Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 231 - Seksaan (3)

Chapter 231 - Seksaan (3)

Qin Yu Yan mengangguk tanda puas hati. Bai Yun Xian cepat-cepat berundur ke tepi sebaik dia dilepaskan daripada bebannya itu. Qin Yu Yan memberikan isyarat kepada seorang lagi pengikut Kumpulan Qing Yun, yang kemudiannya berjalan menuju Mo Qian Yuan yang masih terbaring di atas lantai. Pengikut itu menggenggam rambut Mo Qian Yuan dan mendongakkan kepalanya supaya dia dapat memandang Mo Xuan Fei yang sudah kaku tidak bernyawa.

"Adinda Tuanku sudah mati. Kalau Tuanku tak mahu menerima nasib yang sama, beritahu kami apa yang kami mahu tahu," kata Qin Yu Yan dengan bersahaja. Dia tak sangka Mo Qian Yuan akan memilih untuk berdiam diri sebegini lama. Racun yang diberikan kepada lelaki itu bukan racun biasa. Racun itu tidak cukup kuat untuk meragut nyawanya, tapi akan menyebabkan organ dalamannya rosak teruk dan mengakibatkan kesakitan yang teramat. Dia akan berasa begitu terseksa sehingga mahu mengambil nyawanya sendiri.

Walaupun setelah melalui segala penderitaan tersebut, Mo Qian Yuan masih enggan mendedahkan sebarang maklumat.

Inilah yang benar-benar mengecewakan Qin Yu Yan.

"Nampaknya Tuanku masih belum faham kesukaran yang Tuanku alami ini," kata Qin Yu Yan dengan lembut sambil mengisyaratkan pengikut itu untuk mengangkat Mo Qian Yuan. "Mungkin kami terlalu berlembut dan perlu berusaha lebih lagi untuk buat Tuanku bercakap. Boleh Pak Cik Jiang tolong lakukan sesuatu?"

Jiang Chen Qing berjalan menuju Mo Qian Yuan, lalu menarik tangan kanan lelaki itu yang terkulai lemah. Kemudian dia memegang hujung jari kelengkeng Mo Qian Yuan dan melepaskan tenaga rohaninya…

"ARGHHHH!!!" Satu raungan yang menyedihkan bergema di seluruh dewan itu.

Jiang Chen Qing menghancurkan jari kelengkeng Mo Qian Yuan sedikit demi sedikit, bermula dari bahagian hujungnya. Banyak kesan darah terpercik ke lantai. Pelayan-pelayan istana dan sida-sida semuanya berhimpit-himpit ketakutan melihatkan kejadian ngeri yang berlaku di hadapan mereka ini.

"Cukup sakit tak?" Qin Yu Yan ketawa dengan kuat. Bunyi tawanya dipenuhi niat jahat dan kekejaman.

Mo Qian Yuan benar-benar terseksa. Kesakitan yang dirasainya menusuk ke hati sehingga dia hanya mampu meraung. Dia tidak tahu berapa banyak lagi seksaan yang perlu dia tanggung sebelum semuanya berakhir.

Kalaulah dia dengar cakap Jun Wu Xie….. Kalaulah dia ikut apa yang Jun Wu Xie mahukan, semua ini tak akan berlaku...

"Teruskan." Qin Yu Yan ketawa sambil menyatakan kata-kata berbisa ini.

Jiang Chen Qing bersiap-sedia untuk terus menyeksa Mo Qian Yuan. Tiba-tiba pintu dewan utama yang tertutup rapat itu terbuka akibat dihentam satu kuasa yang kuat!

Seorang pemuda yang tampan, dengan pakaian yang berlumuran darah, menunggang seekor binatang hitam yang mengagumkan. Kedua-duanya meluru masuk ke dalam dewan utama itu!

"ROAARRR!!" Ngauman binatang hitam itu mampu menggegarkan dunia!

Binatang hitam itu memperoleh kebolehan untuk mengaum selepas membaham Singa Emas. Ngauman ini kedengaran lebih berkuasa berbanding ngiauan manjanya sebelum ini!

"Siapa kau?" Jiang Chen Qing melepaskan tangan Mo Qian Yuan dan berdiri tegak untuk menghadapi penceroboh-penceroboh itu. Dia merenung tajam kepada pasangan bunga dan binatang itu.

"Soalan itu sepatutnya saya yang tanyakan kepada kamu semua." Tiba-tiba kedengaran satu suara yang menggerunkan daripada luar pintu dewan yang terbuka itu. Ekspresi wajah yang dingin muncul di muka pintu setelah kata-kata itu diucapkan. Seoarng gadis itu berdiri di situ, sambil matanya merenung tajam pada semua orang yang berada di dalam dewan utama. Jun Wu Yao berdiri dengan senyap di belakangnya sambil tersenyum sinis.

"Siapa dan orang jenis apa yang berani datang ke Kerajaan Qi, kemudian melakukan kekejaman seperti ini?" Mata Jun Wu Xie terpandang susuk tubuh Mo Qian Yuan yang terbaring di atas lantai, di tengah-tengah dewan. Wajahnya semakin berkerut.

Sebelum memukul anjing, kamu perlu tahu siapa tuannya… Jun Wu Xie mahu Mo Qian Yuan mendapat pengajaran daripada hal ini, tetapi dia telah memandang rendah terhadap kekejaman Kumpulan Qing Yun yang dihormati dan dipuja di seluruh dunia ini.

"Wu….. Xie….." Mo Qian Yuan berbisik dengan lemah, wajahnya pucat lesi. Sewaktu terlihat kemunculan Jun Wu Xie di muka pintu, kesakitan yang menyeksanya hilang seketika dan dia mengumpul segala kekuatan untuk menguntum senyuman lega.

'Dia di sini…..Akhirnya…..'