Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 260 - Dua Belas Puncak (2)

Chapter 260 - Dua Belas Puncak (2)

Kemunculan Pemerintah dan barisan Tuan Tua itu membuatkan para pemohon di situ menjadi begitu teruja. Mereka berdiri tegak dan cuba seboleh mungkin untuk meregangkan badan mereka yang kecil dan masih membesar itu dengan tujuan mahu mengagumkan Pemerintah dan Tuan Tua dengan menunjukkan "keberanian" dan "kemegahan" mereka.

Tanpa pengetahuan beratus-ratus pemohon yang telah melepasi ketiga-tiga ujian itu, ujian sebenar baru saja mahu bermula. Tidak diketahui berapa ramai di antara mereka yang akan kekal di dalam Kumpulan Qing Yun.

Qin Yue berdiri di hadapan kerumunan pemohon yang penuh semangat itu, dagunya diangkat sambil dia memandang mereka semua seperti memandang satu timbunan barang. Dia mengangguk kepada seorang pengikut yang berdiri di sisinya. Pengikut itu melangkah ke hadapan dan mengumumkan kriteria penilaian terakhir kepada kerumunan itu.

"Untuk layak menyertai Kumpulan Qing Yun, kamu mesti memiliki kebolehan luar biasa. Kumpulan Qing Yun tidak akan menerima sesiapa begitu sahaja. Kamu mungkin dapat melepasi tiga ujian awal, tetapi itu tidak bermakna kamu sudah menjadi sebahagian daripada kami. Pencapaian kamu dalam ujian yang akan datang, akan menjadi faktor penentu sama ada kamu layak untuk menyertai Kumpulan Qing Yun…"

Lebih spesifik lagi, ujian terakhir ini tidak mempunyai sebarang kriteria. Kumpulan Qing Yun hanya memerlukan ratusan pemohon ini untuk menunjukkan kemahiran perubatan mereka yang terbaik, di hadapan Pemerintah dan barisan Tuan Tua.

Kemahiran yang ditunjukkan mungkin berkaitan rawatan atau kebolehan menghasilkan eliksir dan ubat-ubatan. Selagi kemahiran itu luar biasa, mereka akan diterima masuk ke dalam Kumpulan Qing Yun.

Jun Wu Xie menundukkan pandangannya. Ujian yang kelihatan mudah ini sebenarnya bertujuan untuk memudahkan barisan Tuan Tua itu untuk memilih calon yang sesuai.

Tuan Tua dari sebelas puncak itu mempunyai kepakaran tertentu dalam bidang perubatan. Pemilihan mereka biasanya ditentukan oleh calon mana yang mempunyai kekuatan yang selaras dengan kekuatan mereka.

Mu Chen memiliki kepakaran dalam memupuk dan memperkembangkan urat darah dan arteri, manakala Ke Cang Ju pula menampilkan kemahiran dalam penanaman herba berubat.

Jun Wu Xie membuat keputusan untuk menyertai Puncak Menjejak Awan milik Mu Chen, jadi sudah tentulah dia akan menunjukkan kemahirannya berkaitan urat darah dan arteri.

"Hei, kamu dah buat keputusan puncak mana yang kamu mahu sertai?" Qiao Chu menyedari yang Jun Wu Xie senyap sahaja, lalu menyikunya.

Jun Wu Xie menjeling Qiao Chu sambil mengerutkan wajahnya.

Para pemohon di sekeliling mereka terdengar kata-kata Qiao Chu dan menjadi terkejut. Mereka terus merenung Jun Wu Xie dan Qiao Chu dari kepala hingga ke kaki dan mendapati Jun Wu Xie berpakaian biasa sahaja. Tetapi Qiao Chu yang berdiri di sebelahnya hanya boleh dianggap sebagai malang. Qiao Chu itu boleh dianggap tampan juga, tetapi pakaiannya yang lusuh dan compang-camping serta kelihatan nipis itu membuatkan dia nampak seperti pengemis di jalanan.

Semua pemohon itu berfikir yang dua orang ini begitu tidak tahu malu kerana menyangka mereka boleh memilih puncak mana yang mereka suka, sedangkan mereka berpakaian buruk sahaja!

Qiao Chu akhirnya menyedari renungan yang merendah-rendahkan mereka berdua. Dia mengecilkan matanya dan menggoyang-goyangkan penumbuknya ke arah beberapa pemuda bertubuh kurus yang berdiri di sekeliling mereka. Namun begitu, perbuatannya itu hanya membuatkan mereka mencacinya.

"Biadab!"

Qiao Chu tidak mempedulikan mereka dan terus menyoal Jun Wu Xie bertubi-tubi mengenai pilihannya. Jun Wu Xie sedikit jengkel dengan kesungguhannya dan akhirnya menggumam, hampir berbisik, "Puncak Menjejak Awan."

"Puncak Menjejak Awan? Kenapa kamu mahu sertainya?" Qiao Chu terkejut. Puncak Menjejak Awan ialah yang paling kecil di antara dua belas puncak itu dan mempunyai reputasi paling lemah. Tuan Tuanya juga baru berusia dua puluhan, apa saja kebolehan yang dia ada?

"Hei, janganlah pergi ke Puncak Menjejak Awan. Apa kata kita pergi ke Puncak Awan Tersembunyi. Di Puncak Awan Tersembunyi, kita cuma perlu menanam bunga dan tumbuh-tumbuhan serta menjadi tukang kebun. Bukankah keadaan itu kedengaran santai? Sebagai pengikut baru sekalipun, tak banyak yang kita perlu lakukan."

Kriteria pemilihannya juga terlalu rendah! Qiao Chu memilih untuk tidak menyuarakan kenyataan terakhir ini.

"Tidak bagi saya." kata Jun Wu Xie dengan dingin.

Keadaan di Puncak Awan Tersembunyi itu santai? Hanya orang yang telah mati dalam keadaan misteri dan tidak boleh dijelaskan sahaja yang akan menganggap tempat itu santai.