Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 213 - Kemajuan (1)

Chapter 213 - Kemajuan (1)

Jun Wu Xie memalingkan kepalanya. "Tak perlu terlalu cepat. Kalau Mo Qian Yuan perlu diajar, biarkan dia menghadapi semuanya."

Dia menggunakan seluruh sumber yang ada padanya, dan dia tak ada masa terluang untuk mengajar seorang Maharaja.

Jun Wu Yao mengangkat keningnya, tetapi tidak memberikan sebarang komen.

"Mari balik," kata Jun Wu Xie. Melihatkan kelakuan orang-orang Kumpulan Qing Yun itu, ketenangan di kawasan perkuburan Keluarga Jun akan diganggu tidak lama lagi.

Jun Wu Xie telah menyuruh Mo Qian Yuan mencari mayat banduan yang menjalani hukuman mati, untuk diletakkan ke dalam Makam Diraja untuk menggantikan mantan Maharaja. Oleh itu, dia tidaklah terlalu bimbang yang Kumpulan Qing Yun akan mendapat tahu bahawa mantan Maharaja itu masih hidup.

Sekembalinya ke Istana Lin, Jun Wu Xie berlakon seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku dan terus menyibukkan diri dengan teratai di dalam besen itu yang kini sudah mekar. Haruman wain yang memabukkan, bercampur dengan haruman teratai, sehingga menghasilkan aroma yang sangat menarik. Pemupukan kuasa rohani Jun Wu Xie dicapai semudah itu sahaja. Kuasa rohani di dalam dirinya mula berkembang dan mengisi arteri dan urat darahnya. Dia perasan yang beberapa hari kebelakangan ini, perkembangan rohaninya mula menunjukkan tanda-tanda tertahan-tahan dan dia tidak banyak mencapai kemajuan.

"Adakah kamu memecahkan rintangan tahap?" Jun Wu Xie bertanya sambil memerhatikan sinaran roh merah yang berkumpul di tapak tangannya. Kini dia boleh mengawal pelepasan tenaga rohani merahnya di luar badannya dengan baik, tetapi dia langsung tidak ada idea bagaimana mahu berlawan menggunakan tenaga rohaninya.

Jun Wu Yao sedang duduk di kerusi yang bertentangan dengan Jun Wu Xie. Kakinya yang panjang itu disilangkan. Dia menongkat dagu dan memerhatikan wajah serius Jun Wu Xie dengan senyap.

Sejak Jun Wu Xie memanggilnya "Abang", pertemuan mereka berubah dengan begitu ketara. Sekurang-kurangnya apabila mereka berdua duduk sebumbung, tidak ada lagi kejadian tiba-tiba naik radang sehingga menyebabkan seseorang itu dihalau atau berundur.

"Roh jenis tumbuh-tumbuhan memerlukan teknik pertapaan yang agak unik. Walaupun perkembangan mereka berlaku dengan pantas, rintangan tahap mereka lebih sukar dipecahkan." Jun Wu Yao mengingatkan gadis nakal yang gopoh ini dengan lembut.

Jun Wu Xie mendongak dan memandang Jun Wu Yao dengan hairan. Dia telah dapat merasakan tahap rohaninya telah dipecahkan, tetapi tidak ada sebarang perkembangan yang berlaku. Dia juga telah bertanyakan Jun Qing dan Long Qi tentang perkara ini kerana memikirkan dia telah melakukan sebarang kesilapan.

"Sukar memecahkan rintangan tahap?"

Bagi orang biasa, selepas menghabiskan masa selama bertahun-tahun untuk berlatih dan berkembang maju, mudah sahaja bagi mereka untuk mencapai tahap seterusnya. Mereka hanya perlu memenuhi pencapaian tahap rohani tertentu dan mereka akan mendapat peluang untuk mencapai kemajuan. Kesukaran kemajuan rintangan tahap ini menjadi semakin sukar semakin tinggi sesuatu tahap itu. Tetapi tidaklah terlalu susah untuk mencapai kemajuan tahap merah dan naik ke tahap jingga. Melainkan orang itu tidak berbakat dan pencapaian mereka terhenti.

Apabila mengatakan seseorang itu tidak berbakat, maksudnya ialah urat darah dan arteri orang itu tidak dapat menampung jumlah tenaga rohani yang cukup. Ketahanan urat darah dan arteri seseorang itu bukan sahaja memberi kesan ke atas kepantasan pencapaian mereka, malah turut mendatangkan kesan ke atas pengumpulan tenaga rohani.

Tenaga rohani di dalam tubuh badan seseorang itu dibentuk dan dikumpul secara berterusan. Lebih berbakat seseorang itu, lebih banyak tenaga rohani yang akan dibentuk dan dipupuk. Urat darah dan arteri mereka juga mempunyai lebih banyak tenaga rohani untuk diserap. Bagi mereka yang tidak berbakat pula, tenaga rohani terbentuk dengan lebih perlahan. Urat darah dan arteri mereka tidak dapat menahan aliran tenaga rohani sehingga menyebabkan sebahagian tenaga rohani yang telah dikumpulkan melalui latihan terbocor, dan mengalir keluar daripada tubuh badan mereka. Ini menyebabkan berlakunya kekurangan pengumpulan tenaga rohani untuk mencapai kemajuan memecahkan rintangan tahap.

Tetapi tubuh badan Jun Wu Xie telahpun menjalani proses penguatan dan pemupukan sendiri dan arteri serta urat darahnya berada di tahap terbaik Tak mungkin tubuhnya tidak dapat menampung dan membawa aliran arus tenaga rohani.

Jun Wu Yao mengangkat tangannya sambil ketawa. Satu bebola kabus hitam berkumpul di tapak tangannya. Dia menghayunkan tangannya dengan lembut dan bebola kabus itu melayang ke arah Jun Wu Xie, berada di atas kepalanya.