"Kalau Cik mahu ke Kumpulan Qing Yun, pastikan Cik tak pergi ke Puncak Awan Tersembunyi." Bai Yun Xian memberi amaran. Pengikut Puncak Awan Tersembunyi selalunya hilang secara misteri atau ditemui mati tanpa sebab. Fakta ini tidak diketahui oleh orang lain di luar Kumpulan Qing Yun. Ramai yang tidak mempunyai kebolehan untuk diterima sebagai pengikut, telah diterima secara curi-curi oleh Ke Cang Ju dan dibawa masuk ke Puncak Awan Tersembunyi. Mereka ini menganggap telah mendapat tuah, tetapi mereka tidak tahu yang sebenarnya mereka baru saja masuk ke pintu Maut.
"Beritahu saya lebih lanjut tentang Ke Cang Ju." Jun Wu Xie memutuskan yang Kumpulan Qing Yun itu ialah tempat yang tidak jujur dan telus. Orang yang boleh menghasilkan seorang pengikut seperti Bai Yun Xian dan mempunyai anak seperti Qin Yu Yan, tak mungkin adalah orang lain selain Pemerintah Kumpulan Qing Yun yang keji itu.
"Ke Cang Ju asalnya bukanlah pengikut Kumpulan Qing Yun. Dia dibawa masuk ke dalam Kumpulan Qing Yun selepas Qin Yue dinamakan sebagai Pemerintah. Kemudiannya, dalam masa beberapa tahun, Ke Cang Ju dinaikkan pangkat menjadi Tuan Tua," jawab Bai Yun Xian dengan jujur. "Disebabkan dia tidak selalu kelihatan di dalam kawasan Kumpulan Qing Yun, saya tak tahu tentang identiti sebenar Ke Cang Jun. Tetapi saya selalu mendengar tentang perwatakannya yang sentiasa suram. Puncak Awan tersembunyi tidak dibuka kepada pengikut lain. Kalau Qing Yue sekalipun mahu ke situ, dia perlu memberitahu Qing Yue terlebih dahulu."
Jun Wu Xie memberi perhatian terhadap keadaan misteri yang menyelubungi lelaki ini sambil terus mendengar Bai Yun Xian menceritakan pengetahuannya mengenai Kumpulan Qing Yun beberapa ketika lagi, sebelum menyuruhnya pergi. Jun Wu Xie kemudiannya bergerak menuju bilik Mo Qian Yuan.
Setelah tidak sedarkan diri sepanjang malam, Mo Qian Yuan akhirnya mula sedar. Tetapi kesakitan yang dirasai di seluruh badannya terus menyeksanya. Dia dibalut dengan pembalut luka, daripada kepala sehingga ke kaki. Hendak duduk sekalipun amat sukar baginya.
Sewaktu Jun Wu Xie melangkah masuk ke dalam bilik itu, dia terlihat dua orang pengawal istana yang telah dipanggilnya semalam berdiri di kedua-dua belah katil. Seorang daripada mereka memegang teko manakala seorang lagi memegang dulang berisi botol-botol ubat. Muka mereka cengkung, jelas sekali mereka kurang tidur.
"Cik Jun." Dua orang pengawal itu cepat-cepat melutut apabila melihat Jun Wu Xie menghampiri mereka.
"Keluar," kata Jun Wu Xie secara bersahaja.
Dua orang pengawal itu terus keluar tanpa teragak-agak. Mereka tidak lupa untuk meninggalkan barang-barang yang mereka pegang tadi.
"Kamu di sini….." Mo Qian Yuan tidak boleh bergerak dan hanya mampu menggerakkan matanya untuk memandang Jun Wu Xie.
"Kamu dah betul-betul sedar?" Jun Wu Xie tidak memeriksa kecederaan Mo Qian Yuan, tetapi hanya duduk di kerusi di sebelah katil itu.
Mo Qian Yuan tertawa pahit tetapi pergerakan ini membuatkan luka di mukanya terbuka dan wajahnya menunjukkan keadaan terseksa.
"Memang saya sudah sedar sekarang. Kamu tak fikir yang saya sudah bertanya pada diri saya?" Kalaulah dia tidak cuba menghalang Jun Wu Xie, dia tidak akan terseksa begini. Kalau dia tidak buta terhadap sikap sebenar puak paling kuat di seluruh dunia itu, memikirkan mereka bersikap munasabah dan memahami, dia tidak akan menyedari yang mereka semua hanyalah sekumpulan binatang yang tidak berperasaan dan kejam.
Tanpa ada tanda-tanda Jun Wu Xie akan membalas, Mo Qian Yuan terus bermonolog.
"Saya memang dungu, kalau tidak keadaan saya tak akan jadi macam ni dan memerlukan kamu untuk datang menyelamatkan saya berkali-kali. Sewaktu saya masih kecil, bonda saya iaitu Maharani sering memberitahu saya yang sikap semulajadi seorang manusia itu perlu ialah baik hati. Walau sekejam mana sekalipun seseorang itu, ada sisi yang baik juga. Melayan orang dengan hati yang ikhlas akan membuatkan kamu mendapat balasan yang sama. Selama ini saya percaya cakap bonda, tetapi kejadian-kejadian yang baru berlaku menunjukkan yang bonda saya mungkin sudah salah sejak dari mula lagi. Bonda melayan lelaki itu dengan baik dan menyembunyikan perasaan cemburu di dalam hatinya. Bonda juga menguruskan enam buah istana gundik, dan hanya mahukan keamanan dan kestabilan sesama mereka. Tidak kira gundik yang mana menjadi pilihan lelaki itu, bonda tetap tersenyum pada mereka dan tidak mengapa-apakan mereka. Bonda juga membantu dan menyokong lelaki itu menjadi pemerintah yang bijak dalam generasinya dan menelan saja kata-kata manis dan janji-janji kosong lelaki itu. Bonda tidak pernah terfikir sehingga ke saat bonda dibunuh yang usaha seumur hidupnya untuk lelaki itu dan keluarga bonda sendiri, akan dimusnahkan oleh tangan lelaki itu." Suara Mo Qian Yuan menjadi hiba, menyembunyikan kekecewaan yang muncul di dalam hatinya.