Beberapa hari kebelakangan ini, Jun Xian seing pening kepala atas beberapa sebab. Istana Lin tidak biasa bergaul dengan pegawai-pegawai istana. Jeneral tentera dahulunya menjauhkan diri daripada Istana Lin untuk mengelak tersebarnya khabar angin dan Jun Xian pula tidak tahan mendengar bebelan pegawai istana golongan sasterawan yang tidak berkesudahan.
Tetapi sepanjang tempoh beberapa hari ini, para pegawai istana, sama ada dari kalangan jeneral atau sasterawan, semuanya bersetuju untuk datang melawat Istana Lin setiap hari. Sewaktu melangkah masuk dengan senyuman lebar, semua perbualan mereka menjurus ke arah persoalan mengenai Jun Wu Xie.
Jun Xian pada mulanya bingung dengan segala kunjungan yang tidak diundang ini. Tetapi memandangkan semua perbualan itu berkisar tentang cucunya, Jun Xian akhirnya faham.
Semua pegawai istana ini sudah tertarik dengan cucunya dan datang untuk meminangnya!
Reputasi Jun Wu Xie di dalam Kerajaan Qi sebelum ini begitu teruk. Dia degil dan sukar dikawal. Tambahan pula permainan asmaranya dengan Putera Kedua, Mo Xuan Fei, telah membuatkan ramai pegawai istana menganggap hal itu sebagai memalukan. Walaupun ketika Maharaja yang baru ditabalkan itu telah memuji-muji Jun Wu Xie, tetap tidak cukup untuk mengubah persepsi mereka terhadapnya.
Tapi! Nampaknya keadaan sudah berubah!
Kisah keberanian dan kemegahan Jun Wu Xie sewaktu merempuh masuk ke Istana Diraja untuk menyelamatkan Maharaja Kerajaan Qi telah tersebar luas ke seluruh Bandar Diraja. Pendapat semua pegawai istana terhadap Jun Wu Xie sebelum ini telah berubah secara drastik!
Gadis muda ini sangat cantik dan mempunyai kekuatan dan kepandaian. Dia akan menjadi menantu yang sempurna!
Jadi, para pegawai yang mempunyai anak atau cucu lelaki, mula menumpukan perhatian terhadap Jun Wu Xie yang dianggap seperti bunga yang sudah mekar dan jed berkualiti tinggi. Kalau tak kerana reputasi dan kehormatan Istana Lin, para pegawai ini mungkin mahu melakukan penculikan demi perkahwinan yang mereka mahukan.
Tetapi Istana Lin dikawal oleh Tentera Rui Lin, dan ini membantutkan niat mereka. Oleh itu, mereka hanya ada satu pilihan iaitu menggunakan emosi dan membuatkan keluarga Jun Wu Xie mendengar pendapat mereka. Pujian terhadap anak dan cucu mereka tinggi melangit. Mereka menghuraikan keberanian Jun Wu Xie dan mengutuk calon-calon lain.
Meriah sungguh keadaan di Istana Lin!
Jun Xian tidak berdaya untuk menghadapi mereka kerana dia tak pernah biadab dengan orang yang tersenyum kepadanya. Apabila para pegawai istana ini muncul penuh mesra, dia tidak mampu menghalau mereka. Dia hanya duduk melayan mereka dengan sabar sambil mereka membentangkan rancangan untuk "mencuri" cucu kesayangannya ini.
Jun Wu Xie langsung tidak sedar akan perkara ini kerana Jun Xian menahan mereka di halaman hadapan. Sesiapa yang cuba masuk dihalang dengan tegas oleh Long Qi yang mengawal pintu.
Ada dua puluh tiga hari lagi sebelum Kumpulan Qing Yun membuka pintu untuk menerima kumpulan pemohon baru yang mahu berguru dengan mereka. Dalam tempoh waktu ini. Tak banyak yang Jun Wu Xie mahu lakukan selain bersedia untuk perjalanannya yang panjang.
Sebelum meninggalkan Kerajaan Qi, dia mahu memastikan ada eliksir dan ubat-ubatan yang cukup untuk Istana Lin. Satu lagi kekecewaan yang mengganggunya ialah perkembangan kuasa rohaninya.
Perkembangan kuasa rohaninya semuanya berasaskan kaedah yang ditunjukkan di dalam buku lama, tentang cara menanam Teratai Salji. Cara ini pula memerlukan Nektar Jed. Tapi mustahil untuk Jun Wu Xie mengangkut berbalang-balang Nektar Jed ke kawasan Kumpulan Qing Yun.
Tanpa Nektar Jed, dia tidak akan mampu memupuk Teratai Salji. Ini bermakna, Jun Wu Xie tidak akan dapat meningkatkan kuasa rohaninya selama mana dia berada bersama-sama Kumpulan Qing Yun.
Bukan ini yang dia mahukan. Keadaan ini tidak menguntungkan dia!
Tanpa ada pilihan lain, Jun Wu Xie hanya mampu terus membelek-belek buku lamanya itu untuk mencari tumbuhan lain yang boleh membantunya meningkatkan kuasa rohaninya.
Tapi apa yang dia jumpa hanyalah nama-nama tumbuhan yang tidak pernah didengarnya sebelum ini. Nampaknya pencarian alternatif untuk meningkatkan kuasa rohaninya, tidak begitu mudah.
Pada hari ketujuh selepas Qin Yu Yan dipenjarakan di dalam Penjara Bawah Tanah, Mo Qian Yuan menghantar berita mengenai kematian Qin Yu Yan.
Sehingga ke akhir hayatnya, Qin Yu Yan tidak menyangka dirinya, Cik Sulung Kumpulan Qing Yun yang hebat itu, akan mati dalam keadaan menyedihkan di dalam penjara bawah tanah sebuah kerajaan yang kecil dan tidak penting.