Selepas delegasi Kumpulan Qing Yun meninggalkan dewan utama, Jiang Chen Qing mahu terus membahagikan mereka kepada dua kumpulan untuk mendapatkan Jed Roh.
"Merepek bukan? Apa yang difikirkan oleh Maharaja kecil itu? Dia fikir dia masih boleh menyimpan Jed Roh? Tuan Tua rasa Jed Roh benar-benar telah dikebumikan bersama-sama ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia?" Pengikut Kumpulan Qing Yun yang lain tidak dapat menahan rungutan mereka dan bertanya kepada Jiang Chen Qing.
Jiang Chen Qing mendengus secara mengejek, "Beranikah dia? Kerajaan Qi ini cuma satu kerajaan kecil yang tidak penting dan kalau dia berani menipu kita, saya akan buat dia menyesal memikirkan Kumpulan Qing Yun boleh dihina seperti ini."
Kerajaan Qi ditubuhkan kurang daripada seabad yang lalu. Asas mereka tidak kuat, begitu juga dengan kekuatan ketenteraan mereka. Dalam kalangan pelbagai kuasa di sini, mereka hanya merupakan satu kerajaan yang kecil. Perlindungan kerajaan mereka ini bergantung kepada Tentera Rui Lin milik Keluarga Jun.
"Hal Jed Roh Keluarga Jun dikebumikan bersama-sama Jun Gu telah disebutkan oleh mantan Maharaja sebelum ini. Nampaknya mereka tidak tahu kebolehan sebenar Jed Roh itu dan menanamnya bersama-sama ahli keluarga mereka yang sudah mati," kata Qin Yu Yan dengan lembut.
Dia tidak percaya yang Mo Qian Yuan mempunyai keberanian untuk menipu mereka berkenaan lokasi Jed Roh.
"Saya ada dengar Pemerintah menyebut yang mantan Maharaja tidak mempunyai hubungan baik dengan Keluarga Jun. Mantan Maharaja risau sekiranya reputasi Jun Xian serta kecemerlangan perkhidmatannya akan membayangi Baginda. Jadi Baginda berhasrat untuk menghapuskan seluruh Keluarga Jun. Baginda menggunakan Jed Roh untuk mendapatkan bantuan Kumpulan Qing Yun bagi melaksanakan hasrat itu. Saya percaya Mo Xuan Fei mempunyai niat yang sama seperti Ayahandanya. Kalau tidak, Yun Xian tidak akan tertawan sepenuhnya dalam tempoh masa yang singkat. Saya rasa mereka mahu menggunakan Yun Xian untuk membina hubungan lebih rapat dengan Kumpulan Qing Yun." Jiang Chen Qing mencemuh.
Pengikut yang lain berminat untuk mendengar lebih lanjut dan bertanya dengan perasaan ingin tahu, "Maharaja itu bebalkah? Kalau Kerajaan Qi tidak mempunyai garison Tentera Rui Lin, tentulah kerajaan ini sudah ditelan kuasa lain. Menghapuskan Keluarga Jun, pelindung kerajaan mereka, sewaktu kerajaan ini baru sahaja mahu stabil dan berkembang maju. Bukankah ini menempah maut namanya?"
Mustahil kerajaan sekecil ini dapat bertahan dalam kalangan kuasa yang lebih besar tanpa sekurang-kurangnya mempunyai pasukan pertahanan yang kuat.
Tentera Rui Lin Keluarga Jun ibarat mata pedang yang dihunus ke arah musuh. Bilah pedang ini menolak pencerobohan dan mempertahankan tanah air mereka.
Mantan Maharaja Kerajaan Qi mahu memusnahkan bilah pedang mereka ini. Memang mencari maut.
"Fikiran yang bercelaru memang tidak akan difahami. Saya tak berminat dengan nasib Kerajaan Qi. Mantan Maharaja sudah mangkat, jadi syarat perjanjian kita dengan Kerajaan Qi boleh diubah. Pil ubatan sudah dihantar dan kita hanya perlu mendapatkan Jed Roh. Apa yang berlaku pada Kerajaan Qi di masa depan, tak perlu kita pedulikan," kata Qin Yu Yan sambil tersenyum.
"Maksud Cik Sulung ialah, Maharaja kecil itu tidak tahu yang dalam perjanjian kita bersama mantan Maharaja, syaratnya termasuklah perlindungan untuk Kerajaan Qi selama dua puluh tahun, bagi menghadapi pencerobohan dan gangguan pihak luar." Jiang Chen Qing menjelaskan sambil ketawa.
Qin Yu Yan senyum, "Dapatkan Jed Roh dan usah pedulikan tempat ini lagi."
Kata-kata Qin Yu Yan membuatkan mereka semua tersenyum. Mereka kemudiannya berpecah menjadi dua kumpulan dan menuju destinasi yang telah ditetapkan.
Kumpulan Qing Yun itu langsung tidak perasan seorang lelaki yang tinggi dan tampan, membawa seorang gadis kecil molek, berada di atas mereka. Pasangan ini mendengar setiap patah kata yang diucapkan oleh kumpulan itu tadi.
"Itu orang-orang Kumpulan Qing Yun?" Jun Wu Xie memerhatikan susuk tubuh yang semakin menjauh itu dan matanya menjadi dingin. Dia tidak berada di dewan utama tadi. Tetapi berdasarkan perbualan yang dia dengar, dia dapat meneka yang Mo Qian Yuan tidak berjaya mendapatkan sedikit kelebihan sekalipun daripada pertemuannya dengan orang-orang ini.
"Mereka cuma semut kecil yang tak penting. Bila sayang mahu mereka mati?" Jun Wu Yao tersenyum sedikit. Kalau darah orang-orang ini boleh membuatkan Jun Wu Xie tersenyum padanya, mereka patut menganggap kematian mereka itu satu penghormatan.