Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 230 - Seksaan (2)

Chapter 230 - Seksaan (2)

Dia telah pergi ke Makam Diraja dan kawasan perkuburan Keluarga Jun. Dia sudah menggeledah kedua-dua tempat itu, namun masih tidak dapat mengesan jejak Jed Roh.

Qin Yu Yan membuat keputusan yang Mo Qian Yuan telah berbohong padanya.

Harga yang perlu dibayar akibat menipu Kumpulan Qing Yun, bukanlah sesuatu yang mampu ditanggung oleh semua orang.

Dia tak akan bunuh Mo Qian Yuan, tetapi membuatkan dia berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Selepas dia dapat memaksa Mo Qian Yuan mendedahkan lokasi Jed Roh, dia sendiri akan membawa lelaki itu kembali ke Kumpulan Qing Yun lalu memotong tangan dan kakinya. Kemudian dia akan membiarkan Mo Qian Yuan berendam di dalam bekas berubatnya yang diisi dengan racun yang dahsyat. Dia akan membuatkan lelaki itu hidup terseksa.

Harga ini perlu dibayarnya kerana menipu Kumpulan Qing Yun.

"Yun Xian." Qin Yu Yan tiba-tiba memanggil gadis itu. Bai Yun Xian, yang selama ini berdiri dengan diam di tepi dewan itu, tersedar dan terus berubah menjadi pucat. Dia melutut dalam keadaan panik di hadapan Qin Yu Yan, yang duduk tinggi di atas singgahsana Maharaja.

"Senior! Saya bersalah! Saya tak akan buat perangai seperti ini lagi!" Butir-butir peluh mengalir di sisi mukanya. Orang biasanya terpesona dengan penampilan lembut yang ditunjukkan oleh Qin Yu Yan. Namun sebagai pengikut Kumpulan Qing Yun yang tahu tentang hal-hal dalaman kumpulan itu, Bai Yun Xian tahu tentang kekejaman yang tersembunyi di sebalik topeng yang Qin Yu Yan persembahkan kepada dunia luar.

Cik Sulung Kumpulan Qing Yun yang sentiasa kelihatan lembut dan mesra itu sebenarnya ibarat syaitan bertopengkan manusia.

Kepakaran Qin Yu Yan bukanlah dalam bidang ubat-ubatan, sebaliknya ialah penghasilan racun!

Di halaman belakang Qin Yu Yan, ada tersimpan berpuluh-puluh bekas besar berisi racun. Setiap bekas dipenuhi pelbagai cecair yang dibuat daripada racun yang tidak terkira banyaknya. Dia akan memotong tangan dan kaki, mengorek mata dan memotong lidah sesiapa yang menyakitkan hatinya, kemudian memasukkan mereka ke dalam bekas-bekas itu bagi menjalankan kajiannya terhadap racun. Orang-orang ini dibiarkan hidup dan tidak dibenarkan mati, supaya mereka terus berada dalam keadaan terseksa.

Malah pengikut Kumpulan Qing Yun juga gerun terhadap Qin Yu Yan.

Wanita itu tidak pernah bersikap baik hati. Malah jika ada dalam kalangan pengikut Kumpulan Qing Yun yang menjengkelkannya, mereka juga tidak akan terlepas dengan mudah.

Qin Yu Yan tersenyum memandang Bai Yun Xian yang sedang dibasahi peluh dan melambaikan tangannya. Seorang pengikut Kumpulan Qing Yun muncul dari belakang dewan sambil menyorong sebuah kerusi roda. Mo Xuan Fei yang kelihatan hodoh dan mengerikan, sedang duduk di kerusi roda itu.

"Memandangkan kamu sudah mengaku salah, kamu patut tahu apa yang perlu dilakukan. Kamu ini junior saya dan ayah saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap kamu. Mengadakan hubungan dengan seorang duke ini bukanlah sesuatu yang ayah saya mahu dengar." Setelah selesai berkata-kata, Qin Yu Yan mencampakkan sebilah pisau belati ke kaki Bai Yun Xian. "Bunuh dia dan ikut saya balik untuk menerima hukuman kamu."

Bai Yun Xian terkejut sambil merenung pisau belati di kakinya. Dia teragak-agak seketika sebelum tunduk untuk mengambil pisau belati itu dengan berhati-hati. Dia menggigil sewaktu menegakkan badannya dan berjalan terhuyung-hayang ke arah Mo Xuan Fei yang sedang meracau-racau.

Mo Xuan Fei dahulunya merupakan seorang lelaki yang bergaya dan menawan. Kini keadaannya amat menyedihkan. Ketampanan wajahnya sudah hilang dan daya tarikannya yang elegan juga tidak ada. Sekarang dia hanyalah seperti daging reput yang kelihatan hodoh dan berbau busuk.

"Tak sanggup lakukannya?" tanya Qin Yu Yan sambil memerhatikan Bai Yun Xian.

"Bukan begitu." Bai Yun Xian menenangkan dirinya. Kalau ini ialah Mo Xuan Fei yang dulu, mungkin dia masih lagi mempunyai perasaan terhadapnya. Tetapi setelah Mo Xuan Fei berada dalam keadaan ini, Bai Yun Xian sudah tidak memikirkan hal itu lagi.

'Bunuh dia dan senior akan lepaskan saya.'

Tanpa teragak-agak, Bai Yun Xian menusuk pisau belati di tangannya ke dada Mo Xuan Fei. Mo Xuan Fei yang selama ini dalam keadaan bingung dan meracau-racau nampaknya mendapat kesedarannya pada ketika itu. Pandangan kosong pada matanya berubah dan dia merenung bingung pada tangan yang memegang hulu pisau belati yang menikam dadanya. Dia berpusing untuk memandang Bai Yun Xian dengan matanya yang menunjukkan perasaan tidak percaya dan kebencian.

"Saya tak ada pilihan lain. Membunuh kamu lebih baik daripada membuatkan diri saya terbunuh," bisik Bai Yun sambil melihat cahaya pada mata Mo Xuan Fei menjadi semakin malap. Setelah lelaki itu menghembuskan nafasnya yang terakhir, Bai Yun Xian berpusing dan melutut di hadapan Qin Yu Yan.

"Senior, dia sudah mati."