Kumpulan Qing Yun menjalankan tiga ujian awal untuk proses perekrutan mereka. Selain ujian pertama di mana Jun Wu Xie bertemu dua orang pembuli itu, dia melepasi dua ujian seterusnya dengan mudah.
Ketiga-tiga ujian ini sahaja telah mengecilkan jumlah pemohon yang datang ke gunung itu, daripada beratus ribu menjadi beberapa ratus orang sahaja.
Keadaan kawasan itu yang tadinya sesak, kini menjadi lebih lapang.
Apa yang mengejutkan ialah Qiao Chu yang kelihatan cuai itu juga berjaya melepasi semua ujian. Sekarang ini dia sedang tersengih sambil mengekori Jun Wu Xie, sambil terus berceloteh sepanjang jalan.
Mereka yang melepasi ujian ini berpeluang untuk belajar di bawah naungan Kumpulan Qing Yun. Beratus-ratus pemohon sampai di puncak gunung dan mereka dapat melihat tokong utama Kumpulan Qing Yun yang kelihatan gemilang itu di hadapan mereka. Para pemohon ini berasa kagum, tetapi turut mendapat inspirasi daripada apa yang mereka lihat.
Kalau mereka diterima masuk ke Kumpulan Qing Yun, hidup mereka akan berubah secara drastik!
Pengikut Kumpulan Qing Yun Clan yang mengetuai barisan pemohon itu ke puncak gunung, mengangkat tangannya untuk memberi isyarat supaya kerumunan yang bising dan teruja itu menjadi senyap.
Satu susuk tubuh yang tinggi diiringi ramai sewaktu dia melangkah keluar perlahan-lahan daripada tokong utama Kumpulan Qing Yun. Lelaki pertengahan usia itu kelihatan segak, seolah-olah berusia awal tiga puluhan. Tetapi sesiapa yang mengenalinya, tahu lelaki ini sudahpun berusia empat puluhan dan dialah orang yang berada di kedudukan teratas Kumpulan Qing Yun, Qing Yue.
Sepuluh orang lelaki berlainan usia mengekori Qin Yue dari belakang. Ada yang sudah beruban penuh, ada yang masih muda. Namun begitu, setiap seorang daripada mereka yang berada di belakang Qin Yue ini, mempunyai aura luar biasa dan berpakaian mewah.
Qiao Chu berdiri di sebelah Jun Wu Xie, sambil dia merenung kemasukan pelbagai pemegang kuasa di dalam Kumpulan Qing Yun. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada berbisik ke telinga Jun Wu Xie, "Lelaki di depan sekali tu ialah Pemerintah Kumpulan Qing Yun, Qin Yue. Lelaki-lelaki di belakangnya ialah Tuan Tua dari sebelas puncak… Hmmm… peliknya. Sebelas Tuan Tua tapi cuma sepuluh orang yang ada di sini? Mana Jiang Cheng Qing dari Puncak Awan Abu?"
Di mana Jiang Chen Qing?
Sudah lumat ditumbuk roh berkontrak milik pemuda yang berdiri di sebelah kamu ni.
Jun Wu Xie memandang Qin Yue dan lelaki-lelaki yang berdiri di belakangnya. Bai Yun Xian sudah menggambarkan penampilan Pemerintah Kumpulan Qing Yun dan semua Tuan Tua itu kepada Jun Wu Xie. Dia memberikan perhatian istimewa terhadap Mu Chen dari Puncak Menjejak Awan dan Ke Cang Ju dari Puncak Awan Tersembunyi.
Mu Chen ialah yang paling muda dalam kalangan Tuan Tua sebelas puncak itu dan mudah untuk dikenali. Jun Wu Xie dapat mengesannya dengan cepat memandangkan dia berdiri di bahagian paling luar di dalam barisan Tuan Tua berkenaan. Penampilan Mu Chen kelihatan agak baik. Dia seorang yang tampan dan tidak menunjukkan walau sedikitpun sikap tidak serius. Mu Chen memakai jubah broked berwarna biru lembut dan berdiri dengan diam di hujung barisan. Tidak ada perbualan di antara para Tuan Tua di situ tetapi Jun Wu Xie dapat merasakan yang Mu Chen tidak ada hubungan yang baik dengan Tuan Tua lain.
Sama seperti Mu Chen, Ke Cang Ju mengasingkan diri daripada Tuan Tua lain. Apa yang berbeza ialah, Ke Cang Ju kelihatan hodoh. Dia tidak tinggi dan bahagian belakang badannya sudah bongkok. Ke Cang Ju memakai jubah panjang berwarna ungu gelap dan kelihatan amat menggerunkan, seolah-olah dia baru merangkak keluar daripada sebuah kubur lama. Menurut Bai Yun Xian, Ke Cang Ju tidak ada hubungan yang baik dengan orang-orang di dalam Kumpulan Qing Yun. Selain urusannya dengan Pemerintah mereka, Qin Yue, dia tidak mempedulikan Tuan Tua yang lain.
Personalitinya muram dan dia mengelak untuk berhubungan dengan Tuan Tua lain. Penampilannya juga tidaklah begitu mesra.
Tetapi sebenarnya, Ke Cang Ju ialah Tuan Tua yang paling dihargai oleh Qin Yue dalam kalangan sebelas orang Tuan Tua Kumpulan Qing Yun. Malah Jiang Chen Qing yang selalu bersama-sama dengan Qin Yue juga tidak menikmati kelebihan yang diberikan kepada Ke Cang Ju.
Qin Yue memperuntukkan sumber terbaik Kumpulan Qing Yun untuk Ke Cang Ju. Dia juga mengeluarkan arahan yang tidak ada sesiapa yang dibenarkan untuk menceroboh masuk ke Puncak Awan Tersembunyi, walau Tuan Tua yang lain sekalipun.