Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 226 - Hanya untuk Lelaki Budiman (1)

Chapter 226 - Hanya untuk Lelaki Budiman (1)

Ketika itulah wajah pemilik roh indigo itu menjadi pucat. Tiga orang pengikut Kumpulan Qing Yun telah dibunuh tanpa belas kasihan di hadapan matanya sendiri. Pengikut yang terakhir sedang bergelut dengan serangan sepantas kilat binatang hitam itu. Apa yang lebih menakutkan ialah pemuda berjubah putih itu sudahpun mensasarkan Sida-sida Wei, seorang pemilik roh tahap biru. Teratai Mabuk langsung tidak dapat dihalang meskipun dia menentang pemilik roh tahap biru. Serangannya masih lagi berkuasa dan hebat, sama seperti ketika dia menentang pemilik roh hijau tadi. Hijau atau biru, langsung tidak bermakna pada Teratai Mabuk!

Melihatkan kemahiran yang ditunjukkan oleh pemuda itu dan bagaimana dia menangani pemilik roh tahap biru, orang tua itu terfikir mungkin dia sebagai pemilik roh indigo juga bukan tandingan pemuda itu!

Dari neraka dalam manakah syaitan berkuasa ini datang?

Pemilik roh indigo itu langsung tidak mengklasifikasikan Teratai Mabuk sebagai roh berkontrak.

Di dalam dunia ini, hanya roh berkontrak jenis senjata dan binatang yang diketahui kewujudannya. Siapa yang akan menyangka pemuda tampan ini sebenarnya ialah roh berkontrak jenis tumbuhan? Lebih-lebih lagi Teratai Mabuk ini ialah roh berkontrak jenis tumbuhan yang memiliki kebolehan untuk bertukar rupa menjadi manusia.

Berdasarkan penampilan Teratai Mabuk, dia kelihatan berusia dalam lingkungan tujuh belas atau mungkin lapan belas tahun. Tidak ada pancaran tenaga rohani yang dapat dikesan sewaktu dia menyerang dan mustahil untuk meneka kekuatan sebenar di sebalik pemuda yang langsing dan menawan itu.

Walaupun diserang oleh beberapa pengguna roh biru, dia masih lagi dapat menangani pertempuran itu dengan mudah. Adakah dia juga pemilik roh tahap indigo?

Mustahil!

Mencapai tahap indigo di usia remaja? Tak mungkin!

"Wen Xin Han! Apa yang kamu tunggu lagi? Kalau kami mati, kamu tak akan dapat menjawab Kumpulan Qing Yun! Kamu sudah tak mahu selamatkan cucu kamu?" Pengguna roh biru yang sedang diasak oleh Teratai Mabuk menjadi semakin terdesak dan menjerit kepada Wen Xin Han, satu-satunya pemilik roh indigo dan yang paling kuat dalam kalangan mereka. Belum pernah lagi seumur hidup mereka melihat seorang remaja yang begitu kuat, sehingga dapat memaksa lima orang pemilik roh biru menggunakan seluruh tenaga rohani mereka hanya untuk bertahan daripada serangannya.

Satu-satunya pemilik roh indigo dalam kalangan mereka, Wen Xin Han, masih lagi belum mengambil apa-apa langkah.

"Dia Wen Xin Han?" Jun Xian yang sedang merawat luka-lukanya, terkejut apabila terdengar nama itu. Matanya terbeliak merenung pakar roh indigo yang kelihatan serba salah itu.

"Ayah kenal dia?" tanya Jun Qing.

Jun Xian berkerut, "Ya, Ayah pernah dengar tentangnya. Dia daripada Kerajaan Yan dan amat dihormati sebagai seorang yang berbakat luar biasa yang berjaya mencapai roh tahap kuning ketika hanya berusia dua puluh tahun. Bapanya ialah seorang pegawai di Kerajaan Yan tetapi Maharaja yang memerintah ketika itu, secara rahsia telah menitahkan pembunuhan keluarganya. Seluruh keluarganya dibunuh dan hanya dia seorang sahaja yang dapat menyelamatkan diri. Selepas itu dia menghilangkan diri, dan Ayah tak sangka dia masih lagi hidup. Keluarga Wen amat setia pada kerajaan dan tidak kurang hebatnya berbanding Keluarga Jun. Ayah banyak dengar tentang Keluarga Wen sewaktu ayah masih muda."

Selesai dia bercerita tentang Wen Xin Han, Jun Xian berpaling ke arah Jun Wu Xie, "Wu Xie, kalau boleh, jangan apa-apakan Wen Xin Han. Dia tidak menyerang kita dan Datuk rasa suara hatinya masih lagi murni. Datuk percaya pada ahli Keluarga Wen, tak mungkin mereka bersubahat dengan orang yang kejam."

Dalam pertempuran ini, Wen Xin Han tidak mengambil bahagian dalam membuat serangan. Kalau pemilik roh indigo itu menyerang mereka, pasangan ayah dan anak Keluarga Jun itu pasti sudah mati sebelum ketibaan Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie memandang datuknya. Bukanlah dia tidak perasan tentang konflik dalaman Wen Xin Han, tetapi semua itu tidak bermakna padanya. Kalau Wen Xin Han tetap menjadi pemerhati, Jun Wu Xie tidak akan membunuhnya. Kalau dia terus bersubahat dengan kekejaman Kumpulan Qing Yun, Jun Wu Xie tidak akan melepaskannya.

Tetapi Jun Xian sudah bersuara dan Jun Wu Xie tidak mahu membantah kata-kata datuknya.

Kalau datuknya tidak mahu dia mengambil tindakan, dia akan mengikut sahaja.

Sebaik Wen Xin Han mahu menyertai pertempuran yang berlaku, Jun Wu Xie tiba-tiba bersuara, "Senior Wen, memandangkan kamu terpaksa mengotorkan tangan kamu kerana terdesak mahukan pertolongan Kumpulan Qing Yun, izinkan saya menawarkan satu jalan alternatif."

Wen Xin Han menahan dirinya dan memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengangkat tangannya dan mencampakkan sebotol eliksir ke arah Wen Xin Han yang menangkap botol itu dengan tangkas.

"Selagi orang yang kamu mahu selamatkan itu masih lagi hidup, ubat ini akan membantu dia bertahan. Tetapi kalau kamu memilih untuk menyerang hari ini, bukan sahaja orang yang kamu mahu selamatkan itu akan mati, tapi kamu juga akan menerima nasib yang sama," kata Jun Wu Xie sambil mengecilkan matanya.