Kata-kata Teratai Mabuk membuatkan wajah orang-orang daripada Kumpulan Qing Yun itu menjadi pucat lesi. Pengikut yang kini hanyalah setimbun daging dan tulang yang sudah dilenyek lumat, mungkin bukan yang paling kuat di antara mereka. Tetapi dia mempunyai tumbukan yang paling kuat. Dia amat bangga dengan penumbuknya tetapi penumbuknya itu juga telah dihancurkan dan tulang-tulangnya dipatahkan oleh pemuda ini dengan hanya satu serangan! Mereka tidak dapat membayangkan bagaimana kuatnya tumbukan pemuda itu!
Mereka semua mempunyai sekurang-kurangnya roh tahap hijau dan tidak ada seorang sekalipun di antara mereka yang berani berdepan dengan penumbuk itu.
Tetapi Jun Wu Xie sudah memberikan arahan. Tidak ada tempat untuk mereka bersembunyi kerana Teratai Mabuk tidak akan membenarkannya!
Teratai Mabuk menghalakan pandangannya ke arah seorang lagi pengikut Kumpulan Qing Yun. Lelaki itu menjadi gerun dan mula menjerit, "Bunuh dia! Senior Wen! Bergerak! SEKARANG!"
Sewaktu lelaki itu menjerit, pakar roh indigo itu berasa serba salah. Dia tidak pernah berurusan dengan Kumpulan Qing Yun sebelum ini. Dia datang ke sini tanpa kerelaan hatinya kerana dia memerlukan bantuan daripada kumpulan terhandal di dunia ini. Sewaktu menerima undangan untuk menyertai delegasi ke Kerajaan Qi, dia terpaksa menerimanya. Sebab itulah ketika mereka berdepan dengan askar tentera Rui Lin tadi, dia tidak melakukan apa-apa. Hanya selepas mereka diserang oleh anak beranak Keluarga Jun itu dan juga seluruh angkatan Tentera Rui Lin, barulah dia dengan berat hatinya bertindak. Dia cuma melepaskan auranya yang menekan untuk menghentikan serangan pihak musuh. Dia mengelak untuk menentang Istana Lin sehingga ke saat akhir bukan kerana dia tidak boleh melakukannya, tetapi kerana dia tidak mahu berbuat begitu.
Orang yang dapat mencapai roh tahap indigo biasanya orang yang berbakat luar biasa dan berperibadian tinggi.
Setelah hidup selama hampir satu abad, dia sudah banyak pengalaman dan mendengar tentang banyak perkara yang berlaku di dunia ini. Reputasi Keluarga Jun yang baik juga tidak terlepas daripada pengetahuannya. Walaupun kekuatan mereka menggerunkan, sikap integriti mereka yang jujur dan mulia membuatkan dia amat menghormati mereka. Dia amat berat hati untuk menentang mereka.
Kalau pengikut Kumpulan Qing Yun mampu menguruskan situasi ini sendiri, dia hanya akan menjadi pemerhati kepada kekejaman mereka tetapi keadaan telah berubah. Dua orang pengikut Kumpulan Qing Yun mati dalam sekelip mata apabila mereka berhadapan dengan binatang hitam itu dan Teratai Mabuk. Pakar lain yang dijemput ke situ terpaksa bertindak dan memulakan serangan mereka ke atas Teratai Mabuk serta binatang hitam itu. Tetapi berdasarkan kebolehan yang dipamerkan oleh kedua-duanya, jelas sekali bagaimana hal ini akan berakhir.
Bertindak atau tidak?
Tetapi mengenangkan luka-luka pada salah seorang ahli keluarganya, dia mengeluh dan berpaling memandang Jun Wu Xie.
Dia sedar orang yang mengawal pemuda dan binatang hitam itu ialah gadis kecil yang berdiri di sini.
"Berikan Jed Roh dan semuanya akan berakhir," katanya kepada Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie mendengus dingin dan melangkah ke hadapan, "Kamu berani mencederakan keluarga saya dan mencemarkan nama Keluarga Jun. Hal ini tidak akan berakhir dengan mudah. Hari ini saya mengisytiharkan Kumpulan Qing Yun sebagai musuh saya. Bukan sahaja delegasi Kumpulan Qing Yun di Kerajaan Qi yang akan mati. Tak lama lagi, saya sendiri akan muncul di pintu Kumpulan Qing Yun! Tidak ada sesiapa sekalipun dalam Kumpulan Qing Yun yang akan terselamat!"
Pemilik roh indigo itu terperanjat memandang Jun Wu Xie. Dia melihat renungan dingin gadis itu serta keazamannya. Dia tidak percaya semua ini datang daripada seorang gadis muda! Pengisytiharannya itu merupakan satu tugas yang sukar. Mungkinkah dia boleh melakukannya?
Menumpaskan kumpulan paling hebat? Budak kecil ini terlalu angkuh!
"Kamu ni budak yang tak tahu apa-apa. Kamu tahu tak kamu mahu menentang siapa?" Pemilik roh indigo itu bertanya dengan lembut.
Jun Wu Xie berkata dengan dingin, "Kamu patut tanya soalan itu pada Kumpulan Qing Yun. Mereka tahu tak mereka akan menentang siapa?"
Jun Wu Xie menyambung, "Saya nampak kamu tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menentang kami. Kalau kamu tinggalkan tempat ini sekarang, saya akan biarkan kamu hidup. Tetapi bagi mereka yang mencederakan Datuk dan Pak Cik saya, nyawa mereka berakhir di sini."
Pemilik roh indigo itu terperanjat. Dia tidak pernah membayangkan yang satu hari nanti dia akan diugut oleh seorang gadis kecil yang baru sahaja mencapai roh tahap jingga.
Sewaktu dia berdiri dalam keadaan terkejut, Teratai Mabuk sudahpun memusnahkan dan melenyek seorang lagi pengikut Kumpulan Qing Yun menjadi timbunan daging dan tulang!