Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 261 - Dua Belas Puncak (3)

Chapter 261 - Dua Belas Puncak (3)

Sewaktu ujian terakhir itu bermula, kebanyakan pemohon berusaha bersungguh-sungguh. Mereka berharap dapat menunjukkan segala-galanya yang telah mereka belajar sepanjang hidup mereka kepada Pemerintah dan Tuan Tua Kumpulan Qing Yun. Ada yang membacakan buku-buku perubatan klasik, ada yang menunjukkan pelbagai titik akupuntur pada lukisan badan manusia yang mereka bawa bersama dan ada yang menunjukkan eliksir yang katanya dibuat sendiri…

Ada pelbagai jenis pertunjukan bakat yang dibuat, dilakukan dalam pelbagai cara. Tidak lama kemudian keadaan di situ menjadi riuh seperti di pasar ikan.

Jun Wu Xie tidak terburu-buru untuk bertindak. Dia hanya memandang dengan diam, melihatkan para pemuda yang telah menjadikan ujian terakhir ini seperti sarkas sewaktu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menonjolkan diri mereka sebaik mungkin.

Qin Yue dan yang lain-lain semakin berkerut. Perlahan-lahan keadaan menjadi semakin kecoh dan wajah mereka menjadi semakin berkerut.

"Bisingnya! Jangan libatkan saya dalam hal-hal seperti ini lagi. Kalau ada yang menarik perhatian kamu, bawa mereka balik bersama kamu. Suruh yang lain pergi dari gunung ini." Qin Yue tak tahan lagi melihat kelakuan kebudak-budakan dalam kalangan calon ini dan ketiadaan orang yang berbakat di kalangan mereka. Dia terus berlalu pergi dengan marah.

Qin Yue biasanya tidak hadir ke perekrutan bulanan yang dilakukan pada setiap lima belas hari bulan ini, dan sekali-sekala datang untuk sekadar menonton. Setiap kali dia datang, dia pasti akan pergi dengan marah. Sama seperti yang berlaku hari ini.

Mu Chen memandang Qin Yue berlalu pergi, dengan matanya yang dingin. Dia tersenyum sinis.

Seperti biasa, Qin Yue bersikap diplomatik. Pemohon yang bagus sudahpun dikenalpasti oleh Qin Yue sebelum mereka masuk ke kawasan gunung itu sekalipun. Mereka sudahpun dibawa masuk ke Kumpulan Qing Yun secara rahsia. Qin Yue tidak berminat dengan "saki-baki" pemohon yang berada di sini dan mahu bergegas pulang untuk menilai rekrut-rekrut barunya.

Lakonannya hari ini hanyalah untuk para Tuan Tua yang ada di situ.

Mu Chen mengalihkan pandangan ke hadapan dan memandang para pemohon itu tanpa perasaan simpati atau belas kasihan.

Bukan salah para pemohon itu jika mereka dibutakan oleh keterujaan dan semangat mereka. Tetapi menjadi salah mereka jika mereka tidak menggunakan akal mereka dan tidak menunjukkan kepandaian mereka. Para pemuda ini cuma teruja mahu menunjuk-nunjuk, tanpa mengetahui apa yang dicari oleh Kumpulan Qing Yun.

Sebaik Mu Chen mula kehilangan minat, dia ternampak sesuatu yang menarik.

Satu susuk tubuh kecil molek sedang berdiri di tengah-tengah kerumunan itu, memerhatikan orang-orang di sekelilingnya dengan pandangan dingin. Dia seolah-olah tidak mahu menjadi sebahagian daripada kerumunan ini. Kedinginan yang terpancar dari mata itu tidak padan dengan usianya yang masih muda.

Tanpa sebab tertentu, Mu Chen mula jadi berminat. Mungkin disebabkan personalitinya yang dingin, atau mungkin juga kerana matanya, tetapi semuanya membuatkan Mu Chen merasakan pemuda bertubuh kecil ini lain daripada yang lain.

Seolah-olah menyedari pandangan Mu Che, pemuda itu mendongak dan memandang tepat ke mata Mu Chen. Pemuda itu berjalan keluar daripada kerumunan itu dan terus menuju ke arah Mu Chen.

Mu Chen memandang pemuda kecil molek itu menghampirinya, tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan.

Beberapa orang pengikut Qing Yun nampak Jun Wu Xie berjalan keluar dari celah-celah orang ramai itu dan bergerak menghampiri barisan Tuan Tua. Mereka terus ke hadapan dan bertindak menghalang pemuda ini datang lebih dekat lagi.

"Penilaian ini masih belum berakhir dan kamu tak dibenarkan bergerak bebas dalam kalangan Kumpulan Qing Yun." Seorang pemuda berusia awal dua puluhan berkerut dan memandang Jun Wu Xie. 'Berani betul dia ni datang dekat ke barisan Tuan Tua.'

Hal ini sudah banyak berlaku sebelum ini, tapi biasanya selesai apabila pengikut Kumpulan Qing Yun memberikan amaran. Biasanya orang yang melakukan kesilapan itu akan berundur.

Tapi Jun Wu Xie langsung tidak berniat begitu. Sewaktu langkahnya dihentikan, dia tidak berganjak dan mengangkat kepalanya.

"Maaf! Kami akan segera pergi!" Qiao Chu yang mengekori Jun Wu Xie menyedari wajah pengikut Kumpulan Qing Yun itu sudah semakin gelap. Dia cepat-cepat berdiri di sebelah Jun Wu Xie dan cuba menariknya sambil memujuk para pengikut tersebut.