Bau darah yang tajam, merebak ke seluruh dewan utama Istana Diraja. Qin Yu Yan duduk tegak di atas singgahsana yang menjadi lambang Maharaja. Wajahnya yang cantik dan anggun itu masih tersenyum lembut, namun senyuman itu tidak terlihat di matanya.
Di bawah singgahsana di dalam dewan itu, sekumpulan pengikut Kumpulan Qing Yun yang diketuai oleh Jiang Chen Qing, sedang duduk sambil mulut mereka kelihatan mencemuh. Mereka semua memandang seorang lelaki yang sedang mengerekot dan terbaring di atas lantai di tengah-tengah dewan itu.
Pakaian lelaki itu yang dahulunya cantik, kini sudah koyak-rabak. Rambutnya kusut-masai dan luka-luka kecil dan besar yang memenuhi badannya, tidak terkira jumlahnya. Darah merah pekat menitis daripada luka-luka itu dan mengalir ke atas lantai marmar yang dingin. Susuk tubuhnya yang selalunya tegak dan tegap, kini menggigil menanggung kesakitan.
Para pelayan istana dan sida-sida berkumpul di satu sudut, dipaksa menyaksikan kedahsyatan yang berlaku di depan mata mereka. Mereka tidak pernah terbayang akan menjadi saksi kekejaman seperti ini.
"Tuanku masih enggan mendedahkan lokasi Jed Roh? Kenapa Tuanku memilih untuk terseksa begini? Kumpulan Qing Yun dan Kerajaan Qi sudah lama bersahabat. Kenapa Tuanku memilih untuk menjengkelkan kami?" Qin Yu Yan duduk dengan megah di atas singgahsana Maharaja dan berpura-pura mengeluh dengan jengkel, seolah-olah sedih memandang susuk tubuh yang terbaring di atas lantai yang dingin itu.
Mo Qian Yuan, Maharaja Kerajaan Qi yang baru dilantik itu sepatutnya diraikan dan menikmati perasaan kagum rakyat terhadapnya. Sebaliknya dia telah diseksa dengan kejam oleh orang-orang daripada Kumpulan Qing Yun, di dalam dewan utama Istana Diraja.
Dia tidak lagi mempunyai kekuatan untuk bergelut dan hanya mampu menarik nafas dengan lemah. Mukanya tersembam di atas lantai yang dingin dan keras itu. Ada dua garisan luka yang dalam pada mukanya yang tampan. Garisan luka itu bermula daripada pelipis kiri dan kanannya, bersilang di mukanya sehingga ke bahagian rahang. Darah masih lagi mengalir tanpa henti dan kesakitan itu sudahpun dilupakan oleh Mo Qian Yuan. Kesakitan fizikalnya ditenggelami kesakitan yang dirasai di dalam badannya. Dia merasakan seperti seluruh bahagian dalamannya sedang dikisar-kisar dengan pisau. Dia sepatutnya sudah pengsan akibat terlalu sakit.
Namun Mo Qian Yuan tahu, keselesaan yang datang daripada keadaan tidak sedarkan diri itu tidak akan berlaku.
Dia tidak tahu sudah berapa lama dia diseksa. Apa yang dia ingat ialah waktu masih lagi awal pagi sewaktu Kumpulan Qing Yun merempuh masuk ke dalam Istana Diraja dan menghalau semua pegawai istana keluar sebelum menutup pintu dewan utama. Mereka mengheret pemerintah kerajaan itu turun daripada singgahsana dan memaksa dia minum sejenis racun yang tidak diketahui.
Kesakitannya bermula sejak saat itu…..
Mereka telah memotong urat di kaki dan tangannya serta mematahkan tulang belakangnya. Sudah tidak terkira jumlah kelaran dan tetakan yang dikenakan ke atasnya. Kesakitan itu sepatutnya terlalu berat untuk ditanggung oleh mindanya, tetapi pengikut Kumpulan Qing Yun telah memberikan dia ubat yang memaksa dia kekal dalam keadaan sedar. Tidak kira betapa hebatnya penderitaan dan kesakitan yang dia alami, dia tidak akan pengsan. Dia tetap akan merasai setiap detik seksaan yang dibawa oleh kesakitannya.
Mo Qian Yuan berasa seperti mahu ketawa. Mengetawakan dirinya yang naif, mengetawakan kebodohannya sendiri. Segala penderitaan yang dia tanggung sekarang ini adalah disebabkan oleh sikap berbelas kasihannya...
Kalaulah dia dengar cakap Jun Wu Xie, dan meyerang mereka dahulu, dia tidak akan jatuh ke tangan Kumpulan Qing Yun.
Tetapi dia tidak pernah menyangka kumpulan terhebat di dunia ini, kumpulan yang terkenal dengan pengetahuan mereka dalam bidang perubatan, mampu menggunakan cara yang kejam dan zalim ke atas musuh mereka. Seksaan yang tidak akan membunuh pihak lawan, tetapi meningkatkan penderitaan mereka.
Dia sangkakan Jun Wu Xie itu seorang yang ganas. Tetapi apa yang Kumpulan Qing Yun lakukan terhadapnya ini membuatkan Jun Wu Xie kelihatan seperti malaikat.
Sekurang-kurangnya Jun Wu Xie tidak akan menyerang orang yang tidak bersalah.
Inikah pertaruhan yang dia mahu buat dengan Jun Wu Xie?
Sama ada Kumpulan Qing Yun boleh mengesahkan reputasi mereka sebagai satu kumpulan yang paling dihormati di seluruh dunia? Dan sama ada Qin Yu Yan akan menjadi seseorang yang memahami serta mudah bertolak ansur seperti yang dia bayangkan?
Mo Qian Yuan menelan darah yang mengalir keluar dari tekaknya dan dia mencemuh dirinya sendiri dengan bersusah-payah. Kesan terakhir kebaikan hatinya terus padam sewaktu dia lemas dalam seksaan yang menenggelami dirinya.
"Kamu masih enggan beritahu?" Qin Yu Yan menongkat dagunya dengan perasaan tidak sabar, sambil memandang Mo Qian Yuan yang diam membisu. Dia tidak menjangkakan seorang Maharaja yang lemah di sebuah kerajaan yang kecil ini, berani berbohong padanya.