"Berlagaklah selagi boleh! Kau tak tau dengan siapa kau berdepan ni, budak…." Pengikut Kumpulan Qing Yun mengejek Teratai Mabuk. Mereka tidak tahu dari mana dan sejak bila pemuda angkuh ini muncul.
Teratai Mabuk mengangkat keningnya pada lelaki yang bercakap tadi. Sambil tersenyum licik, pakaiannya yang seputih salji itu ditiup angin sewaktu Teratai Mabuk meluru laju ke arah lelaki itu seperti ribut taufan.
Lelaki itu berdiri terpegun, langsung tidak dapat melihat kelibat Teratai Mabuk!
Kelajuannya...lebih tinggi daripada kelajuan binatang hitam itu!
Pancaran cahaya putih itu muncul di hadapan lelaki itu. Wajah Teratai Mabuk kelihatan kemerah-merahan akibat minum wain dan dia mengangkat penumbuknya lalu menghayunkannya ke arah lelaki itu!
Pengikut Kumpulan Qing Yun itu senyum gembira apabila melihat serangan Teratai Mabuk itu hanyalah tumbukan biasa. Dia mengumpulkan seluruh tenaga rohnya ke dalam sarung tangan yang menutupi penumbuknya. Sepanjang pertempuran selama sehari ini, roh berkontrak jenis senjatanya yang berbentuk sarung tangan pertempuran ini, telah mengalahkan ramai lelaki dewasa di dalam Tentera Rui Lin. Dia menyangkakan dia tidak akan perlu risau tentang lawannya ini yang hanyalah seorang budak yang kurus dan lemah!
Dengan begitu yakin, lelaki itu menghayunkan penumbuknya yang paling kuat dan bertembung dengan penumbuk Teratai Mabuk!
Pada ketika itu, bunyi tulang patah bergema di udara. Sebaik bertembung dengan penumbuk Teratai Mabuk yang putih melepak itu, tangan yang memakai sarung tangan berwarna hitam itu berkecai akibat hentaman kuasa yang kuat dan mula membengkok menjadi sangat hodoh. Semakin banyak tulang yang berkecai sewaktu penumbuk Teratai Mabuk terus bergerak pada laluannya!
Malangnya, itu bukanlah pengakhirannya. Senyuman Teratai Mabuk menjadi semakin kejam dan dia menolak penumbuknya pergi lebih jauh. Kuasa yang ganas itu menghancurkan jari-jari dan mematahkan keseluruhan tangan pihak lawannya.
Bunyi tulang patah memecah keheningan suasana. Satu tumbukan daripada Teratai Mabuk telah menolak tulang lengan lawannya itu ke belakang, sehingga tulang itu terkeluar di bahagian siku!
Tulang yang putih itu terbonjol keluar dan kelihatan janggal. Darah mengalir turun dari tulang itu dan berkumpul di tanah.
"Ish, itu saja yang kamu boleh buat?" Teratai Mabuk menghalakan dagunya ke arah lelaki yang sedang meraung kesakitan itu lalu berkata dengan nada menghina.
Binatang hitam itu yang sedang bertempur dengan seorang lagi pengikut Kumpulan Qing Yun melihat tangan lelaki itu dihancurkan dan terus menunjukkan wajah mengeji.
Binatang hitam itu juga tidak dapat menahan tumbukan Teratai Mabuk, dan orang-orang ini dengan naifnya memikirkan mereka boleh melakukannya?
"ARGHHHH !!" Pengikut Kumpulan Qing Yun itu terbaring berlumuran darah. Keangkuhan dan kesombongannya yang ditunjukkannya tadi terus lenyap. Wajahnya pucat dan dia terbaring di atas tanah sambil menggigil dengan tidak terkawal, meraung tanpa henti.
Mimpi ngerinya belum lagi berakhir dan pemuda berpakaian putih itu mencangkung di tepi lelaki yang sedang meraung itu sambil memberikan pandangan jengkel. Mata Teratai Mabuk berwarna merah akibat wain yang diminumnya. Dia menggenggam tangannya sebelum menumbuk lelaki itu bertubi-tubi.
Setiap tumbukan mematahkan tulang lelaki itu dan menghancurkan dagingnya!
Setiap tumbukan juga memercikkan darah merah yang segar dan pakaian Teratai Mabuk dikotori warna merah. Darah yang hangat mengalir turun dari mukanya, membuatkan wajah yang tampan itu kelihatan menggerunkan.
Dalam sekelip mata, seorang lelaki yang masih hidup, telah dilenyek oleh penumbuk Teratai Mabuk sehingga menjadi lumat dan tidak ada satu tulang sekalipun di dalam badannya yang masih kekal.
Suasana yang ngeri itu membuatkan pengikut Kumpulan Qing Yun yang lain menjadi mual. Malah Jun Xian, yang sudah menyaksikan pelbagai kematian sepanjang berdekad melakukan pembunuhan di medan perang, turut menjadi pucat melihatkan keadaan itu. Dia berpaling menghadap Jun Wu Xie dengan wajah yang terkejut, tetapi mendapati ekspresi wajah cucunya itu dingin dan langsung tidak kelihatan terkesan dengan apa yang berlaku.
"Datuk, mereka layak menerima balasan ini." Kemarahan Jun Wu Xie meluap-luap. Kalaulah dia cukup kuat, dia sendiri akan mematahkan tulang-tulang mereka dan menukarkan mereka menjadi abu.
Teratai Mabuk berdiri dengan perasaan puas hati. Senyuman menggila itu masih kekal di wajahnya sewaktu dia mematah-matahkan jarinya. Dia menggeliat sambil memandang sekumpulan orang daripada Kumpulan Qing Yun yang sedang terpegun itu. Kata-katanya membuatkan mereka semua gerun sewaktu dia bertanya, "Giliran siapa pula lepas ni?"