Sebelum ini mereka telah melihat kumpulan yang diketuai Jun Wu Xie itu merempuh masuk ke dewan utama diraja dan membunuh ahli delegasi daripada Kumpulan Qing Yun, seorang demi seorang. Para pegawai istana ini semuanya berdiri sambil terlopong, kagum dengan Jun Wu Xie.
Sewaktu Jun Wu Xie melewati pintu dewan utama itu untuk menuju ke Istana Lin, seorang lelaki tua yang sudah beruban penuh, berjalan menuju Jun Wu Xie dan merenungnya dengan tajam.
Wajah Jun Wu Xie berkerut dan dia berhenti berjalan. Dia kenal lelaki tua itu. Lelaki tua itu sudah berkhidmat dengan tiga generasi Keluarga Diraja Kerajaan Qi, termasuk generasi Mo Qian Yuan,. Prestasinya biasa-biasa saja dan dia tidak menentang atau bersaing dengan sesiapa. Dia juga orang yang berpegang pada prinsip. Inilah sebabnya walaupun dia sudah berkhidmat dengan tiga generasi Keluarga Diraja, pangkatnya tidaklah tinggi dan tidak juga rendah. Mo Qian Yuan telah mempertimbangkan perkhidmatan lelaki tua itu yang sudah lama tempohnya dan juga kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi terhadap Keluarga Diraja. Oleh itu, sebaik menaiki takhta, Mo Qian Yuan telah menaikkan pangkatnya. Kalau tidak, lelaki tua itu hanya akan kekal sebagai pegawai kecil sahaja.
Orang tua itu tidak ada kebolehan yang hebat, tetapi faktor umur dan pengalamannya di istana membuatkan dia agak dihormati. Dia bukanlah seseorang yang bermulut manis. Mo Qian Yuan sekalipun sudah beberapa kali tersedak mendengarkan kata-katanya.
Orang tua itu sedang berjalan menuju Jun Wu Xie. Pada saat ini, Jun Wu Xie berasa terlalu letih dan tak bersedia untuk mendengar leterannya.
Tetapi sebelum sempat Jun Wu Xie dapat menunjukkan perasaan tidak sabarnya dengan situasi ini, pegawai tua itu sudahpun melutut di hadapannya. Tindakan tiba-tiba itu membuatkan Jun Wu Xie terkejut.
Selepas orang tua itu berlutut, pegawai-pegawai lain yang berada di belakangnya serentak melakukan perkara yang sama.
Sewaktu Jun Wu Xie menjalankan pembunuhan besar-besaran di hadapan pintu pagar Istana Diraja sebelum ini, walaupun tindakannya itu rasional dan dia ada alasan yang baik di sebaliknya, ramai pegawai Kerajaan Qi yang kurang senang dengannya. Walaupun selepas Mo Qian Yuan menaiki takhta, mereka tetap merasakan Cik Muda Istana Lin ini terlalu ganas, dan bukan seseorang yang mudah bergaul.
Kejadian hari ini telah mengubah minda mereka secara keseluruhan dan mereka sedar tentang niat baik Jun Wu Xie.
Kalau Jun Wu Xie tidak bersikap ganas dan berbelas kasihan, Kumpulan Qing Yun sudah menghancurkan kemegahan dan reputasi Kerajaan Qi.
Para pegawai yang selama ini berpegang pada moral dan etika, hanya mampu berdiri di luar dewan dalam keadaan tidak berdaya, terpaksa memerhatikan pemerintah kesayangan mereka dipijak-pijak dan diseksa. Tidak tergambar perasaan malu yang mereka alami.
Kerajaan ini mungkin kecil, tetapi semangatnya perlu menjadi lebih besar.
Kalau Kumpulan Qing Yun dibenarkan meneruskan kekejaman mereka, Mo Qian Yuan tidak akan terselamat daripada serangan itu. Kalau tonggak negara musnah, pegawai-pegawai ini tidak akan mampu untuk berhadapan dengan nenek moyang mereka.
Para pegawai ini melutut di hadapan Jun Wu Xie, tanpa mempedulikan pangkat dan kedudukan. Mereka berterima kasih kepada Jun Wu Xie menggunakan satu-satunya cara yang mereka tahu.
Mereka sedar yang keganasan itu ada baiknya juga. Mungkin inilah kekurangan Kerajaan Qi sehingga kekal menjadi negara yang kecil dan tidak penting.
Jun Wu Xie teragak-agak seketika sebelum memahami niat mereka. Wajahnya berkerut sambil memandang pegawai-pegawai tersebut, "Saya hanya buat apa yang perlu dilakukan. Kamu tak payah berterima kasih." Dia cepat-cepat berpusing dan berlalu pergi, tidak mempedulikan pegawai-pegawai yang berada di belakangnya.
Jun Wu Yao memandang sekilas pada kumpulan pegawai itu dan mempercepatkan langkahnya untuk merapati Jun Wu Xie. Matanya yang tajam terperasan sesuatu yang menarik.
Telinga Jun Wu Xie yang comel dan kecil itu nampaknya sudah menjadi kemerah-merahan.
Selepas perasan keadaan Jun Wu Xie, Jun Wu Yao merasakan buah hatinya ini terlalu comel. Gadis ini tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi terhadap sekumpulan pegawai senior yang seusia dengan datuknya dan cara mereka yang menunjukkan perasaan berterima kasih secara melampau.
Dia tidak jujur dengan dirinya dan telinganya yang kemerah-merahan itu menunjukkan perasaan sebenarnya. Comel, bukan? Mulut Jun Wu Yao menguntum senyuman sambil dia mengekori Jun Wu Xie.