Jun Wu Xie berdiri tidak berganjak. Sebelum Qiao Chu sempat bertindak, Jun Wu Xie menghulurkan tangannya dan mencengkam pergelangan tangan pengikut Kumpulan Qing Yun itu.
Seketika kemudian, pengikut itu tercampak ke tanah!
"Berani betul kau! Dah puas hidup? Kumpulan Qing Yun tidak akan menerima kebiadaban ini!" Biadab sungguh! Menyentuh pengikut Kumpulan Qing Yun sebelum dia sendiri diterima masuk?
Jeritan-jeritan itu mengejutkan pemohon-pemohon lain. Mereka begitu fokus menunjukkan bakat terbaik mereka dan jeritan itu membuatkan mereka terkejut sehingga terdiam. Mereka merenung ke arah datangnya jeritan itu.
Apabila mereka melihat apa yang telah berlaku, mereka semua tergamam.
Budak itu cari nahaskah? Berani dia memukul pengikut Kumpulan Qing Yun? Dia mahu masuk ke Kumpulan Qing Yun atau tidak?
Ada yang terkejut, ada yang tersenyum gembira. Semua orang bersaing untuk mendapatkan tempat di dalam Kumpulan Qing Yun. Setiap pesaing yang tersingkir hanya memberikan peluang yang lebih tinggi pada yang lain.
Mereka semua fikir yang Jun Wu Xie baru sahaja melepaskan peluangnya!
Qiao Chu terpegun dan peluh menitis daripada mukanya. Budak ini biasanya diam sahaja dan tanpa sebarang amaran, dia telah membuatkan mereka berdua berada dalam masalah yang besar!
Lagipun mereka masih lagi dinilai dan Jun Wu Xie tiba-tiba mengambil keputusan untuk memukul seorang pengikut Kumpulan Qing Yun di hadapan para Tuan Tua! Pasti mereka akan dicampak keluar dari gunung ini selepas ini!
"Matilah saya! Abang Hua akan bunuh saya." Qiao Chu merintih sambil berdiri di sebelah Jun Wu Xie. Menyedari yang Jun Xie sudah menjolok sarang tebuan, Qiao Chu bersiap-sedia untuk berhadapan dengan pengikut Kumpulan Qing Yun itu. Kalaupun mereka berdua dihalau keluar, dia tak akan benarkan Kumpulan Qing Yun mengapa-apakan budak genius di sebelahnya ini.
Melihatkan tangan dan kakinya yang kurus, nampaknya Jun Xie tidak akan mampu bertahan jika dipukul. Kalau apa-apa terjadi pada genius ini, bukan Abang Hua sahaja yang akan membelasah Qiao Chu.
Bukan hanya mata kerumunan pemuda itu yang tertarik kepada kejadian ini, para Tuan Tua juga turut berpaling memandang Jun Wu Xie.
Seorang Tuan Tua yang berjanggut putih panjang mengerutkan muka dan berkata dengan jengkel, "Budak-budak zaman sekarang ni memang tak tahu hormat peraturan. Betul kata Pemerintah, ini sudah jadi sarkas!"
Mu Chen merenung Jun Wu Xie tapi tidak berkata apa-apa. Tiada siapa yang perasan, sewaktu Ke Cang Ju berpaling untuk melihat kekecohan itu, matanya bersinar. Namun seketika kemudian, sinaran itu terus hilang.
Sewaktu pengikut itu baru sahaja mahu memulakan langkah, Jun Wu Xie tiba-tiba berkata, "Roh tahap jingga, peringkat ketiga, urat dan arteri badan di bahagian atas tersumbat, bahagian bawah badan lohong, arteri sejuk tersekat…"
Rantaian nama urat dan arteri badan menenggelami pengikut itu dan tangannya terhenti kaku di udara. Mulutnya terlopong kerana kagum sambil dia merenung Jun Wu Xie.
Apa yang Jun Wu Xie sebutkan tadi ialah arteri utama yang penting dalam perkembangan kuasa rohani. Sebagai pengikut Kumpulan Qing Yun, pastilah dia sedar tentang keadaan urat dan arteri di dalam badannya sendiri. Berada di tahap roh jingga pada usia lebih dua puluhan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan di dalam Kumpulan Qing Yun. Dia sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mahir dalam bidang perubatan atau mencapai kuasa rohani yang lebih tinggi. Namun diagnosis terperinci yang diberikan oleh Gurunya tentang urat dan arteri dalam badannya, sama seperti apa yang Jun Wu Xie katakan!
"Bagaimana….. Bagaimana kamu tahu?" tanya pengikut itu dengan wajah yang pucat.
Jun Wu Xie menarik kembali tangannya dari pergelangan tangan lelaki itu dan membersihkan hujung jarinya dengan sapu tangan sebelum berkata perlahan-lahan, "Kamu boleh merawat bahagian tengah badan menggunakan Bunga Ekor Berapi. Buat rendaman mandian menggunakan tumbuhan Tuah Lembap untuk membersihakn bahagian bawah badan dan…"
Jun Wu Xie meneruskan tanpa berhenti, memberikan penyelesaian dan rawatan bagi setiap masalah yang ada pada urat dan arteri lelaki itu. Sebaik selesai, dia mengambil satu langkah ke belakang dan memandang pengikut yang tergamam itu.
Kalau ucapannya yang panjang itu didengari oleh kerumunan pemuda di belakangnya, mungkin semuanya tidak bermakna pada mereka. Tetapi Tuan Tua Kumpulan Qing Yun sangat arif dalam bidang perubatan. Mereka hanya perlu mendengar kata-kata itu untuk memahami kepentingan setiap patah kata!