Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 244 - Pemulihan (3)

Chapter 244 - Pemulihan (3)

Teratai Mabuk terus memanggil dua orang pengawal istana yang berdiri di luar pintu, masuk ke dalam bilik. Sebaik mereka melangkah masuk, mereka terkejut dengan bau darah yang kuat. Sebelum ini mereka telah terlihat binatang hitam itu membawa Maharaja yang cedera parah, masuk ke dalam bilik itu. Jadi apabila mereka terhidu bau darah, fikiran mereka menjadi kosong, tidak berani memikirkan perkara yang bukan-bukan.

"Dalam masa dua hari ini, jaga Maharaja baik-baik. Beri minum air suam setiap sejam…." Jun Wu Xie meletakkan beberapa botol eliksir di atas meja dan memberikan arahan khusus tentang cara pengambilan setiap satu. Keadaan Mo Qian Yuan sudah stabil tetapi dia masih belum sedar. Oleh itu, dia memerlukan orang untuk menjaganya.

Jun Wu Xie pula sudah membuat keputusan yang dia tak akan melakukannya.

Kedua-dua orang pengawal istana itu teragak-agak untuk bertanya terlalu banyak soalan. Mereka mendengar kata-kata Jun Wu Xie dengan teliti dan memastikan semuanya terpahat dalam minda mereka. Mereka berhati-hati agar tidak terlupa walau satu perkara sekalipun.

Selepas memberikan arahannya, Jun Wu Xie terus meninggalkan bilik Mo Qian Yuan. Dia tak tahan dengan bau darah yang kuat itu.

Hanya selepas Jun Wu Xie dan yang lain-lain meninggalkan bilik Maharaja, barulah dua orang pengawal itu merapati katil Mo Qian Yuan. Apa yang mereka lihat sangat mengejutkan, sehingga mereka hampir jatuh terduduk.

Maharaja mereka itu dibalut sepenuhnya dengan kain pembalut luka dan terbaring di atas kain alas katil yang dibasahi darah. Kalau tak kerana dada Mo Qian Yuan turun naik sewaktu dia bernafas, dua orang pengawal itu pasti menganggap dia sudah mati.

Sebenarnya, sewaktu mereka mula-mula terlihat Mo Qian Yuan di atas belakang binatang hitam itu, mereka sudahpun membuat kesimpulan sendiri. Mereka sangkakan yang Maharaja…. Maharaja akan mangkat!

Jadi mereka terkejut melihatkan pernafasan baginda sudah semakin kuat dan baginda tidak lagi kelihatan seperti orang yang hampir mati, walaupun keadaan baginda kini kelihatan agak… tragik.

Kedua-dua orang pengawal itu hairan. Cik Muda Keluarga Jun hanya masuk dengan dua orang lelaki yang mereka tidak kenali itu dan mereka tidak melihat Jun Wu Xie memanggil mana-mana Tabib Diraja untuk datang memberikan rawatan. Bagaimana Maharaja mampu dipulihkan dalam masa setengah hari sahaja?

Mungkinkah di antara dua orang lelaki yang aneh itu, salah seorangnya merupakan tabib ajaib?

Dua orang pengawal itu hanya membataskan sangkaan mereka pada Jun Wu Yao dan Teratai Mabuk. Mereka langsung tidak terfikir orang yang telah memulihkan Mo Qian Yuan ialah Jun Wu Xie!

Jun Wu Xie mahu bergegas kembali ke Istana Lin untuk berehat, tetapi sewaktu dia hampir melepasi pintu Dewan Utama Diraja, dia terlihat sekumpulan pegawai istana sedang menanti di luar pintunya. Mereka menoleh memandang Jun Wu Xie.

Semua pegawai istana ini menghadiri sesi penghadapan pagi, tetapi telah dihalau keluar oleh ahli delegasi Kumpulan Qing Yun yang merempuh masuk ke dalam dewan utama itu. Mereka bukan tandingan Kumpulan Qing Yun, tetapi mereka juga bimbang tentang Maharaja. Apa yang mereka mampu lakukan hanyalah menunggu di luar dewan utama dan berharap Maharaja mereka akan melangkah keluar dalam keadaan selamat.

Tetapi penantian di luar pintu ini hanya membuatkan mereka dapat mendengar jeritan yang menggerunkan.

Sewaktu Jun Wu Xie menghukum bunuh kebanyakan pengikut setia mantan Maharaja di hadapan pintu pagar Istana Diraja, dia telah menyingkirkan hampir separuh jumlah pegawai istana. Mereka yang masih tinggal ialah orang yang benar-benar setia dengan Kerajaan Qi. Selepas Mo Qian Yuan menaiki takhta, dia menghapuskan hak istimewa golongan bangsawan untuk memegang jawatan rasmi, sebaliknya menerima orang berbakat yang datang dari latar belakang biasa. Ramai para pegawai muda yang sebelum ini dipulaukan kerana bertaraf rendah, telah dinaikkan pangkat. Ini membolehkan Mo Qian Yuan mendapat kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada mereka. Pegawai-pegawai inilah yang kini berkumpul di luar dewan utama.

Sambil mereka berdiri di luar dewan utama, mereka mendengar dengan jelas jeritan pemerintah kesayangan mereka itu. Mereka turut mendengar keangkuhan Kumpulan Qing Yun dan semuanya berharap dapat bertukar tempat dengan pemerintah mereka.

Kebencian mereka terhadap Kumpulan Qing Yun membuatkan mereka meradang, tetapi mereka tidak berdaya dan ketidakupayaan ini telah menghiris-hiris hati mereka sewaktu jeritan itu berterusan.

Kehadiran Jun Wu Xie telah mengubah segalanya, menyelamatkan mereka daripada keadaan putus asa.