka hidup untuk kembali menyusahkan mereka. Tetapi memandangkan mereka semua akan ke puncak Awan Tersembunyi, pemuda itu tidak akan hidup lebih lama lagi. Tak ada bezanya kalau Qiao Chu biarkan dia terus hidup atau tidak.

"Kalau kamu dah puas bermain-main, ikut saya." Pengikut Puncak Awan Tersembunyi itu bergumam dengan tidak senang hati dan memandang kumpulan pemuda itu dengan perasaan tidak sabar.

Serangan Qiao Chu telah menakutkan para pemuda yang mencemuh mereka tadi. Tidak ada seorang sekalipun yang berani berkata apa-apa terhadap Jun Wu Xie dan Qiao Chu sambil mereka semua berjalan masuk ke pintu pagar Puncak Awan Tersembunyi.

Puncak Awan Tersembunyi adalah yang kedua terbesar dalam kalangan dua belas puncak itu, di belakang puncak gunung milik Pemerintah mereka, Qin Yue. Kawasan puncak gunung ini amat luas. Sebaik masuk ke Puncak Awan Tersembunyi, kabus meliputi ruang udara dan hutan tebal di kedua-dua bahagian gunung itu turut diselimuti kabus. Di sebalik kabus itu, samar-samar dapat dilihat batas-batas herba penuh di sepanjang jalan di kedua-dua belah.

Puncak Awan Tersembunyi terkenal di kalangan orang di luar dalam pengkhususan penanaman dan pemupukan herba. Dikatakan juga semua jenis herba yang jarang ditemui di dunia ini, ada terdapat di Puncak Awan Tersembunyi.