Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 256 - Puncak Berawan (3)

Chapter 256 - Puncak Berawan (3)

Benarkah dia begitu bertuah? Atau memang berbakat?

Kumpulan Qing Yun memberikan mereka masa yang sangat terhad, dan mereka tidak fikir boleh mencari herba yang diperlukan dalam masa yang diberikan. Apabila mereka melihat Jun Wu Xie berjaya melakukannya, mereka mula membuat rancangan lain.

Budak di depan mereka ini, pakaiannya biasa sahaja dan tidak nampak seperti berasal daripada keluarga yang kaya. Latar belakang keluarga budak ini mesti daripada golongan kelas bawahan.

Di mata pemuda lain yang ingin menyertai Kumpulan Qing Yun, Jun Wu Xie nampak lemah dan kelihatan seperti sasaran yang mudah.

Kumpulan Qing Yun hanya menyuruh mereka mencari herba, tetapi tidak menyatakan apa-apa mengenai merampas atau mencuri.

"Budak, beri herba yang kau ada tu pada kami. Memandangkan mudah saja untuk kau mencarinya, kau boleh ambil yang lain." Salah seorang pemuda itu memandang Jun Wu Xie sambil tersenyum licik, merancang untuk merampas herba itu jika Jun Wu Xie enggan menyerahkannya.

Sebenarnya, hal seperti ini berlaku pada setiap proses perekrutan bulanan di gunung itu. Jika pemohon paling muda yang menemui herba itu dulu, herba tersebut biasanya dirampas oleh pemohon yang lebih tua. Pengikut Kumpulan Qing Yun membutakan mata mereka terhadap kekejaman ini dan tidak masuk campur. Sebelum Jun Wu Xie, ramai lagi pemohon berusia empat belas dan lima belas tahun yang telah menjadi mangsa. Malah pemohon-pemohon yang lebih tua dan bertubuh besar juga berpakat membuli mereka yang lebih muda dan kecil supaya menyerahkan herba mereka. Semua ini dilakukan supaya pemohon-pemohon yang dibuli ini berputus asa dan melepaskan peluang untuk menyertai Kumpulan Qing Yun, dipaksa untuk pergi dengan hati yang kecewa akibat gagal dalam ujian pertama.

Mereka tidak berdaya. Mereka masih muda dan tidak berkuasa dan hanya mampu menderita dalam diam apabila diugut sebegitu.

Dua orang pemuda yang berdiri di hadapan Jun Wu Xie saling sepakat mahu membulinya.

Tidak hairanlah mereka menjadikan Jun Wu Xie sebagai sasaran. Dia hanya berusia empat belas tahun dan bertubuh kecil molek. Dia mungkin telah menukar penampilannya untuk menyerupai lelaki, tetapi struktur tulangnya masih jelas kelihatan. Dalam kalangan pemohon yang datang untuk perekrutan itu, tak ada yang bertubuh sekecil dia. Jun Wu Xie juga berpakaian biasa, membuatkan dia kelihatan seperti datang daripada keluarga kelas bawahan. Ini menjadikan dia sasaran yang tepat di mata pembuli-pembuli itu.

Jun Wu Xie mengerutkan muka dan merenung dua orang pemuda itu. Sebelah keningnya terangkat.

Berani mereka merampas barang miliknya?

Jun Wu Xie baru saja mahu membuka mulut, tiba-tiba satu susuk tubuh meluru untuk berdiri di depannya. Sebelum Jun Xie sempat bertindak, satu tangan yang kurus tiba-tiba dihulur keluar ke arah salah seorang pemuda tersebut. Sepantas kilat, pemuda itu tercampak jauh dari tempat mereka berdiri!

"Cacing tak guna! Dah puas hidup? Ini namanya rompakan! Jangan sampai aku bunuh kau!" Seorang pemuda yang berpakaian compang-camping mencabar dengan berani sambil berdiri di hadapan Jun Wu Xie. Jarinya menuding ke arah pemuda yang dicampaknya tadi. Seorang lagi pemuda pembuli itu tercengang melihatkan serangan tiba-tiba ke atas rakannya itu.

"....." Wajah Jun Wu Xie menjadi kaku.

Selepas dia memarahi mereka, pemuda itu berpusing dan satu wajah yang kelihatan agak bijak muncul di hadapan Jun Wu Xie.

"Hehe, kebetulan betul! Tak sangka dapat bertemu kamu di sini! Jangan risau, mulai hari ini, saya akan jadi pelindung kamu! Kalau ada yang mahu membuli kamu, saya akan belasah mereka!" Pemuda yang penuh bersemangat itu tersengih memandang Jun Wu Xie, Hmmm….Jun Wu Xie merasakan seolah-olah dia mengenali pemuda itu.

Kening Jun Wu Xie berkerut sewaktu meneliti pemuda di hadapannya ini. Dia cuba memikir-mikirkan, tetapi tak dapat mengingati siapa pemuda ini sebenarnya.

"Kamu salah orang," kata Jun Wu Xie akhirnya.

Pemuda itu berhenti dan berfikir sejenak. Dia menggaru-garu kepalanya dengan kecewa dan memandang Jun Wu Xie penuh duka. Kemudian wajahnya berseri-seri seolah-olah memahami sesuatu. Dia mencangkung dan mula menyapu-nyapu tangannya ke atas tanah yang berdebu. Tangannya kemudian menyapu debu tanah tersebut ke seluruh mukanya. Dia mengambil sebilah rumput dan meletakkannya di hujung mulutnya. Selepas itu, dia berdiri semula di hadapan Jun Wu Xie lalu bertanya, "Fikirlah semula."

Related Books

Popular novel hashtag