"Sewaktu saya masih kecil, saya selalu menyangkakan yang Ayahanda dan Bonda ada ikatan perkahwinan yang bahagia. Walaupun lelaki itu dikelilingi perempuan-perempuan cantik sepanjang masa, dia tetap melayan bonda dengan baik dan menghormatinya. Ini sebelum saya mengetahui dia sebenarnya penipu. Selepas bonda mangkat, keadaan semakin jelas. Keluarga bonda dibunuh dan beberapa orang yang terselamat dari kalangan keluarga yang dahulunya megah itu, dihalau ke sempadan. Ironiknya, sewaktu keadaan sudah jadi begitu, sewaktu saya dipenjarakan di dalam kurungan istana mewah dan perlahan-lahan diberi racun yang kronik, barulah saya sedar saya sudah percayakan orang yang salah. Saya bencikan dia sejak itu dan saya ingatkan kebaikan hati saya sudahpun lenyap."
"Tapi terbukti sekarang yang saya masih lagi bodoh. Jun Wu Xie, saya banyak terhutang budi dengan awak...banyak sangat. Terlalu banyak sehingga seluruh kehidupan saya sekalipun tidak cukup untuk membayarnya. Mulai sekarang, nyawa saya milik kamu. Apa yang awak katakan, apa yang awak mahukan, saya tak akan membantah lagi." Mo Qian Yuan kini sedar, berbelas kasihan kepada musuh ibarat berlaku kejam kepada diri sendiri.
Cukuplah kekejaman yang dia lakukan ke atas dirinya. Dia tak akan lagi menjadi sasaran mudah seperti selalu dan dia enggan menunggu orang lain menyelamatkan dia daripada masalah yang terjadi disebabkan oleh dirinya sendiri.
Hanya setelah suara Mo Qian Yuan bertukar menjadi serak, barulah Jun Wu Xie memberikan jawapan.
"Saya tak mahu nyawa kamu. Maharaja Kerajaan Qi juga tak perlu dengar cakap saya."
Mo Qian Yuan mahu membantah, tetapi tekaknya yang sudah kering itu tidak membenarkan dia berkata apa-apa.
"Seluruh Kerajaan Qi ini ada dalam tangan kamu. Apa yang kamu mahu lakukan dengannya, tak perlu mengikut arahan orang lain tetapi kamu perlu belajar cara untuk menjadi seorang Maharaja. Saya percaya, pertembungan dengan Kumpulan Qing Yun ini sudah mengajar kamu apa yang perlu dibuat dan apa yang tidak. Saya akan pergi dari sini bulan depan. Mungkin akan mengambil masa tiga hingga enam bulan sebelum saya kembali. Saya akan tinggalkan Bai Yun Xian di sini. Dia tak boleh dipercayai, tetapi kemahirannya dalam bidang perubatan berkali ganda lebih bagus berbanding semua Tabib Diraja. Saya akan tinggalkan penawar racunnya dengan Pak Cik Jun Qing dan resipi penawar itu dengan kamu. Mengubah Bai Yun Xian untuk menjadi seseorang yang berguna untuk kamu, itulah tugasan yang saya berikan." Jun Wu Xie berkata tanpa menunjukkan sebarang perasaan.
Dia tidak lagi berniat mahu membunuh Bai Yun Xian. Jun Wu Xie sudah tidak mahu mempedulikan hal itu dan dia perlu membuat persiapan untuk meninggalkan Kerajaan Qi. Kemahiran tabib-tabib di Kerajaan Qi sangat rendah. Walaupun kemahiran Bai Yun Xian tidak begitu bagus jika dibandingkan dengan Jun Wu Xie, tetapi berbanding dengan semua tabib di Kerajaan Qi, kemahirannya itu berlipat kali ganda lebih baik.
Boleh dikatakan membiarkan Bai Yun Xian hidup itu ibarat serampang dua mata. Sama ada Mo Qian Yuan boleh membentuk serampang itu untuk disesuaikan dengan kehendaknya atau tidak, akan membuktikan kebolehan Maharaja ini.
Maharaja Kerajaan Qi ini namanya Mo, bukan Jun!
Dia sudah selesai mengatakan apa yang dia mahu. Jun Wu Xie terus memeriksa kecederaan Mo QIan Yuan. Banyak yang Mo Qian Yuan mahu katakan kepada Jun Wu Xie. Dia juga mahu bertanyakan ke mana Jun Wu Xie mahu pergi. Tetapi setelah melihat ekspresi dingin Jun Wu Xie, dia menelan saja kata-katanya dan menutup mulutnya.
Jun Wu Xie mahu Mo Qian Yuan belajar berdikari dan lelaki itu tidak mahu mengkhianati kepercayaan ini.
Mo Qian Yuan cedera parah kali ini. Nasib baiklah dia telah makan biji benih Teratai Salji sebelum ini, dan itu telah melindungi badannya sedikit. Ditambah pula dengan eliksir berharga daripada Jun Wu Xie, nyawaya kini dapat diselamatkan.
Di bawah kebolehan perubatan Jun Wu Xie, Mo Qian Yuan dijangka tidak akan mengalami sebarang kesan sampingan apabila dia sembuh nanti. Namun begitu, kesakitan dan kesengsaraan yang bakal dialaminya dalam proses penyembuhan tidak dapat dielakkan.
Sepanjang tempoh Mo Qian Yuan terlantar, para pegawai istana dikecualikan daripada menghadiri sesi perbincangan di istana. Memandangkan mereka tidak perlu ke istana, pegawai-pegawai itu menemui tempat baru untuk dikunjungi…
**********
Istana Lin.
Sejak Jun Wu Xie mengetuai angkatan menyerbu Istana Diraja untuk menyelamatkan Mo Qian Yuan, sekumpulan pegawai istana tua yang degil tiba-tiba mempunyai pandangan yang baik terhadap Jun Wu Xie. Istana Lin yang sering dijauhi untuk mengelak daripada dituduh melakukan konspirasi, tiba-tiba menjadi tempat kunjungan yang hangat sewaktu pegawai-pegawai ini melakukan urusan harian mereka!